Nukilan seorang ibu yang menyayat hati apabila bayinya mati akibat Jangkitan Cronobacter

lead image

Selama 9 hari, bayi yang baru lahir ini parah dijangkiti sebuah jangkitan yang jarang berlaku. Baca post menyayat hati nukilan ibu mangsa dan ketahui dengan lebih lanjut tentang Jangkitan Cronobacter dan bagaimana untuk mencegah jangkitan ini.

“Kami bawa Axel ke Bilik Kecemasan pada 9 Jun 2016 apabila dia tidak berhenti menangis sejak pukul 3.30 pagi,” Jamie Nicole Shears membuka bicara dalam postnya di akaun Facebook. Keadaan sangat membingungkan ketika itu, hingga Jamie terpaksa membawa Axel ke hospital. Axel asyik meragam dan demam panas.

Jamie telah mencuba pelbagai cara untuk menenangkan Axel, tetapi gagal. Pada pukul 3 pagi, Axel diberikan puting dan cuba untuk ditidurkan. Axel tidur sebentar sebelum tiba-tiba bangun semula dan menangis dengan kuat.

“AKHIRNYA Axel boleh tidur. Saya dukung dan peluk dia dekat dengan dada saya. Selepas dia tidur, saya masih berjaga untuk lihat si manja saya itu akhirnya dapat tidur sebentar,” ulas Jamie lagi.

“Axel demam panas hingga mencecah 100.3 °C, tapi demamnya mula reda setengah jam selepas saya letak cool rag pada kepalanya…”

Jamie dan suaminya turut perasan yang Axel akan menangis dengan kuat apabila disentuh. Kedua-dua pasangan berusaha sehabis baik untuk menenangkan Axel sebelum mengambil keputusan untuk membawanya ke Bilik Kecemasan.

“Kami cuba beri Axel gas drops, mungkin dia sakit perut. Tapi tak berjaya. Saya cuba bagi Axel sendawa beberapa kali, masih juga tak berjaya. Kami cuba mendodoinya, membalut Axel dengan kain lembut agar dia selesa, memandikannya… SEMUANYA TAK BERJAYA DAN TAK MEMBANTU.”

Screenshot di bawah adalah post asal Jamie yang ditulis dalam akaun Facebook.

13620186_578499358988169_3617011464235065268_n

Di hospital, Axel bertukar kebiru-biruan dan tidak bernafas. Selepas menjalani ujian, doktor mengesahkan Axel dijangkiti Jangkitan Cronobacter, sebuah jangkitan bakteria pada darah yang menjejaskan cecair tulang belakang dan dibawa ke otak, mengakibatkan strok mini dan sawan.

Axel diberi alat bantuan pernafasan kerana dia tidak boleh bernafas dengan sendiri. Imbasan MRI juga mendedahkan keempat-empat bahagian otak Axel telah dijangkiti. Doktor pakar tidak dapat menjanjikan apa-apa, kerana keadaan Axel kritikal.

Pada tanggal 18 Jun, Jamie dan suaminya terpaksa mengambil keputusan yang amat berat untuk mematikan alat bantuan pernafasan Axel.

“Axel bertarung dengan kuat. Terlalu kuat… Tapi badan kecilnya tak boleh berlawan lagi… Sudah 3 kali dia pergi… tapi dia kembali. Dia bertarung lagi untuk kami. Tapi, pukul 11.35 pagi tadi, Axel benar-benar pergi buat selamanya.” ulas Jamie dalam kesedihan.

Axel hanya berusia 27 hari.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Jangkitan Cronobacter jarang berlaku namun merupakan sebuah jangkitan yang serius buat bayi yang baru lahir. Jangkitan Cronobacter diulas sebagai “sebuah bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan darah (sepsis) atau meningitis, (radang pada selaput meninges yang melindungi otak dan tulang belakang).

“Tanda-tanda jangkitan pada bayi adalah demam, kurang menyusu, kerap menangis dan lemah. Bayi dengan tanda-tanda ini harus dibawa ke hospital dengan segera.”

CDC turut menjelaskan dalam beberapa siasatan wabak, Jangkitan Cronobacter telah dijumpai dalam susu formula bayi (serbuk susu) yang telah tercemar ketika di kilang.

“Dalam beberapa kes, jangkitan Cronobacter ini mungkin telah mencemari susu serbuk formula bayi selepas ia dibuka di rumah atau di mana-mana ketika proses penyediaannya.”

Lindungi si manja daripada Jangkitan Cronobacter

Bagi mengurangkan peluang dijangkiti Jangkitan Cronobacter, CDC menyarankan agar si manja diberi susu ibu atau susu formula untuk bayi dalam bentuk cecair.

Namun, jika anda ingin memberikan susu formula pada si manja, ikuti langkah kebersihan dan penyimpanan yang betul. Ibu bapa harus membasuh tangan mereka sebelum membancuh susu dan pastikan tempat penyediaan susu telah dibersihkan.

CDC juga menasihatkan ibu bapa untuk membancuh susu formula dengan air panas bagi membunuh kuman. CDC menyarankan agar susu formula diguna dalam tempoh 2 jam selepas disediakan, dan buang semua baki susu jika ada. Jika susu formula tersebut tidak digunakan, simpan ia dalam peti sejuk.

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Penulis

Ayu Idris