Penglihatan merupakan aspek penting dalam perkembangan kanak-kanak. Keupayaan melihat dengan jelas memberi kesan kepada pembelajaran, aktiviti fizikal dan interaksi sosial mereka. Walau bagaimanapun masalah rabun kanak-kanak boleh menjejaskan kemampuan si manja.
Masalah rabun kanak-kanak atau dikenali sebagai Myopia, adalah gangguan penglihatan di mana objek jauh kelihatan kabur manakala objek dekat masih boleh dilihat dengan jelas.
Masalah Rabun Kanak-Kanak
Masalah rabun kanak-kanak atau Myopia terjadi disebabkan oleh panjang mata berlebihan atau kornea yang terlalu melengkung.
Myopia pada kanak-kanak boleh menjadi masalah yang serius kerana ia boleh mengganggu keupayaan mereka menjalankan aktiviti harian, terutamanya ketika belajar di sekolah.
Menurut Pengarah Pusat Kecemerlangan untuk Penglihatan dan Penjagaan Mata (MSU-iCARE) Management & Science University (MSU) Prof Madya Dr Mohd Zaki Awang Isa melalui Harian Metro berkata, kajian di Malaysia mendapati satu persepuluh kanak-kanak mempunyai masalah penglihatan serius atau kebutaan dan sembilan persepuluh membabitkan pelbagai faktor lain.
Kajian di negara Asia serta Asia Tenggara juga menunjukkan bahawa kanak-kanak sangat terdedah kepada risiko rabun sehingga melebihi 60 peratus.
Laporan daripada Jurnal Oftalmologi juga menjangkakan bahawa separuh populasi dunia akan mengalami masalah rabun menjelang tahun 2050.
Pengalaman Anak Rabun Jauh
Meskipun ramai beranggapan bahawa masalah anak rabun dan gangguan penglihatan terjadi adalah berkait rapat dengan gajet sebagai punca utama, sebenarnya terdapat juga kes di mana ia disebabkan oleh faktor lain.
Seorang ibu yang hanya dikenali sebagai Noor Atikah, telah berkongsikan kisah dan pengalaman anaknya mengalami masalah rabun jauh atau Myopia sejak masih bayi.
Bilakah Rabun Anak Dikesan?
Ketika anak lelaki saya, Shah, berusia 4 bulan. Kami suami isteri mula perasan anak mata Shah sebelah kiri tidak selari dengan mata kanannya. Tapi ketika itu kami masing-masing fikir positif sahaja. Mungkin dia masih bayi, tidak pandai untuk fokus lagi.
Namun apabila umur Shah memasuki 9 bulan, anak mata kirinya masih lagi sama. Tidak selari dengan mata kanan. Bagi mendapatkan kepastian, kami telah pergi ke klinik kesihatan dan berjumpa dengan pegawai perubatan.
Doktor mengesahkan bahawa mata kiri Shah mengalami masalah lazy eye. Kemudian kami terus diberikan surat untuk rujuk pakar mata di Hospital Kemaman.
Tarikh temu janji dengan pakar mata adalah 3 bulan selepas itu, iaitu ketika usia Shah 1 tahun.
Bagaimana Prosedur Dan Pemeriksaan Dengan Pakar?
Pada bulan Februari 2022, kali pertama kami bawa Shah berjumpa dengan pakar mata. Pakar mengatakan bahawa mata dia memang ada masalah.
Terus pakar masukkan beberapa titik ubat pada mata kiri dan kanak Shah. Ia bertujuan untuk mengembangkan bebola mata.
Untuk anak yang masih kecil, hanya itu sahaja cara untuk dapatkan bacaan power rabun. Proses tersebut agak lama juga sebab kena titik ubat 2-3 kali.
Beberapa jam kemudian kami telah mendapat keputusan. Mata kiri Shah mengalami masalah rabun dengan power 1000. Sebagai ibu, ketika itu saya agak kecewa dan rungsing. Tapi saya bersyukur kerana mata kanan dia dalam keadaan baik dan tiada masalah silau langsung.
Pada hari itu juga pakar mengatakan Shah kena pakai kaca mata kerana masalah rabun jauh yang begitu tinggi. Jika tidak, lama-kelamaan masalah lazy eye dia akan bertambah teruk sebab sejak dia masih bayi, hanya mengharapkan mata sebelah kanan sahaja untuk melihat.
Disebabkan ini adalah pengalaman kali pertama, saya dan suami agak terkejut sebab tidak tahu pula ada budak usia setahun sudah kena pakai kaca mata. Akan tetapi, kami akur dan turuti sahaja saranan doktor.
Punca Anak Rabun Jauh
Pakar mengatakan bahawa punca Shah rabun adalah kerana faktor keturunan ataupun masalah kesihatan ketika hamil. Shah tidak rabun kerana gajet kerana kami langsung tidak memberinya main telefon pada ketika itu.
Cabaran Yang Dihadapi
Pada Mac 2022, iaitu pada usia Shah 1 tahun 1 bulan, bermulalah fasa baru dalam hidupnya, di mana Shah mula pakai kaca mata.
Seperti apa yang pakar katakan, untuk budak rabun sebelah mata seperti Shah akan jadi susah untuk pakai kaca mata disebabkan oleh mata kanannya terang.
Kami merasakan agak sukar berdepan ujian ini sebab Shah akan cabut kaca mata yang dipakai. Setiap petang kami ambil hatinya dengan bawa menaiki motor dan memujuk pakai kaca mata.
Tapi alhamdulillah. Syukur. Dari sejam sehari pakai kaca mata, jadi 2 jam, 4 jam dan lama-lama dia sudah terbiasa.
Untuk rawatan susulan, doktor menetapkan temu janji setiap 4 bulan sekali bagi memeriksa sama ada power rabun Shah naik atau tidak.
Untuk masalah lazy eye pula, doktor akan pantau sama ada darjah mata hitam yang lari mengalami naik atau turun.
Bagaimana Pandangan Orang Sekeliling Terhadap Shah?
Sebagai ibu, sudah tentu pada mulanya saya agak sedih mengenangkan anak yang masih kecil telah diuji dengan masalah penglihatan ini.
Malah, pandangan orang sekeliling telah memburukkan rasa sedih saya. Biasanya mereka kerap tegur ”Anak kecil dah kena pakai spek, ini mesti sebab mak ayah bagi tengok telefon kan.”
Belum sempat kami jelaskan, mereka telah ada kesimpulan dan pendapat sendiri. Tapi ada sahaja orang sekeliling yang positif dan faham bahawa masalah rabun yang dihadapi oleh Shah disebabkan oleh keturunan.
Ada juga yang senasib dengan Shah, tapi mereka tidak mahu pakaikan kaca mata. Dulu kami sendiri tidak percaya ada anak yang lahir sudah mengalami masalah rabun. Tapi bila terkena pada anak sendiri, barulah saya dan suami faham.
Apakah Rawatan Rabun Jauh Yang Doktor Pertimbangkan?
Ketika usia Shah 1 tahun 3 bulan, mata kirinya rabun dan tidak selari sebanyak 30 darjah. Sebenarnya masalah ini berlaku kadang-kadang sahaja. Ada waktu tertentu kedudukan matanya normal.
Rawatan untuk betulkan semula kedudukan mata Shah adalah dengan pakai spek setiap masa. Selain itu kena tutup sebelah matanya menggunakan eye patch.
Jika kedua-dua cara ini tidak membantu, cara dan rawatan mata adalah dengan melakukan pembedahan bagi membetulkan semula otot matanya.
Bagaimana Keadaan Terkini?
Apabila Shah memasuki usia 2 tahun, kedudukan mata hitam sebelah kiri Shah masih lagi tiada perubahan. Jadi kami tutup mata kanan Shah menggunakan eye patch supaya dia dapat guna otot mata kirinya.
Sekali lagi kami diuji, bermacam cara kami buat untuk pujuk Shah pakai eye patch sebab pakar mengatakan bahawa tempoh pemakaian sejam sehari sudah cukup.
Buat masa ini, doktor menetapkan temu janji berjumpa dengan pakar mata setiap empat bulan sekali sehinggalah Shah bersekolah dan masalah lazy eye yang dihadapi menunjukkan perubahan membaik.
Kami juga dimaklumkan bahawa power rabun yang dialaminya akan bertambah seiring usia dan tidak akan turun.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kanak-Kanak Kini Semakin Rabun Mata, Ini Cara Bijak Untuk Mengatasi Kerisauan Para Ibu!
Baca juga: Mata Malas Menjejaskan Daya Penglihatan Si Manja, Ibu Bawalah Anak Berjumpa Pakar
Baca juga: Selain Lobak Merah, Ini 10 Jenis Makanan Untuk Mata Yang Sihat Ikut Saranan Pakar
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!