Antara salah satu tanda kehamilan yang paling jelas dan kerap terjadi pada ibu adalah alahan mengandung. Walau bagaimanapun tidak semua wanita mengalaminya, sehingga ada rasa risau dan tertanya-tanya kenapa tiada alahan semasa mengandung seperti ibu-ibu lain.
Alahan mengandung atau ‘morning sickness’ dalam bahasa medikal ialah mual dan muntah semasa kehamilan. Selalunya, alahan kehamilan ini boleh terjadi selepas beberapa minggu kehamilan.
Tidak seperti namanya, ada ketika ‘morning sickness’ tidak berlaku di waktu pagi sahaja. Ia juga boleh berlarutan hingga ke malam. Tapi, ada juga yang tiada alahan mengandung langsung! Patutkah anda risau dan tertanya-tanya apabila berdepan dengan keadaan ini?
Isi Kandungan
Kenapa tiada alahan semasa mengandung
Muntah-muntah semasa hamil trimester pertama adalah perkara yang sangat sangat biasa berlaku. Namun sekiranya anda hamil tanpa alahan, anda sepatutnya bersyukur kerana dapat menempuhi tempoh kehamilan dengan mudah.
Jangan risau jika tiada alahan ketika mengandung. Sebenarnya anda tidak keseorangan kerana masih ramai ibu seperti anda.
Justeru semak beberapa punca kenapa tiada alahan semasa mengandung meskipun sudah disahkan kehamilan.
#1. 1 daripada 3 wanita hamil tanpa sebarang tanda
Tahukah anda sebenarnya 1 daripada 3 wanita hamil tidak mengalami alahan semasa hamil. Jika anda salah seorang dari wanita ini, andalah seorang yang bertuah itu!
#2. Genetik punca mengandung tanpa alahan
Kenapa tiada alahan semasa mengandung yang seterusnya disebabkan oleh genetik.
Berterima kasihlah kepada ibu anda kerana genetik juga menjadi faktor tiada alahan semasa mengandung. Terdapat kajian mengatakan yang kemungkinan seseorang itu tidak mengalami alahan semasa hamil adalah kerana faktor genetik.
#3. Belum tiba masanya
Memang kebiasaannya alahan semasa hamil berlaku semasa awal kehamilan iaitu trimester pertama. Namun terdapat juga beberapa kes di mana ibu hamil mengalami alahan semasa trimester kedua atau ketiga.
#4. Kemungkinan jantina bayi adalah lelaki
Kajian menunjukkan yang kebanyakkan ibu yang tidak mengalami alahan teruk mendapat anak lelaki. Anda mungkin boleh mula memilih nama anak lelaki.
#5. Lain kehamilan lain keadaannya
Tidak semestinya kehamilan yang pertama anda tidak mengalami alahan, kehamilan yang seterusnya juga begitu. Setiap kehamilan, walaupun anak pertama dan kedua, pasti akan ada perbezaan sama ada dari segi alahan ataupun hal lain.
Sekiranya anda tidak mengalami sebarang alahan, ia bukanlah bermakna kehamilan anda bermasalah.
Selagi pemeriksaan dengan doktor menunjukkan keputusan yang normal, anda boleh terus menikmati perjalanan kehamilan anda tanpa muntah!
Jenis alahan mengandung
#1. Morning sickness
Ia adalah keadaan di mana ibu akan mengalami pening, loya dan muntah yang agak teruk pada waktu tertentu. Meskipun digelar sebagai morning sickness, kebanyakan ibu hamil mengatakan rasa ini datang tidak kira waktu seperti pagi, petang atau malam.
Bila jenis alahan mengandung ini terjadi, maka ramailah ibu yang baru dalam trimester pertama tidak bermaya sambil ulang alik ke tandas.
#2. Hyperemesis gravidarum
Alahan ketika mengandung ini dianggap sebagai tahap kritikal. Bila makan sedikit sahaja, pasti akan muntah kesemuanya.
Lebih perit lagi, tubuh tidak boleh langsung terima makanan atau minuman. Terlalu banyak muntah sehingga tekak luka berdarah dan berat badan mula menurun.
Kesannya, jenis alahan mengandung ini boleh menyebabkan ibu hamil mengalami kekurangan nutrisi, dehidrasi dan gangguan elektrolid dalam badan.
Anda mungkin terpaksa ulang alik ke hospital, ditahan dalam wad, masuk air dan nutrien menggunakan intravenous line drip (IV).
#3. Alahan pada bau masakan
Kebanyakan wanita berbadan dua amat sensitif dan tidak boleh bau masakan. Ia mengakibatkan rasa pening serta loya yang teramat.
Sebab itulah pada trimester pertama sesetengah ibu mungkin hanya memesan makanan sahaja atau suami mengambil tugas sebagai tukang masak ketika di rumah.
Bukan itu sahaja, ada juga ibu berdepan dengan jenis alahan mengandung yang tidak boleh bau wangi langsung seperti minyak wangi atau pelembut pakaian.
Anda juga mungkin terpaksa menukar sabun dan ubat gigi yang sedia ada kerana tidak dapat menahan rasa loya apabila menghidu bau dari bahan tersebut.
Sesetengah ibu turut mengalami alahan mengandung tidak boleh tengok suami atau bau badannya, hingga rasa ingin muntah dan sakit kepala.
Sebab itulah ketika ibu berdepan dengan tempoh alahan mengandung ini, para suami kena lebih bersabar dan memahami bahawa pasangan anda berubah menjadi sedemikian hanya kerana pembawakan anak.
Alahan kulit ketika mengandung
Selain berdepan masalah mual dan muntah, beberapa jenis alergi kulit ketika hamil turut menjadi perkara yang tidak menyenangkan.
Meskipun ia bukanlah serius, keadaan ini boleh menyebabkan ibu kurang keyakinan diri dan menganggu aktiviti seharian.
Ada banyak sebab berlakunya alahan kulit. Salah satunya disebabkan oleh perubahan kadar hormon dan imunisasi badan.
Biasanya alahan kulit akan menjadi kemerah-merahan, terasa gatal dan seterusnya menjangkiti ke bahagian tubuh yang lain.
Petua hilangkan alahan kulit
#1. Guna pakaian yang longgar dan selesa
Petua hilangkan alahan kulit ketika mengandung adalah pakaian. Pastikan kain yang menyentuh kulit diperbuat daripada bahan semulajadi. Nilon dan bahan tiruan boleh menyebabkan rasa gatal bertambah teruk.
Pakailah pakaian longgar yang membenarkan udara beredar di permukaan kulit. Kain yang bergesel dan bersentuhan dengan kulit boleh menyebabkan kerengsaan yang teruk.
#2. Elakkan mandi air panas
Cuba untuk tidak mandi pancuran air panas atau berendam dalam air panas terlalu lama (rujuk fakta seterusnya). Air dan haba boleh mengeringkan kulit, justeru, mandilah dengan air suam pada takat suhu yang selesa.
#3. Kurangkan penggunaan baju dalam
Petua hilangkan alahan kulit yang seterusnya adalah kurangkan penggunaan baju dalam.
Anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk tidak memakai coli selama beberapa jam setiap hari jika tali getahnya menyebabkan anda rasa gatal dan terganggu.
#4. Basuh kain cadar dan selimut
Anda juga mungkin perlu membilas kain cadar dan selimut beberapa kali jika anda berasa gatal pada waktu malam. Ini akan membantu menyisihkan saki-baki sabun daripada celah-celah benang.
Pastikan juga bahawa cadar anda diperbuat 100% daripada kapas dan bukan poliester/kapas campuran. Ini kerana benang tiruan boleh menyebabkan kegatalan yang amat sangat.
#5. Pelembap kulit
Sapukan pelembap kulit sekurang-kurangnya dua kali sehari atau sekerap mungkin. Masa terbaik untuk menyapu pelembap adalah semasa kulit anda masih terasa panas dan sedikit lembap selepas mandi.
Pastikan anda menyimpan losyen di dalam bilik mandi, bersebelahan dengan katil dan di atas meja kerja supaya anda sentiasa teringat untuk memakainya.
#6. Kurangkan suhu bilik ketika panas
Jika cuaca panas, gunakan kipas dan penyaman udara untuk mengurangkan suhu bilik. Kegatalan semasa mengandung menjadi bertambah teruk apabila berpeluh.
Jadi pastikan anda menyejukkan badan apabila berpeluang berbuat demikian.
#7. Mandi dengan kerap
Petua hilangkan alahan kulit yang lain adalah dengan mandi lebih kerap.
Mandi sekerap yang anda perlu untuk membantu menyejukkan badan. Semasa musim panas, anda tidak perlu mengelap badan hingga kering, sebaliknya biarkan air menyejat dari kulit.
Apabila anda berenang di kolam renang, anda mungkin mendapati bahawa klorin/garam/bahan kimia dalam air kolam boleh memburukkan lagi rasa gatal pada kulit. Oleh itu, pastikan anda membilas badan di bawah pancuran air sebaik sahaja keluar dari kolam.
Perut berdenyut awal kehamilan
Bagi ibu kali pertama, perut berdenyut awal kehamilan boleh membuatkan anda rasa kurang selesa dan risau. Namun ia adalah satu masalah yang normal kerana diibaratkan sebagai persediaan tubuh untuk menampung perkembangan janin.
Biasanya ia terjadi pada bahagian bawah perut dan akan beransur hilang dalam tempoh beberapa minit.
Tidak hanya rasa berdenyut sahaja, anda juga mungkin akan turut mengalami beberapa siri kekejangan disertai dengan pendarahan ringan.
Antara punca perut berdenyut awal kehamilan adalah:
- Proses implantasi
- Tumbesaran rahim
- Hubungan kelamin dengan pasangan
Walau bagaimanapun sekiranya anda merasakan perut berdenyut awal kehamilan secara berpanjangan dan diikuti rasa sakit, segeralah mendapatkan pemeriksaan di hospital.
Alahan mengandung seawal berapa minggu
Bagi anda yang ingin mengetahui alahan mengandung seawal berapa minggu, doktor ada jawapannya.
Menurut Pakar Kesuburan, Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) Pusat Perubatan Tropicana Dr Nurhazinat Mohamed Yunus, alahan tidak semestinya bermula pada awal tempoh kehamilan.
Sebaliknya berlaku sekitar minggu keenam dan boleh berakhir paling lewat ketika usia kandungan mencecah 16 minggu.
Alahan mengandung jarang berlaku pada peringkat awal. Ia mungkin hadir sekitar lapan ke sembilan minggu dengan rasa loya, mual, hilang selera makan dan kerap muntah.
Tanda awal kehamilan sebelum disahkan hamil
Ada beberapa tanda awal kehamilan sebelum disahkan hamil oleh doktor atau pemeriksaan klinik.
Ibu boleh semak beberapa tanda awal kehamilan sebelum disahkan hamil ini bagi memudahkan anda melihat sama ada ia terjadi pada diri ataupun tidak.
- Suhu badan yang terus meningkat
- Perubahan pada lendir serviks
- Payudara lebih sensitif, padat dan pejal
- Kerap membuang air kecil terutamanya waktu malam
- Hilang selera makan
- Mudah penat dan pening
Tanda mengandung anak lelaki
Sebelum pemeriksaan perut di klinik, ibu sebenarnya boleh mengagak jantina bayi dengan beberapa tanda mengandung anak lelaki ataupun perempuan.
Jika anda berhasrat menimang cahaya mata lelaki, ada beberapa tanda mengandung anak lelaki yang mudah anda kenal pasti iaitu:
- Kulit menjadi kering
- Ibu kerap sakit kepala sepanjang kehamilan
- Payudara ibu lebih kembang dari biasa
- Tanda mengandung anak lelaki: Perut ibu kelihatan besar pada bahagian bawah dan tajam ke hadapan.
- Degupan jantung si ibu kurang dari 140/minit.
- Kulit wajah ibu yang biasanya cerah berseri akan bertukar menjadi kusam dan sedikit gelap jika hamil anak lelaki.
- Selera ibu lebih kepada makanan-makanan masin seperti keju dan daging dan masam seperti jeruk dan asam.
- Jika rambut anda sebelum ini kelihatan kusam, tanda mengandung anak lelaki pula menunjukkan rambut si ibu akan menjadi lebat dan berkilat.
- Garisan hitam pada perut ibu akan berpanjangan dari bawah perut ke atas dan tiada putus-putus.
- Berat badan ibu mengandungkan anak lelaki juga bertambah lebih banyak berbanding ibu yang mengandungkan anak perempuan.
Tanda mengandung anak perempuan
- Alahan yang agak teruk
- Perubahan emosi disebabkan oleh tahap estrogen lebih tinggi
- Suka makanan manis
- Bentuk perut lebih bulat
- Ukuran payudara yang berbeza
- Kulit muka berminyak dan berjerawat
- Rambut gugur dan menjadi nipis
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 Jenis Alergi Kulit Ketika Hamil Boleh Mempengaruhi Janin, Ini Yang Ibu Wajib Tahu!
Baca juga: 10 Makanan Sihat Untuk Ibu Mengandung Agar Kulit Bayi Cerah & Bersih Ketika Lahir
Baca juga: Tak Puas Cuti Bersalin Untuk Suami Hanya Seminggu, Lelaki Nekad Berhenti Kerja Sebab Nak Jaga Anak