Melukis dan mewarna adalah aktiviti yang mampu memberikan keseronokan kepada anak-anak. Namun sesetengah ibu berasa risau kerana perlu mencuci pakaian yang kotor akibat terkena kesan dakwat pensel air mahupun crayon.
Memang tugas membersihkan baju anak kecil tidaklah semudah yang disangka. Anda mungkin perlu merendamnya terlebih dahulu dan menyental sehingga ia benar-benar bersih.
Petua mencuci pakaian yang terkena dakwat atau pen marker
Anak-anak yang sedang membesar sangat gemar melukis dan mewarna. Ibu ayah pasti pernah melihat pelbagai lakaran pada badannya sehingga tidak perasan bila masa dia menconteng dirinya.
Lebih mengejutkan lagi apabila anda sudah menyimpan kesemua koleksi pen, marker, crayon atau cat air ditempat rahsia, namun si manja tetap menjumpai dan melakukan pelbagai eksperimen secara senyap-senyap!
Justeru bila melihat pakaiannya, mesti si ibu akan mengucap panjang, kan? Jadi lebih baik kawal api kemarahan dan bertenang kerana ada cara berkesan untuk mencuci pakaian si manja menggunakan bahan-bahan dari rumah sahaja. Antaranya ialah:
#1. Susu pekat
Petua ini ramai orang tidak tahu kerana ia amat jarang dipraktikkan. Caranya adalah anda perlu membancuh susu pekat atau cair mengikut kehendak dengan sedikit air. Kemudian, siram bancuhan tersebut pada kesan dakwat atau marker dan tunggu sehingga setengah jam.
Barulah anda boleh mencucinya dengan sabun seperti biasa dan bilas.
#2. Garam
Campurkan garam ke atas kesan dakwat yang masih basah. Seterusnya, tekan secara perlahan-lahan di kawasan berkenaan menggunakan kertas tisu. Tujuannya supaya ia menyerap kebasahan.
Kemudian keluarkan kertas tisu tersebut dan berus perlahan berulang kali sehingga kotoran benar-benar hilang.
#3. Cuka
Hilangkan kesan kotoran pada pakaian anak akibat pen warna atau crayon dengan membasahkannya terlebih dahulu bersama cuka. Kemudian, sediakan satu adunan tepung jagung dan cuka (2 bahagian cuka dan 3 bahagian tepung jagung).
Sapukan adunan tersebut pada tempat kotoran. Anda perlu membiarkannya sehingga kering dahulu sebelum mencuci bersama pakaian lain.
#4. Ubat gigi
Adakalanya cara menggunakan ubat gigi ini berkesan dan tidak berkesan. Ia bergantung pada jenis dakwat pen dan material pakaian si manja. Caranya anda perlulah meletakkan ubat gigi bukan gel yang berwarna putih pada kotoran dakwat.
Seterusnya, sental pakaian anak dan bilas dengan air. Proses ini mungkin perlu dilakukan beberapa kali sehinggalah semua kesan kotoran tersebut benar-benar hilang. Penggunaan ubat gigi ini juga dikatakan dapat menghilangkan kesan lipstick pada baju atau tudung anda juga!
#5. Cream of tartar
Ia adalah bahan yang sering digunakan dalam pembuatan kek. Anda boleh mendapatinya di kedai bakeri ataupun pasaraya yang menjual banyak pilihan keperluan membuat kek.
Sekiranya ibu mendapati pakaian anak memiliki kotor pen, caranya mudah sahaja. Campurkan 2 sudu teh cream of tartar ini bersama-sama dua sudu teh jus lemon. Kemudian kacau dan jadikannya seperti pes dan sapu pada baju yang kotor tersebut.
Biarkan selama 3 hingga 4 jam. Apabila sudah kering, beruskan kotoran berkenaan dan barulah anda boleh mencucinya seperti biasa.
#6. Penyembur rambut
Langkahnya cukup mudah. Anda hanya perlu menggunakan penyembur rambut dan halakannya pada pakaian. Biarkan ia kering sebentar. Kemudian sapukan air yang bercampur cuka. Berus dan basuhlah seperti biasa.
#7. Rubbing alcohol
Rendamkan pakaian yang telah terkena kesan lukisan anak dengan alkohol ini selama beberapa minit bagi menyingkirkan dakwat. Kemudian, masukkan sahaja ke dalam mesin basuh bersama-sama dengan pakaian yang lain.
Kesimpulannya, pakaian si manja yang terkena kesan pen, marker, crayon atau cat air boleh diselamatkan dengan menggunakan beberapa petua di atas.
Ia juga boleh mengelakkan anda daripada melakukan pembaziran kerana rata-rata ibu mengatakan dakwat atau pen yang susah tanggal apabila sudah dibersihkan akan menjadi kain buruk ataupun buang dalam tong sampah.
Jadi apabila melihat anak seronok melukis dan mewarna, anda sudah tidak perlu menghalang mereka lagi kerana aktiviti ini dapat mengembangkan kreativiti si manja.
Sumber: Catatankumama
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sedang Mencari Sabun Cuci Pakaian Bayi Yang Bagus? 5 Jenama Ini Terbaik Buat Si Manja