Bencana alam seperti masalah banjir, kebakaran serta ribut taufan adalah sesuatu yang tidak dapat diramalkan. Namun di negara kita, setiap kali musim tengkujuh pada hujung tahun, negeri di bahagian pantai timur Malaysia sering mengalami banjir.
Perkembangan banjir terkini untuk tahun 2023, setakat ini Astro Awani melaporkan gelombang pertama banjir mula melanda negeri Terengganu selepas beberapa kawasan dinegeri itu mula dinaiki air susulan hujan berterusan sejak semalam.
Tips menghadapi masalah banjir bagi ibu mengandung dan ibu bapa baru
Seluruh keluarga diarahkan untuk berpindah dan selamatkan diri. Memandangkan ia boleh berlaku dalam tempoh yang singkat, ada ibu bersama bayi masih kecil terkandas dan terpaksa bermalam di atas bumbung sementara menunggu bantuan sampai.
Bencana banjir Malaysia yang berlaku boleh memberikan tekanan dan rasa takut, terutamanya bagi ibu mengandung atau memiliki bayi.
Bukan itu sahaja, ketika ini juga pihak NADMA banjir telah bersiap siaga apabila Met Malaysia meramalkan hujung tahun 2022 akan berlakunya banjir yang lebih besar.
Berikut ada beberapa langkah langkah keselamatan semasa banjir sebagai panduan anda untuk lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
#1. Bagi ibu mengandung
- Simpan kelengkapan bersalin
Antara langkah langkah keselamatan semasa banjir buat ibu hamil yang menanti saat bersalin, sediakan dan simpan kelengkapan untuk anak yang bakal lahir di tempat yang mudah dicapai.
Lebih baik jika tempat tinggal semasa banjir berada berdekatan dengan hospital atau di luar kawasan banjir, sama ada di rumah saudara, hotel dan seumpamanya. Senang untuk anda pergi hospital pada saat yang memerlukan.
- Bawa dokumen-dokumen penting
Pastikan dokumen penting seperti Mykad, Buku antenatal (buku pink), sijil nikah dan lain-lain dokumen penting dibawa bersama untuk kegunaan dan rujukan semasa bersalin.
Dapatkan nombor telefon bagi klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika berlakunya kecemasan.
Bagi ibu mengandung yang belum hampir tempoh bersalin, kenal pasti tempat tinggal, pusat pemindahan atau rumah saudara yang selamat dan berdekatan dengan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.
- Jangkitan penyakit masa banjir
Kesan banjir yang perlu anda berjaga-jaga adalah risiko adanya jangkitan penyakit masa banjir. Ia adalah suatu kebiasaan semasa dan selepas musim banjir. Air banjir mengandungi banyak jenis kuman (virus, bakteria, kulat dan parasit) kerana telah bercampur air kotor dan kumbahan.
Kehamilan meningkatkan risiko ibu mengandung mendapat penyakit bawaan air seperti taun, kencing tikus dan seumpamanya. Dapatkan rawatan segera jika anda mula berasa tidak sihat.
- Lindungi diri dari kecederaan
Kadang-kadang air banjir terdapat kaca, kayu, serpihan dan barangan tajam. Berhati-hati jika anda perlu meredah banjir.
Gunakan kayu atau apa-apa objek jika anda ingin mengalihkan sebarang halangan di sekitar kawasan rumah bagi mengelakkan serpihan tajam dan ancaman binatang berbisa.
#2. Ibu bapa baharu
Bencana boleh menyukarkan anda untuk mengakses bekalan dan penjagaan kesihatan yang diperlukan. Justeru praktikkan beberapa langkah langkah keselamatan semasa banjir ini:
- Sediakan kit kecemasan dan bekalan
Jika terpaksa meninggalkan rumah, sediakan kit kecemasan mengandungi salinan rekod perubatan, maklumat ubat-ubatan serta makanan bayi. Bukan itu sahaja, sediakan sekurang-kurangnya 3 hari bekalan air dan makanan setiap orang.
- Simpan buku biru (kad vaksin anak)
Buku biru ini penting untuk rekod vaksin anak apabila nak masuk sekolah nanti. Simpan di dalam plastik ‘ziplock’ bersama-sama dengan buku pink. Sekiranya hilang, dapatkan salinan tarikh vaksin dan tandatangan di Klinik Kesihatan atau klinik yang terlibat.
- Segera berpindah di tempat yang lebih selamat
Jangan berlengah dan menunggu air masuk ke dalam rumah dahulu baru anda ingin berpindah kerana masalah banjir di Malaysia ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.
Persediaan awal memudahkan anda dan keluarga membawa barangan penting dan anggota keselamatan tidak perlu membahayakan diri mereka untuk datang menyelamat sewaktu paras air semakin naik.
- Bawa ubat-ubatan
Sekiranya ibu ayah atau bayi menggunakan ubat preskripsi, jangan lupa untuk membawanya bersama ke pusat pemindahan. Teruskan pengambilan seperti biasa bagi mengelakkan berlakunya keadaan tidak diingini.
- Bawa beberapa botol air minuman
Pada awal pemindahan, kebiasannya makanan dan minuman tidak begitu mencukupi atau mungkin dicatu. Bagi bayi yang menyusu botol, ibu-ibu hendaklah menggunakan air yang bersih untuk membasuh dan menyediakannya.
Elakkan dari menggunakan air paip kerana ia terdedah dengan risiko pencemaran sewaktu berlakunya banjir.
Kesedaran dan pengetahuan awal memudahkan anda untuk lebih bersedia. Ibu ayah dinasihatkan untuk bertenang dan tidak panik sehingga lupa perkara penting yang diperlukan.
Punca banjir kerap kali terjadi
Banjir adalah keadaan air menenggelami atau mengenangi sesuatu kawasan ataupun tempat luas yang biasanya kering.
Ia boleh berlaku di kawasan rata atau rendah ketika kadar air dibekalkan oleh hujan dengan begitu tinggi. Lebihan air yang terkumpul pada suatu tempat boleh mencecah kedalaman bahaya.
Bukan itu sahaja, punca banjir juga berlaku akibat limpahan air dari takungan air seperti tasik, sungai ataupun lautan yang mengakibatkan sejumlah air melepasi dari sempadan biasa.
Antara faktor yang mendorong masalah ini adalah:
- Hujan berterusan
- Proses pembandaran
- Kemusnahan hutan
- Sistem perparitan tidak terancang
- Hakisan sungai
Kesan banjir Malaysia terhadap masyarakat setempat
Banjir adalah salah satu jenis bencana alam yang paling biasa, dan hampir setahun beberapa negeri di Malaysia akan menerima jumlah taburan hujan yang tinggi terutamanya di kawasan Pantai Timur.
Antara kesan banjir di Malaysia adalah:
- Kehilangan nyawa dan harta benda: Kesan banjir boleh mengakibatkan kehilangan nyawa manusia, kerosakan harta benda, kemusnahan tanaman, kehilangan ternakan, kemudahan infrastruktur dan gangguan kesihatan akibat penyakit bawaan air.
- Kehilangan mata pencarian: Memandangkan hubungan komunikasi dan infrastruktur seperti loji kuasa, jalan raya dan jambatan rosak, ia boleh menyebabkan aktiviti ekonomi terhenti seketika.
- Sumber makanan mungkin terjejas kerana pertanian atau industri perlu mengehadkan pengeluaran akibat kekangan kemudahan.
- Gangguan kepada air bersih dan elektrik, pengangkutan, komunikasi, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
- Tekanan kewangan. Mangsa banjir perlu mengeluarkan belanja tambahan untuk pemulihan, penempatan semula dan pemindahan harta benda
- Kesan terhadap psikologi: Masalah banjir yang berlaku boleh meninggalkan rasa takut dan trauma dalam kalangan mangsa yang terlibat. Hal ini kerana mereka diarahkan berpindah keluar dan menyelamatkan diri masing-masing. Apabila banjir telah surut, mereka terpaksa meratapi kerosakan harta benda dan membersihkan semula kediaman.
Kesimpulannya, bencana alam seperti banjir ini memerlukan anda dan seisi keluarga sentiasa berwaspada. Perhatikan sekiranya hujan turun dengan lebat, tidak berhenti beberapa hari. Simpan semua barangan berharga dan patuhlah arahan daripada pihak bomba sekiranya perlu segera berpindah.
Semoga bermanfaat!
Centers for Disease Control and Prevention, Muhammad Izzat, Flood Management
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Badan Anak Sudah Kaku Dalam Kolam, Mujurlah Isteri Cepat Bertindak & Tahu Buat CPR