Setiap pasangan yang berkahwin amat menantikan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap hubungan. Namun tidak semua diberikan zuriat dengan cepat, ada yang perlu menunggu sehingga bertahun-tahun lamanya untuk merasai pengalaman mengandung anak pertama.
Menurut kisah benar yang dilalui oleh seorang wanita dikenali sebagai Ika, 26, dia dan suami sabar menantikan cahaya mata meskipun berdepan pelbagai ujian.
Pengalaman ikhtiar mengandung anak pertama
Awal perkahwinan dia dan suami telah sepakat merancang untuk tidak mengandung dalam masa terdekat kerana perlu menghabiskan sesi pengajian.
”Setelah sama-sama bersedia untuk dapatkan anak, Allah seolah-olah beri kami ujian tanpa henti. Mungkin juga ia teguran sebab awal berkahwin dulu saya selalu menolak apabila orang bercakap tentang anak.”
”Suami kerja tidak tentu masa. Saya kerap kali mengangkat berat, turun naik tangga dan memandu sendiri pada jarak jauh sehinggalah peranakan jatuh.”
Disebabkan itu, setiap bulan dia perlu menjalani sesi mengurut bagi memastikan tiada masalah pada peranakan.
Ujian tanpa henti bagi merasai pengalaman mengandung anak pertama
”Hampir setiap malam kami berdoa dan meminta dari Yang Maha Esa agar diberikan zuriat. Sehinggalah usia perkahwinan memasuki tahun ketiga, kami nekad untuk ikhtiar. Saya dan suami berjumpa ramai ustaz, minta pandangan serta nasihat.”
Pada Julai 2020 lalu, Ika mula rasa tidak sedap badan. Haid tidak datang sehingga dua bulan. Pada ketika itu, dia ingat sudah mengandung. Namun sangkaannya meleset apabila hasil UPT hanya menunjukkan satu garis sahaja.
”Tiba-tiba saya mengalami pendarahan luar biasa. Selepas 14 hari masalah ini masih terjadi, saya pergi ke klinik pakar. Doktor mengatakan ia adalah masalah hormon. Ubat hormon dan hentikan darah telah diberikan,”
100 hari telah berlalu, namun pendarahan belum berhenti sehinggalah sekali lagi perlu merujuk ke klinik pakar yang lain.
”Doktor melakukan TVS scan. Mukanya berkerut dan mengatakan ia adalah PCOS. Beliau menjelaskan penyakit ini penyebab sukar hamil dan memberikan surat rujukan ke Hospital Serdang.” katanya.
Sebaik sahaja pulang ke rumah, dia menangis sepuas hati dan berdoa supaya Allah membantunya kali ini.
Keajaiban surah al-fatihah 41 kali
”Ada kawan menegur saya supaya berhenti mengharapkan pertolongan manusia. Dia kongsi keajaiban surah al-fatihah 41 kali selepas solat maghrib dan mohon bersungguh-sungguh kepadaNya untuk cahaya mata.
”Setiap bulan saya aktif bersedekah kepada yang memerlukan dan meminta mereka doakan kami dikurniakan anak. Saya juga banyakkan berzikir, melakukan solat hajat dan membaca Yassin setiap malam.” kongsinya
Kurang sebulan, Ika menyedari ada perubahan berlaku pada diri. Dia alami muntah-muntah, pening dan kerap penat.
”Pada mulanya saya ingatkan ia keracunan makanan. Namun hampir 3 hari masalah ini tidak hilang. Firasat suami mengatakan saya mengandung. Dia telah beli UPT dan menyuruh saya menggunakannya.”
”Awal pagi Subuh bagaikan mimpi apabila tangan suami terketar-ketar pegang UPT dengan dua garisan. Kami menangis sebab tak sangka Allah makbulkan hajat secepat ini,” kongsinya.
Sebaik sahaja tahu diri mengandung, mereka telah ke klinik bagi mendapatkan kepastian. Dengan izin Allah, jelas kelihatan kantung dan usia kandungannya ketika itu sudah 5 minggu.
Ketika kali pertama buat buku pink, saya masih teringat perbualan dengan doktor di klinik kesihatan:
”Doktor, saya ada PCOS. Saya masih tak percaya betul ke mengandung. Saya takut harapan palsu.”
”Eh kenapa pula cakap macam tu? Ada PCOS tidak semestinya tidak boleh mengandung. Ni tengok baby awak dah cukup sifat (sambil menunjukkan jari ke skrin imbasan). Tapi kehamilan awak berisiko tinggi untuk keguguran dan kencing manis. Apapun kita minum air gula dulu lah ya.”
Kata-kata doktor tersebut ternyata benar apabila hasil bacaan gula dalam darah tinggi selepas minum air gula.
”Rasa air gula tidaklah seteruk yang disangkakan. Kini saya kena buat BSP untuk dua minggu sekali dan kena ulang-alik ke klinik. Bagi sesetengah ibu, ia mungkin menyusahkan. Namun bagi saya tiada masalah asalkan bayi dalam kandungan sihat.”
Manakala setelah usia kandungan memasuki 19 minggu, dia dan suami ke klinik untuk melakukan details scan. Bagi ibu yang baru pertama kali, details scan ini sangat penting bagi mengetahui:
- Kedudukan uri
- Jantina bayi
- Ketidaknormalan pada organ bayi
- Amaun air ketuban
”Semasa buat details scan, doktor mendapati ada satu titik putih pada jantung bayi dan meminta kami membuat repeat scan pada kandungan 24 minggu. Jika titik putih terlalu banyak, ia petanda bayi mungkin mengalami Sindrom Down.”
”Ketika itu hanya Allah sahaja tahu perasaan saya sebagai ibu. Siang malam berdoa agar titik putih tersebut hilang dan bersedia menerima sekiranya itulah takdir yang ditetapkan kepada kami berdua.”
”Usia kandungan memasuki 24 minggu. Alhamdulillah Allah makbulkan permintaan kami. Titik putih berkenaan telah hilang. Doktor mengatakan ia normal dan akan hilang sendiri apabila usia kandungan meningkat.” katanya,
Dia turut berkongsi beberapa amalan yang diamalkan bagi memastikan kehamilan sihat. Antaranya:
- Mengamalkan susu ibu mengandung dua kali sehari
- Menjaga pemakanan sihat
- Tidak mengambil makanan tajam
- Sentiasa berfikiran positif
- Kekal aktif setiap hari
- Sering mencari ilmu baharu mengenai kehamilan
- Mengamalkan surah Taha dan Yusuf
- Menyertai kumpulan ibu mengandung di Facebook
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Pengalaman Mengandung Luar Rahim Amat Menyakitkan, Ini Info Penting Ibu Perlu Tahu!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!