Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 atau musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula pada Sabtu ini (11 November) dan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, dalam tempoh itu, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.
Beliau berkata, semasa fasa awal MTL bermula bulan ini hingga Januari depan, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.
“Bagaimanapun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri lain dalam negara.
“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.
“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.
Manakala, pada fasa akhir MTL iaitu Februari hingga Mac tahun depan dijangkakan utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah, Labuan dan utara Sarawak) mengalami kurang hujan.
“Keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka bermula Mac tahun depan berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba.
“Situasi ini berikutan El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun depan dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun 2024,” katanya.
Berikutan keadaan semasa, Muhammad Helmi menasihatkan orang ramai bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia.
“Maklumat boleh didapati melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia.
“Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.
Persediaan Musim Tengkujuh
Berikut adalah beberapa peringatan atau tips keselamatan yang boleh diamalkan sepanjang musim tengkujuh.
1. Jangan sentuh wayar elektrik
2. Elak berjalan dalam air
3. Berhati-hati dengan nyamuk
4. Berhati-hati ketika memandu
Elak memandu laju dan mengekori kereta di hadapan anda dengan rapat, elakkan membuat sebarang pusingan mengejut juga. Berhati-hati dengan penunggang motosikal semasa hujan.
5. Cabut plug peralatan elektrik
6. Sediakan payung dan baju hujan
7. Sediakan kit kecemasan
Berikut ialah senarai semak item yang mesti ada dalam kit kecemasan anda:
- Air bersih
- Krim penghalau nyamuk
- Termometer
- Bandage dan kapas
- Ubat-ubatan
- Bahan makanan yang tidak mudah rosak
- Lampu kecemasan dan bateri
- Set pakaian dan stokin tambahan
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Tips Penting Untuk Ibu Hamil & Ibu Ayah Baharu Hadapi Banjir, Elak Persiapan Last Minute!
Baca juga : Doa Hujan Lebat & Angin Kencang Bagi Mengelakkan Banjir Atau Bencana Alam
Baca juga : Budak Koma Lepas Lintah Masuk Punggung Masa Banjir, Ini 6 Fenomena Banjir Yang Gemparkan Malaysia!