Pertama kali melatih dan ajar anak puasa sepatutnya janganlah menggunakan kekerasan atau paksaan. Hal ini kerana ibu ayah hendaklah memberikan sokongan secara perlahan-lahan hingga anak rasa seronok dan ‘teringin’ untuk puasa.
Melatih anak puasa boleh dilakukan sejak usianya mencecah 4 ke 5 tahun atau selepas dia akil baligh (menurut Islam). Hal ini kerana perkembangan kognitif anak sudah semakin baik dan lengkap.
Cara ajar anak berpuasa bulan Ramadan
Walau bagaimanapun, sebagai ibu ayah anda perlu terangkan pada anak apakah maksud puasa dan kebaikannya terlebih dulu. Selain itu, lihat dulu kemampuan anak dan tahap kesihatannya.
Untuk memudahkan kerja anda, hari ini kami kongsikan beberapa tips dan cara ajar anak puasa yang amat bermanfaat. Jom cuba!
1. Terangkan maksud dan kelebihan berpuasa
Ajar anak puasa ini memang tidak mudah macam ABC atau 123. Namun menjadi kewajipan sebagai ibu ayah untuk terangkan pada anak apakah maksud dan kelebihan berpuasa kepada mereka.
Puasa bermaksud menahan lapar dan dahaga bermula dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari. Ia merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditaati seluruh umat Islam sedunia.
Maksud puasa yang lebih mudah ialah menahan lapar dan dahaga. Tak boleh makan dan tak boleh minum sehinggalah masuknya waktu solat fardhu Maghrib.
Selain itu, terangkan juga pada anak, kelebihan berpuasa iaitu:
- Mengingati golongan yang kurang berkemampuan
- Menahan diri dari hawa nafsu yang jahat
- Menyucikan jiwa dari anasir yang tak baik
- Dapat mengawal stres
- Seribu satu kebaikan pada kesihatan
2. Latih secara berperingkat
Sebagai contoh, bagi permulaan, ajar anak puasa dalam tempoh 1 ke 2 jam. Kemudian, boleh ditambah pada 4 hingga ke 5 jam.
Boleh juga dimulakan dengan puasa setengah hari, hinggalah si kecil anda ingin berpuasa penuh.
3. Ajar anak tidur awal
Melatih anak puasa juga anda perlu ajarnya untuk tidur lebih awal supaya dia mudah untuk bangun sahur keesokannya.
Semasa tidurkan anak, ceritakan padanya kisah-kisah Nabi yang ada kaitan dengan fadilat puasa. Secara tak langsung anak berminat untuk puasa dan leka dengan cerita-cerita itu, lalu tidur dengan mudah.
Ketika kejutnya untuk bersahur, jangan pula anda terjerit-jerit panggil namanya seperti “Aiman! bangun!!!!. Kalau macam ini gayanya anak pun tak seronok dan memberontak.
Keinginannya untuk puasa punah!
Jadi adalah lebih baik anda berikan pendekatan yang lemah lembut, mengusap-usap tubuhnya, memuji dia anak yang baik dan beritahu anda ada sediakan menu sahur kesukaannya. Pasti dia bangun dengan mudah. Hasilnya, berjaya!
4. Ingat dan ajar anak niat puasa
Baca niat puasa berulang kali pada anak dan minta dia baca bersama-sama anda. Tak pun anda tampal bacaan niat puasa ini di bilik tidurnya.
Setelah itu, beritahu anak niat puasa ini penting. Ia bermaksud anda sudah berikrar janji untuk puasa keesokannya. Jika tidak anda perlu menggantikannya semula bila Ramadhan tamat.
Lafaz Niat Puasa Harian di Bulan Ramadhan
- Bahasa rumi: Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-‘i, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil’lahi Ta’ala
- Maksudnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala
Tak pun, supaya dia tak lupa. Baca niat puasa sebulan.
Lafaz Niat Puasa Sebulan di Bulan Ramadhan
- Bahasa rumi: Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala
- Maksudnya: Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan kerana Allah Ta’ala
5. Sediakan makanan berbuka puasa bersama anak
Anda juga boleh melatih anak puasa dengan cara menyediakan makanan berbuka puasa bersama anak. Minta dia buat kerja dapur yang ringan-ringan seperti memotong sayur, mengupas kentang, mencuci piring atau mengacau kuah.
Dengan cara ini, ia menarik minat anak untuk berpuasa lagi dan lagi.
6. Sediakan juadah berbuka kegemaran anak
Anda boleh juga melatih anak puasa dengan menyediakan juadah berbuka kegemarannya. Tanyakan pada dia, apa yang dia mahu makan.
Jika dia memilih untuk makan nasi goreng ayam dan milo ais, sediakan makanan itu ketika berbuka. Barulah dia bersemangat untuk terus puasa!
7. Sorok makanan kegemarannya di siang hari
Ini yang paling anda perlu ingat untuk melatih anak puasa. Jangan tunjuk dan sorok makanan kegemarannya terutama di siang hari.
Contoh kalau dia penggemar keropok atau jajan, sila sorok jauh-jauh dari pandangannya.
8. Jangan tonton rancangan masakan di TV
Bila tiba bulan Ramadhan, stesen TV pun akan berulang kali tayang program masakan. Ini boleh buat anak rasa lapar dan dahaga.
Maknya pula nak tonton rancangan itu. Nak ambil resepi lah katakan. Tak mengapa, kalau anak tengah bermain atau tidur mak boleh sambung layan rancangan masakan itu.
Semoga bermanfaat!
Kredit gambar: cnn indonesia
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Usah Beria Paksa Anak Berpuasa, Ibu Ayah Perlu Ajar Mereka Jaga Solat Terlebih Dahulu
Baca juga: Bekal Makanan Dirampas, Doktor Kongsi Murid Lemah Dipaksa Guru Berpuasa Penuh
Baca juga: Sokongan Luar Takkan Sama Sokongan Suami & Anak, Merekalah Yang Buat Ibu Kuat!