Makanan yang boleh buat anak tercekik
Fasa anak memasukkan semua benda ke dalam mulut memanglah satu fasa yang mendebarkan buat semua ibu bapa.
Dan itulah yang dirasai oleh Niamh Reid terhadap anaknya yang berusia 17 bulan, Doireann. Beliau berhati-hati dalam memastikan makanan yang dibawa masuk ke dalam mulut anak tidak membahayakan Doireann dan membuatkan anak tercekik.
Tapi apabila anaknya ingin memakan ‘marshmallows‘ dia tidak terlalu kisah. Namun semuanya berubah apabila anaknya mula tercekik!
Dia telah mengongsikan pengalaman marshmallows membuatkan anaknya nyaris tercekik itu di akaun Facebook miliknya untuk memberi amaran buat ibu bapa yang lain.
“Minggu lalu kami telah mengalami pengalaman yang mengerikan apabila melihat anak perempuan kami tidak sedar akibat tercekik ‘marshmallow’.
Kami sangat bernasib baik ada orang yang dapat membantu dan bertindak pantas menyelamatkan nyawa Doireann.
Saya selalu fikir saya tahu semuanya, tapi saya tidak tahu hal ini!”
“Tolonglah buang marshmallow yang ada di rumah dan sebarkan hal ini supaya lebih ramai tahu.”
Selepas melihat anaknya melalui sesuatu yang sungguh traumatik, Niamh Reid menggesa ibu bapa untuk menjauhkan ‘marshmallow‘ dari anak kecil.
Yang menakutkan ialah kejadian tercekik ini tidak boleh diselamatkan dengan cara Heimlich Maneuver (menekan abdomen hingga terluah benda yang tercekik)!
Ini kerana marshmallow akan mencair lalu tersangkut ditekak menyekat saluran pernafasan menjadikan ia hampir mustahil untuk dikeluarkan.
Walaupun tidak mudah cair sebelum dimakan, marshmalllow sangat ringan hingga boleh tertelan ketika anak ketawa atau bercakap.
Risiko anak tercekik
Menurut pakar perubatan kecemasan kanak-kanak, Profesor Richard Lichenstein, kes tercekik makanan di kalangan kanak-kanak bukanlah perkara asing tapi ia sering diabaikan oleh ibu bapa.
Walaupun kadang-kala ia tidak membahayakan nyawa, tetapi ada yang boleh tercekik hingga meragut nyawa!
Ibu bapa yang mempunyai anak kecil harus mengambil tahu bagaimana mengurangkan risiko tercekik.
Makanan yang dirasakan tidak berbahaya sebenarnya boleh menyebabkan bahaya juga.
Contohnya kekacang boleh tersekat di paru-paru dan menyebabkan jangkitan bronkial kronik.
Antara langkah mudah yang boleh diambil oleh para ibu bapa ialah:
- memotong makanan (sosej) dalam bentuk panjang (bukan bulat)
- memotong buah anggur kepada 4 bahagian memanjang
- sagat lobak merah
Selain memastikan makanan di dalam bentuk yang sukar untuk tertelan tanpa sengaja, ibu bapa juga harus memerhatikan kelakuan anak-anak ketika makan.
Contohnya berjalan, berlari, bercakap, ketawa, makan tanpa mengunyah dan makan terlalu cepat boleh meningkatkan risiko tercekik.
Langkah kecemasan jika anak tercekik
Ibu bapa juga harus tahu apa yang perlu mereka lakukan ketika terjadinya keadaan cemas.
Mereka tidak harus panik dan mesti bertindak pantas untuk menyelamatkan si kecil.
Adalah amat baik sekiranya ibu bapa tahu pertolongan cemas yang perlu dilakukan sekiranya terjadinya kejadian tercekik.
Tapi jika tidak, sekurang-kurangnya tahulah benda-benda ini:
- segera mendapatkan bantuan. Telefon talian kecemasan.
- segera ke hospital
- beri maklumat tentang bahan yang telah dimasukkan ke dalam mulut (jenis makanan atau benda lain)
Sumber: Popsugar, Facebook Niamh Reid, Webmd
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Anak tercekik? Apa perlu saya buat?
Anggur Merbahaya: Kanak-kanak Maut Tercekik Anggur
Gadis 3 Tahun Disahkan Mati, Ayah Didakwa Menyuap Anaknya Secara Paksa
Kanak-Kanak 3 Tahun Meninggal Dunia Selepas Tercekik – Kini Ibunya Memberi Amaran!