Pendidikan awal untuk kanak-kanak amat penting untuk perkembangan mereka. Ada ibu ayah yang memilih sekolah kebangsaan dan ada juga menghantar anak ke sekolah cina.
Tidak dinafikan bahawa memilih jenis sekolah untuk anak adalah keputusan yang besar kerana masing-masing memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri.
Pengalaman Hantar Anak Sekolah Cina
Menyedari akan kepentingan menguasai banyak bahasa atau multilingual untuk masa hadapan anak-anak, seorang ibu yang dikenali sebagai Che Sayidah Nafisah menceritakan pengalamannya menghantar dua orang anak lelakinya, Luth Rizky Dan Aisar Rizky ke salah sebuah sekolah cina di Pulau Pinang.
1) Bila Mula Hantar Anak Ke Sekolah Cina?
Saya menghantar anak ke sekolah cina atau dikenali sebagai SJK(C) sejak mereka berumur 4-5 tahun. Mereka memulakan sesi pembelajaran mengikut silibus yang bersesuaian dengan tahap umur anak-anak.
Ini kerana, pendidikan awal kanak-kanak di tadika dan prasekolah amat penting sekiranya ibu bapa merancang untuk menempatkan anak-anak meraka di SJK (C).
Selain pembelajaran asas, anak-anak diawal usia senang untuk menyerap bahasa lain dengan cepat walaupun hanya dengan bertutur sahaja.
2) Sebab Pilih Sekolah Cina Berbanding Sekolah Biasa
Alasan paling utama adalah dari segi kurikulum dan juga bahasa ketiga. Kita harus akui, anak-anak yang mempunyai kemahiran dari segi bahasa lain selain bahasa naratif harian mempunyai peluang yang lebih cerah apabila mereka melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu juga, SJK (C) amat menitikberatkan disiplin. Dapat dilihat sekiranya anak saya terlewat ke sekolah, mereka akan berasa sangat risau dan memaksa saya untuk memaklumkan kepada guru kelas.
Begitu juga dari segi tugasan sekolah yang diberikan, anaka-anak akan memastikan tugasan mereka siap mengikut waktu dan arahan guru.
3) Apakah Kelebihan Dan Kekurangan Anak Sekolah Cina
Setiap institusi pendidikan mempunyai cara dan gaya yang berbeza. Ini bermakna, setiap sekolah juga ada kelemahan yang berbeza.
Sebagai ibubapa kita yang mencorakkan anak-anak dan beri mereka semangat dan dorongan untuk menjayakan apa sahaja halangan yang ada.
Pada pendapat saya, kelebihan berada di sekolah cina, anak-anak akan lebih menghormati masa dan bersungguh-sungguh untuk bersaing dengan rakan yang lain
Kelemahan pula, mungkin dari segi makanan tidak halal yang dijual di kantin. Ibu ayah perlu menerangkan dengan baik apa yang boleh di makan dan apa yang tidak kepada guru di sekolah.
Tapi bagi saya, itu bukanlah masalah yang besar, ibu bapa boleh sediakan makanan yang mudah untuk dibekalkan kepada anak-anak.
4) Bagaimana Jadual Harian Anak Dan Penerimaan Mereka
Setiap hari, anak-anak saya telah dibiasakan untuk belajar dari jam 7.30 pagi sehingga 5.00 petang. Hal ini, telah diajar sejak mereka berada di prasekolah lagi.
Jadi mereka sudah terbiasa dengan jadual hari, iaitu 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari waktu persekolahan. Manakala 1.30 petang hingga petang adalah kelas tuisyen mereka.
Apabila anak-anak pulang ke rumah, jam 6.30 petang saya akan bawa mereka beriadah seperti bermain bola sepak, mandi laut dan bermain di taman permainan.
Waktu malam pula adalah waktu bebas untuk mereka. Saya benarkan anak-anak melakukan apa saja aktiviti mereka inginkan.
Sekiranya tiada kelas agama atau mengaji, saya tidak menghalang anak-anak mengunakan “ipad” atau bermain permainan komputer.
Bagi saya, ini zaman mereka dan itulah antara penghibur mereka. Setiap hari jam 10malam, mereka wajib tidur. Syukur mereka hanya menuruti sahaja jadual ini.
5) Bagaimana Cara Ibu Ayah Membantu Anak Ulang Kaji
Memandangkan zaman kini semakin canggih dengan kehadiran banyak kemudahan, saya merujuk ”Google Translate” dan video Youtube untuk mendapatkan jawapan serta menerangkannya pada anak-anak.
Bukan itu sahaja, guru di sekolah turut menyediakan video percuma sebagai rujukan ibu ayah dalam membantu anak-anak belajar.
Namun ini tidak bermakna anak-anak perlu bergantung pada saya sahaja. Kebanyakan masa saya membenarkan anak-anak mencari sendiri jawapan bagi melatih mereka untuk berusaha.
Selain itu, anak tidak akan rasa “stress” dan mereka boleh “enjoy”.
6) Halangan Dan Cabaran Sekolah Cina
Halangan utama yang kami hadapi adalah penulisan dan pemahaman bahasa Mandarin. Biasanya di sekolah Cina, hampir kesemua matapelajaran diajar dalam bahasa Mandarin kecuali Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu.
Memandangkan anak saya sudah mendaftar sekolah Cina sejak prasekolah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dengan baik. Namun dari segi penulisan dan pemahaman, masih memerlukan banyak masa untuk latihan.
Syukur guru mereka faham dan banyak membantu mereka. Sekarang anak pertama saya, Luth Rizky berada di darjah 3, dia sudah boleh bertutur, menulis dan membaca tulisan Mandarin dengan baik. Sebagai ibu, pencapaian ini sudah amat membanggakan.
7) Bagaimana Ibu Seimbangkan Dengan Pengajian Agama
Soalan ini ramai sangat yang bertanya. Mengejutkan walaupun berada di sekolah cina, tetap juga ada pembelajaran subjek agama islam dan kelas tasmik (mengaji Al-Quran) yang disediakan oleh pihak sekolah.
Selain itu, terdapat juga kem solat dan juga kurikulum yang lain untuk murid beragama islam. Bukan itu sahaja, saya juga menghantar anak- anak ke kelas mengaji dan fardu ain di luar waktu sekolah.
Ini bertujuan untuk memberi lebih pendedahan kepada anak-anak mengenai agama dan mereka juga dapat berkawan dengan lebih ramai lagi rakan dari sekolah yang berbeza. Itu sangat mengembirakan mereka.
8) Pencapaian Anak Di Sekolah Cina
Setakat ini, pencapaian anak di sekolah Cina adalah memperoleh band 4 dan 5 sewaktu PBD (pentaksiran bilik darjah) sudah cukup membahagiakan diri saya sebagai ibu.
Saya tidak menekan mereka untuk memperoleh nombor 1 di dalam kelas. Bagi saya, anak boleh menyesuaikan diri dan sedikit menonjol dengan cara tersendiri itupun sudah memadai.
Selain itu saya juga selalu berpesan pada mereka agar berfikir secara logik dan memberikan sepenuh perhatian di dalam kelas.
9) Tips Dan Nasihat Buat Ibu Ayah Lain
Kepada ibu bapa yang berhajat untuk menghantar anak- anak ke SJK(C), anda tidak perlu rasa bimbang. Kadang-kadang kita tidak tahu kemampuan anak-anak.
Tips paling penting sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa bersedia dan menjadi pendorong utama kepada anak-anak. Kekangan masa ibu ayah sebenarnya menjadi penghalang utama. Namun jangan risau kerana banyak kelas tuisyen tersedia bagi membantu anda.
Tidak salah untuk kita ”melabur” untuk pendidikan dan masa hadapan anak-anak. Jika ibu ayah tidak boleh menjadi guru di rumah, hantarlah anak ke pusat tuisyen.
Selain itu, ibu ayah tidak perlu menekan anak-anak untuk mencapai no1 di dalam kelas dan mengikut tahap kepuasan anda. Ini kerana, anak-anak sebenarnya bukanlah bahan ukuran kejayaan anda.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Jutawan & Kerabat DiRaja Ini Sibuk Nak Ajar Anak Mereka Bahasa Mandarin Kini
Baca juga: Ajar Anak Anda 3 Bahasa Asing Ini Untuk Mereka Lebih Berjaya Kelak!
Baca juga: Tak Pernah Paksa & Rotan Anak, Yana Samsudin Dedah Mateen Kuasai 3 Bahasa Sejak Bayi
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!