Dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ibu di rumah hampir kering idea fikir aktiviti untuk anak. Kali ini kami kongsikan idea messy play yang ibu boleh cuba!
Messy play sangat bagus untuk anak-anak terutama yang masih kecil yang mana ia boleh dimulakan sejak usia mereka kurang setahun lagi tetapi dengan pemantauan ibu bapa.
Kenapa messy play penting untuk didedahkan kepada anak sejak di awal usia mereka?
Messy play bantu anak mahir guna deria badan
Messy play membantu anak untuk mahir menggunakan kemahiran deria badan. Kemahiran mengguna deria badan adalah langkah paling asas yang akan membantu anak-anak di dalam penguasaan akademik. Ia juga boleh elak anak jadi penggeli atau punyai masalah sensori.
Tanpa penguasaan kemahiran deria badan mereka mungkin boleh jadi bermasalah dalam penguasaan akademik termasuklah membaca dan menulis.
Antara kemahiran deria badan yang perlu anak kuasai termasuklah:
- Deria auditori – telinga
- Deria visual – mata
- Deria gustatori – mulut
- Deria olfaktori – hidung
- Deria sentuhan (tactile – tangan
- Deria vestibular – keseimbangan
Kanak-kanak perlu mahir mengguna tubuhnya sebelum belajar membaca, mengira dan menulis. Ini bermakna, sebelum kanak-kanak bijak akademik, mereka perlu bijak bermain.
Kemahiran mengguna deria badan dapat dikuasai melalui proses bermain. Seharusnya mereka tidak dihalang dari bermain kerana ia adalah sebahagian dari fitrah anak-anak.
Bermain amat baik untuk membantu membina kefungsian badan, meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi, menguasai kemahiran motor halus dan kasar dan kemahiran mengurus diri.
Kenapa deria sensori anak perlu dirangsang?
1. Kajian membuktikan permainan yang melibatkan deria (sensory/messy play) akan membantu di dalam membina beberapa bahagian otaknya terutama terutamanya yang mengawal bahagian anxiety.
2. Membantu dalam menguasai kemahiran pra-akademik seperti memberi tumpuan, menerima arahan, mengenali bentuk asas (penting untuk bantu kenal huruf), mengguna tangan dalam aktiviti menulis dan menggunting, dan sebagainya.
3. Sensory play menyokong pembinaan bahasa, kognitif, motor halus dan motor kasar, kemahiran menyelesaikan masalah serta interaksi sosial.
4. Membantu meningkatkan memori.
5. Meningkatkan kemahiran mengawal emosi dan daya fokus. Kemahiran ini menjadikan anak lebih tenang dan penyabar.
6. Kanak-kanak belajar sifat-sifat objek seterusnya belajar mengendalikannya.
7. Mengelakkan kanak-kanak mengalami kecelaruan/ masalah sensori yang dipanggil Sensory Processing Disorder (SPD).
5 idea messy play bagus untuk sensori anak
#1. Rainbow slime
Bahan-bahan:
- Kanji cair/ liquid starch
- Gam sekolah/ school glue – putih
- Pewarna makanan, warna air
Cara-cara:
- Campurkan kanji cair dan gam dalam kadar yang sama. Contohnya 1 cawan cecair kanji dan satu cawan gam. Seterusnya letakkan pewarna
- Ulang langkah 1 dengan pewarna berbeza pula
#2. Foam dough/ doh buih
Bahan-bahan:
- 3 cawan krim pencukur/shaving cream
- 1 cawan tepung jagung
- 1 sudu besar tepung jagung setelah semuanya sebati.
Cara-cara:
- Campurkan krim pencukur dan tepung jagung sehingga semuanya sebati dan sehingga boleh membentuk bola. Sekiranya terlalu basah, tambahkan 1 sudu besar tepung jagung tambahan.
#3. Beras berwarna-warni
Bahan-bahan:
- Beras/beras pulut
- Pewarna makanan – pelbagai warna
Cara-cara:
- Rendam beras semalaman dengan dengan pelbagai warna.
- Keringkan beras yang sudah berwarna dengan menjemurnya di bawah cahaya matahari
- Anda boleh berikan anak main dengan pelbagai cara sama ada mengasingkan ikut bekas berwarna dan sebagainya.
#4. Rainbow clean mud
Bahan-bahan:
- Tisu tandas
- Sabun buku
- Pencincang keju/sayur (cheese shredder) – digunakan untuk mencincang sabun
- Warna air
- Air
Cara-cara:
- Campurkan kesemua bahan, dan minta anak anda bentukkan mengikut bentuk kegemaran mereka
- Biarkan ia kering.
#5. Bihun berwarna-warni
Bahan-bahan:
- Bihun
- Pewarna makanan
Cara-cara:
- Rebus bihun
- Apabila ia sejuk bahagikan kepada enam bahagian dan masukkan dalam ziplock plastic yang mempunyai warna berlainan.
- Goncang plastik supaya warna rata ke semua bahagian bihun
- Apabila warna sudah rata, keluarkan bihun dari plastik dan jemur di bawah matahari sehingga bihun menjadi kering
- Boleh gunakan untuk anak anda bermain dengan mematah-matahkan bihun yang sudah kering dan sebagainya untuk merangsang deria sentuhannya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: lemonlimeadventures
Kredit foto: parenta
Baca juga: Manfaat “Sensory Play” dan Resipi DIY Pasir Kinetic