Tahun ini bersamaan dengan 1445H, Maulidur Rasul akan disambut pada hari Khamis, 28 Oktober 2023 menurut tarikh penting kalendar Islam 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Maulidur Rasul adalah hari yang penting buat umat Islam bagi memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW yang kita kasihi.
Di Malaysia, sambutan Maulidur Rasul merupakan antara amalan yang lazim diraikan sebagai salah satu usaha untuk mendidik dan mengingati Rasulullah SAW.
Selain diadakan perarakan yang diiringi dengan selawat dan puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW, program yang lazim diadakan adalah majlis ilmu, forum perdana, dan pengisian yang berkaitan dengan sirah Nabi Muhammad SAW.
Di Malaysia terdapat fatwa-fatwa berkaitan Maulid Nabi SAW. Dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 11 Disember 2016 bertajuk ‘Hukum Menyambut Maulid Al-Rasul’, disimpulkan bahawa sambutan Maulid al-Rasul adalah harus dan termasuk dalam bidaah hasanah (bidaah: ia tidak dilakukan oleh Nabi SAW, hasanah: hukumnya baik).
Beberapa syarat utama, antaranya:
- Pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah.
- Tiada percampuran lelaki dan perempuan.
- Menutup aurat.
- Tiada unsur maksiat.
- Mempelajari riwayat hidup Baginda SAW atau sirahnya dengan lebih baik dari tahun ke tahun. Alhamdulillah terdapat banyak kitab yang kita dapat manfaat untuk mengenali dan makrifah Rasulullah SAW. Antaranya:
- Kitab al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri
- Kitab Sirah Nabawiyyah oleh Ibn Hisham
- Kitab al-Syamail al-Muhammadiyyah oleh Imam al-Tirmizi
- Penekanan kepada keperluan mengikuti Sunnah Rasulullah SAW. Begitu juga memahami fiqhnya seperti:
- Kitab Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali
- Kitab Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti
- Kitab Al-Sirah al-Nabawiyyah Durus wa ‘Ibar oleh Syeikh Dr. Mustafa al-Siba’ie
- Kitab Al-Manhaj al-Haraki li al-Sirah al-Nabawi oleh Syeikh Dr. Munir al-Ghadban dan lain-lain
- Disemarakkan dengan berselawat kepada Nabi SAW.
Elak Bidaah Ketika Sambut Maulidur Rasul
Terdapat fatwa berkenaan larangan membidaahkan sambutan Maulidul Rasul. Fatwa tersebut telah diputuskan antaranya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 25 Mei 2012, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 22 April 2015, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang pada 4 Januari 2016, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman yang bersidang pada 20 Mac 2016, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 31 Mei 2016 dan Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah yang bersidang pada 23-24 Mei 2017.
Sebagai contoh, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman, berkenaan Fatwa Mengenai Pembidaahan kepada Amalan-amalan Ahli Sunnah Waljamaah, dinyatakan terlebih dahulu berkenaan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah yang termaktub dalam perkara 33A, Undang-undang Tubuh Negeri Kedah Tahun 1959.
Fatwa di Kedah ini memperincikan aliran Ahli Sunnah Waljamaah yang dimaksudkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Kedah tersebut iaitu;
1. Dari segi aqidah, berpandukan kepada manhaj Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi;
2. Dari segi syariat, berpandukan kepad mazhab Imam al-Syafie, manakala tiga mazhab yang muktabar iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali boleh dirujuk dan digunakan dalam menyelesaikan masalah-masalah tertentu; dan
3. Dari segi tasawuf, hendaklah berpegang dengan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali, manakala aliran tasawwuf muktabar yang lain boleh diamalkan selagi ia tidak bertentangan aliran Ahli Sunnah Waljamaah.
Menurut fatwa tersebut, ciri-ciri amalan yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah ialah membidaahkan pelbagai amalan dan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah yang bersifat khilafiyyah (boleh berbeza pandangan).
Antara amalan yang dilarang untuk dibidaahkan ialah majlis perarakan Maulidul Rasul, majlis sambutan memperingati Maulidul Rasul, berzanji, burdah dan marhaban dan selawat yang tidak warid (yang tidak disusun oleh Nabi SAW tetapi disusun oleh para ulama) dalam majlis Maulidul Rasul.
Fatwa yang telah diwartakan pada 10 November 2016 ini memutuskan bahawa, mana-mana orang Islam yang melakukan perkara tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Kedah Darul Aman.
Pernah berlaku di Melaka pada 2009, Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara bersetuju memutuskan terdapat unsur-unsur bidaah dan khurafat di sebuah sambutan Maulidur Rasul yang boleh membawa kepada kerosakan akidah dan syirik serta amalan-amalan yang bercanggah dengan syariah dan akhlak Islam.
Contohnya penjualan poster yang didakwa sebagai gambar para sahabat Nabi SAW iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA, Saidina Umar al-Khattab RA, Saidina Uthman al-Affan RA dan Saidina Ali bin Abi Talib RA, meletak dan memasang colok di atas kubur dan berlaku percampuran lelaki dan perempuan bukan muhrim yang duduk bersama-sama semasa majlis maulud.
Kesimpulannya, majoriti ulama menyatakan hukumnya sunat atau harus atau bidaah hasanah atau dalam bahasa mudahnya ia dibenarkan tiada masalah.
Namun, ia perlu dilaksanakan berdasarkan garis panduan yang dibenarkan oleh syarak. Umat Islam juga dilarang untuk membidaahkan sambutan Maulidur Rasul ini di samping tidak menyelitkan aktiviti yang bercanggah dengan Islam.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Doa Selepas Solat Subuh dan Amalan Pembuka Pagi Hari Agar Semua Urusan Dipermudahkan Dan Diberkati
Baca juga : Kebaikan Surah Ar Rahman Hilangkan Rasa Cemas & Elak Sifat Pelupa Ibu Hamil
Baca juga : Nak Kirim Doa Pada Ahli Keluarga Atau Teman Yang Pergi Tanah Suci? Ini Antara Contoh Kiriman Doa Di Depan Kaabah Yang Baik Untuk Dikirim
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!