Makan pil postinor antara kaedah yang menjadi pilihan wanita bagi mengelak hamil selepas melakukan hubungan seksual bersama suami. Mereka yang memilih cara ini biasanya tidak menggunakan kaedah perancang keluarga yang tetap seperti makan pil perancang.
Memang tidak dinafikan ramai yang mengakui keberkensanan pil postinor ini. Namun, sudah pasti ada baiknya anda dapatkan dulu nasihat dan pandangan doktor terhadap kesannya kepada kesihatan anda.
Pil cegah kehamilan atau dengan nama lainnya pil kontraseptif oral adalah ubat yang digunakan untuk mencegah kehamilan. Pil pencegah kehamilan ini mengandungi hormon wanita sama ada kombinasi estrogen dan progestogen atau progestogen sahaja.
Makan pil postinor dengan berilmu, bukan pakai hentam je
Menurut pakar perunding obstetrik dan ginekologi, Dr Imelda Balchin, pil postinor sebenarnya perlu dijadikan plan B saja dalam merancang kehamilan. Yang sepatutnya menjadi plan utama atau Plan A adalah dengan menggunakan pil perancang.
Tetapi ada pula yang takut ambil pil perancang kerana takut tahap kesuburan semakin menurun apabila semakin lama makan pil perancang.
Pil perancang tak salah
Katanya, tujuan mengambil pil perancang ialah untuk mencegah kehamilan. Ia berkesan bila anda menggunakan pil ini mengikut peraturan yang diberikan.
Bila anda berhenti menggunakan pil perancang, kesuburan anda akan kembali seperti sediakala mengikut usia anda. Maknanya, jika anda mula ambil pil perancang bila usia 30 tahun, dan kemudian anda berhenti ambil pil perancang bila usia 40 tahun, kesuburan anda memanglah tidak akan kembali seperti kesuburan anda semasa anda berusia 30 tahun, sebab sekarang anda sudah berusia 40.
Katanya, ketika menggunakan pil perancang keluarga dengan betul mengikut peraturan yang diberikan kepada anda, memang anda tidak subur selagi anda menggunakan pil perancang itu.
Ini kerana memang tujuan anda ambil pil itu untuk mencegah kehamilan.
Postinor hanya untuk keadaan kecemasan apabila…
Jika anda sudah menggunakan pil perancang keluarga mengikut cara yang betul, maka anda tak perlulah guna pil postinor.
Postinor itu adalah levonorgestrel emergency contraception. Ia bukan kaedah merancang keluarga untuk kegunaan setiap hari.
Ia digunakan ketika kecemasan saja iaitu selepas membuat hubungan kelamin, untuk mereka yang tidak menggunakan apa-apa kaedah merancang keluarga yang berkesan. Sebagai contoh:
- Jika kondom yang digunakan itu didapati berlubang atau terkoyak, atau
- Jika alat merancang dalam rahim (Intrauterine contraceptive device, IUCD) terjatuh keluar
- Jika terlambat ambil suntikan depo provera
- Jika terlambat tukar implan selepas 3 tahun
- Jika terlupa ambil pil perancang combined oestrogen dan progestogen melebihi dua hari
- Jika terlupa ambil pil perancang progestogen melebihi satu hari
Postinor tak beri keberkesanan tinggi seperti pil perancang
Menurut Dr Imelda, postinor itu tidak memberi keberkesanan yang tinggi seperti pil perancang keluarga. Sebagai contoh, jika anda menggunakan pil perancang keluarga, keberkesanannya dalam mencegah kehamilan ialah 91%.
Jika anda membuat hubungan kelamin dan tidak menggunakan apa-apa kaedah merancang keluarga dan kemudian anda ambil pil Postinor di dalam masa 72 jam (atau 3 hari) melakukan hubungan kelamin, keberkesannya dalam mencegah kehamilan secara keseluruhannya ialah hanya 85%.
Semakin lambat, semakin kurang berkesan, walaupun dalam jangkamasa 3 hari itu. Ia juga hanya berkesan melewatkan ovulasi selama 5 hari jika ovulasi belum berlaku. Jika ovulasi sudah berlaku bila anda ambil Pil Postinor, ia tidak berkesan.
Anda akan dapat sedikit pendarahan beberapa hari selepas menggunakan pil Postinor. Inilah dinamakan withdrawal bleeding. Inilah lagi satu sebabnya doktor tak galakkan anda menggunakan pil Postinor sebagai kaedah merancang keluarga berkali-kali dalam sebulan, melainkan untuk kecemasan seperti yang dinyatakan.
Semakin banyak kali anda membuat hubungan kelamin dan anda boleh dapat pendarahan berkali-kali dalam sebulan jika anda menggunakannya berkali-kali dalam sebulan dan akan keliru yang mana satu kah haid anda yang sebenarnya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tidak Digalakkan Campur Susu Dengan Ubat Anak! Ini Sebabnya…
Baca juga: Petua Hilangkan Kencing Kotor Semasa Mengandung, Ini Senarai Makanan Perlu Dielak
Baca juga: 12 Cara Orang ‘Lama’ Ramal Jantina Bayi Dalam Perut, Pelik Tapi Ada Yang Memang Tepat!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!