Kehamilan adalah suatu proses yang menuntut si ibu dan orang di sekelilingnya belajar pelbagai perkara. Antaranya termasuklah makanan dan minuman ibu hamil yang sesuai diambil.
Minuman ibu hamil antara perkara yang perlu diambil perhatian, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mengalami morning sickness kerana mereka ini boleh mengalami dehidrasi jika berterusan muntah-muntah dan sebagainya.
Justeru, ada minuman yang dikatakan amat membantu dalam mengurangkan pening-pening dan loya ibu hamil. Ia juga membantu memberi kesegaran kepada ibu hamil sepanjang hari!
Minuman ibu hamil menyegarkan, kurangkan loya
Minuman yang diambil bukan saja melegakan dahaga, malah jika ia berkhasiat, minuman ini akan memberi nutrien dan vitamin kepada ibu dan bayi.
Disebabkan itu, pentingnya minuman yang diambil bagi memastikan ia tidak berbahaya kepada ibu dan bayi.
Sudah pasti sekiranya anda hamil, minuman yang perlu dielakkan termasuklah yang berkafein. Malah minuman beralkohol perlu dielakkan terus sekiranya ada hamil.
Jadi berikut adalah 10 jenis minuman yang baik untuk diambil ibu hamil:
#1. Air kosong
Semasa hamil, badan anda memerlukan lebih banyak air. Air adalah penting untuk sel-sel darah yang sihat dan untuk mengekalkan hidrasi badan.
Air juga merupakan komponen utama susu ibu, dan penting bagi pengeluaran susu yang baik.
#2. Air kelapa
Air kelapa merupakan sejenis minuman isotonik semula jadi, oleh itu ia membantu mengelakkan dehidrasi (nyahhidrat).
Air kelapa juga melegakan keletihan dengan mengembalikan garam semula jadi dalam badan yang hilang apabila anda berpeluh.
Ia adalah pilihan yang sangat sihat untuk melegakan dahaga ketika mengandung. Tapi ada juga yang kata ia tidak sesuai diminum pada awal trimester. Mungkin anda boleh amalkannya pada trimester ketiga.
#3. Lemonade
Jus limau atau lemonade mengekalkan hidrasi badan dan membekalkan vitamin C yang membantu badan anda menyerap zat besi dengan lebih berkesan. Anda boleh meminumnya bila-bila masa atau disajikan bersama hidangan makanan.
Jika anda mengalami mabuk hamil, jus limau atau lemonade dengan daun pudina dan halia boleh menjadi minuman alternatif yang lazat.
#4. Jus asli/segar
Kredit: Baby and I
Jus segar dari limau manis, oren, nanas, tembikai dan tembikai wangi adalah minuman yang sesuai untuk cuaca panas. Jika anda minum jus segar yang baru diperah, ia penuh dengan semua nutrien daripada buahnya.
Jika anda membeli jus dari kedai, pastikan ia mempunyai label “100% jus”. Jika tidak, minuman itu mungkin mengandungi gula tambahan dan perisa tiruan.
#5. Minuman berasaskan susu
Produk susu kaya dengan kalsium, protein dan vitamin B-12. Dalam cuaca panas, susu skim sejuk dan lassi sesuai untuk menyegarkan dan mengekalkan hidrasi badan.
Smoothie buah-buahan yang dibuat menggunakan susu, dadih, ais dan buah-buahan ini penuh dengan mineral dan nutrien. Semua ini menghidratkan badan anda selain merupakan makanan ringan yang sihat di antara waktu makan.
Walau bagaimanapun, bincanglah dengan doktor anda jika anda mengalami masalah alahan pada susu lembu.
#6. Buah-buahan dikisar
Buah-buahan yang dikisar menjadi air membekalkan pelbagai nutrien, serbat buah dipercayai mendinginkan badan, menghidratkan serta membantu ibu-ibu mengandung menangani mabuk hamil.
#7. Jus sayur
Jika anda mempunyai masalah mendapatkan sayuran yang mencukupi dalam diet anda, cuba minum jus sayur-sayuran. Pada waktu siang yang panas, jus sayur-sayuran sejuk memang lazat. Ia juga akan menyegarkan dan memberikan anda nutrien.
#8. Mocktail buah
Mocktail buah-buahan membantu anda mendapatkan beberapa nutrien yang anda dan bayi anda perlukan. Buah yang sesuai untuk digunakan termasuk strawberi, laici, nanas dan limau.
#9. Air dengan buah-buahan beku
Anda boleh menjadikan segelas air kosong lebih menyegarkan dengan menambah buah-buahan beku seperti oren, lemon, kiwi, pic, aprikot dan plum, bukannya ketulan ais sahaja.
Buah beku juga kelihatan berwarna-warni terapung-apung di dalam air yang jelas dan ia menyejukkan minuman anda sambil memberikan sedikit rasa buah apabila ia mencair.
#10.Teh ais
Dalam cuaca panas, teh ais mungkin lebih menyegarkan daripada yang panas. Hirisan lemon yang ditambah pada teh ais juga boleh melegakan mabuk hamil.
Namun begitu, perlu diingat bahawa teh mengandungi kafein, oleh itu berpada-padalah meminumnya. Ketahui lebih lanjut mengenai jumlah kafein yang selamat diambil ketika hamil.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: babycenter
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!