Ketepikan Ego, Genggam Tangan & Minta Maaf Pada Pasangan Sebelum Tidur - Rahsia Perkahwinan Berjaya!

Amalan yang ramai suami isteri terlepas pandang adalah sama-sama minta maaf sebelum tidur. Walaupun sakit hati dan terluka, paksalah diri untuk lakukannya

Dalam melalui setiap liku-liku kehidupan rumah tangga akan hadirnya pelbagai ujian dan suka-duka bersama. Meskipun sebesar apapun dugaan yang sedang menimpa diri, paksalah diri untuk minta maaf sebelum tidur dengan pasangan.

Konsep sebelum suami isteri melelapkan mata mestilah perlu berbaik-baik dahulu dan tidak membawa rasa marah itu sehingga esok pagi. Jika pasangan dibiarkan memendam perasaan sedih, marah atau kecewa, ia boleh menyebabkan hubungan menjadi hilang seri.

Suami isteri perlu minta maaf sebelum tidur

credit to sources

Mungkin pada mulanya anda dan suami berasa kekok kerana tidak pernah minta maaf sebelum tidur, atau boleh jadi juga rasa yang tak terluah. Namun apabila diri sudah terbiasa, tentunya tiada masalah untuk meluahkan setiap perkara.

Melalui tips kebahagiaan rumah tangga yang dikongsikan oleh Nur Farhana Rizal, dia menerima banyak persoalan dari orang sekeliling yang menanyakan adakah dia tidak pernah bergaduh dengan suami? Ini kerana orang lain sentiasa melihat kebahagiaan mereka setiap masa.

Namun jelas Farhana, rumah tangganya sama juga seperti orang lain yang ada pasang surutnya.

Mana ada hubungan yang tiada masalah. Wajib ada. Dah namanya tiket untuk ke syurga. Tentu sekali tiket syurga ini sangat mahal. Ujian yang datang juga pasti terlalu mahal.

Sejujurnya kami juga berusaha membina kebahagiaan bersama dengan bergelen-gelen air mata yang sudah tumpah. Kami membina bahagia dengan banyaknya pahit serta duka. Rumah tangga ini sama seperti kalian.

Sikit-sikit marah, sikit-sikit terasa. Sekejap yang ini menjeling dan sekejap yang itu pula mencebik. Haha, sama dengan pasangan lain!

Alam rumah tangga tidak seperti drama

credit to sources

Perkahwinan ini adalah realiti, kawan-kawan semua. Jalan ceritanya adalah bukan seperti drama. Juga bukan sketsa atas pentas teater yang manis dan indah sekali. 

Saya ada angin dan suami pun ada angin dia. Cara saya dan cara dia berbeza. Sama juga kemahuan. Saya ada kemahuan saya dan dia ada kemahuannya sendiri. Kami juga sama-sama berperang bagi memenuhi keinginan masing-masing.

Siapa yang selalu tarik muka, siapa yang selalu merajuk, siapa selalu mengamuk, siapa selalu buat tidak tahu, siapa selalu mengalah, memujuk? Biarlah ia menjadi rahsia kami berdua.

Tapi percayalah, kami juga sama seperti kalian. Dengan berjuta air mata itu semua, kami sama-sama berdiri dan mencari kebahagiaan dunia akhirat. Ada masa saya diam, dia akan faham.

Ada masa dia pula senyap seribu bahasa dan saya cuba faham. Biasanya cara kami adalah mendiamkan diri. Dan kemudian apabila sudah tenang, barulah kami berbicara dari hati ke hati.

Apabila tibanya waktu malam dan ingin tidur, kami sama-sama genggam tangan satu sama lain. Masa itulah air mata akan turun dengan laju. Beribu-ribu maaf akan keluar dari kedua-dua mulut kami.

Cuba dan paksa diri untuk melakukan

Iyalah, hampir satu hari tidak bertegur sapa. Seorang ke hulu, seorang ke hilir. Maka, apabila nak bertemu mati untuk seketika, wajib ucapkan kata maaf. 

Mintalah maaf walaupun sakitnya hati dan berilah maaf walau pedih, parahnya disakiti. Saling mohon maaf dan memaafkan insyaAllah berkesan melapangkan hati serta jiwa.

Mula-mula anda dan suami mungkin rasa ia amat susah dan berat. Namun paksalah diri, jadikan amalan pegang tangan satu sama lain sebelum tidur, ucapkanlah kata maaf. Walaupun tidak bergaduh dalam hari tersebut, tetap kena minta maaf sebelum tidur.

Usahlah meletakkan kata maaf kita sesuatu yang mahal. Dengan amalan ini setiap hari boleh melembutkan hati yang menderita, jiwa yang berduka. Pasangan sebenarnya ingin dengar kata maaf sahaja dari mulut kita.

InsyaAllah, Alah berikan hari esok yang juga bakal penuh ujian, namun Dialah juga yang melapangkan hati untuk kuat mengharungi sehingga ke penghujungnya. Yakinlah!

Mungkin agak berat nak katakan ‘maaf’ pada pasangan. Rasa ego dan tercabar. Namun cubalah untuk fikir kembali akan hubungan yang telah terbina, jangan hanya kerana pentingkan ego diri, anda sanggup melukakan hati insan tersayang.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Haruskah Suami Curang Dimaafkan? Amalkan Tips No 2 Pasti Bahagia Milikmu Isteri