Kehadiran cahaya mata tidak hanya membuatkan ibu ayah sahaja berasa cukup teruja, tetapi seluruh ahli keluarga merasakan perkara sama sehingga ada yang memberi beberapa pilihan nama anak unik bagi memudahkan kerja anda.
Seperti berita yang telah tular di Filipina baru-baru ini, seorang bayi telah mendapat nama begitu unik dan lain dari yang lain dari orang tuanya.
Tular kisah nama anak unik, Ghlynnyl Hylhyr Yzzyghyl
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh pihak media tempatan, GMA News Onlien, keluarga bayi berkenaan telah sepakat memilih nama anak unik dan panjang iaitu Ghylynnyl Hylhyr Yzzyghyl Mampuan Buscato.
Nama bayi yang sukar disebut dan ejaannya telah diputuskan oleh datuk kepada bayi berkenaan, Raugyl Ferolin Estrera berasal dari Carmen, Cotabato.
Menjelaskan kepada media, dia memilih nama cucunya dengan nama anak unik ini adalah kerana ia merupakan gabungan beberapa huruf daripada namanya dan juga nama ayah, ibu dan nenek kepada bayi tersebut.
”Saya meletakkan nama kepada sesuatu yang sangat berharga dalam keluarga kami. Nama anak ini tidak boleh dikarang.” jelasnya.
Difahamkan proses untuk sijil kelahiran juga begitu sukar sehingga pegawai pendaftaran terpaksa mencetak semula dokumen tersebut kerana mereka telah melakukan kesalahan dalam ejaan namanya.
Bagi memudahkan setiap orang memanggil nama bayi berkenaan, Estrera telah meletakkan nama panggilan kepada cucunya sebagai ‘Konsonan’ kerana kurangnya huruf vokal.
Dia juga berniat untuk mengajarakan Konsonan cara mengeja namanya apabila sudah dewasa, boleh membaca dan menulis. Estrera menerangkan pada awalnya mereka yang membantunya mengeja dan menjelaskan sejarah kenapa dia diletakkan nama seunik itu.
”Kami akan menjelaskan asal-usulnya sehingga dia faham, anak itu tahu betapa penting namanya,’ jelas Estrera.
Panduan memilih nama anak unik dan baik dalam Islam
Pepatah Melayu ada mengatakan, ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.’ Adalah menjadi hak dan kewajipan ibu ayah memilih nama yang baik kepada bayi baru lahir.
Setiap nama yang diberikan hendaklah ada tujuan dengan maksud mengandungi doa, boleh dipercayai dan berkaitan sahsiah anak tersebut.
Islam amat menganjurkan pemilihan nama anak yang baik kerana ia lambang identiti seseorang dan nama itulah akan dikenali sepanjang hayat serta sebutan sehingga hari akhirat.
Bukan itu sahaja, apabila orang sekeliling memanggilnya dengan nama tersebut, maka pada sepanjang hayatnya mereka seolah-olah berdoa untuk anak berkenaan.
Waktu yang sesuai memberi nama kepada anak
Bagi ibu ayah baru, anda disunatkan memberi nama kepada bayi pada hari ketujuh kelahirannya sebagaimana sabda Rasulullah S.AW:
كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَةٍ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ، وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى
”Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan suatu aqiqah; disembelih untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberikan nama.” (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Hasan r.a. dari Samurah bin Jundub r.a)
Selain itu Rasullah juga pernah memberikan nama kepada bayi pada hari dia dilahirkan. Hadis Abu Musa al-Asy’ari menceritakan:
وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَسَمَّاهُ: إِبْرَاهِيمَ، وَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ
”Telah dilahirkan untukku seorang anak, lalu aku membawanya kepada Rasulullah S.A.W, maka baginda menamakannya Ibrahim dan baginda mentahniknya dengan sebiji buah tamar serta baginda mendoakan keberkatan untuknya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Tips ketika memberi nama anak
- Disunatkan memberi nama-nama yang baik dan elok
- Nama yang paling baik atau elok ialah Abdullah dan Abdurrahman kerana ia disukai oleh Allah
- Harus memberi nama sempena para Nabi seperti Ibrahim, Hud, Soleh, Muhammad dan sebagainya. Rasulullah juga telah menamakan salah seorang anaknya dengan nama Ibrahim
- Jika ditakdirkan bayi meninggal di dalam perut, keguguran atau meninggal sewaktu dilahirkan, disunatkan memberikan nama kepada mereka. Terimalah dengan hati yang redha kerana anak yang meninggal sebelum umur baligh adalah mati syahid dan menjadi syafaat kepada ibu ayah di akhirat kelak
Kredit foto: Google Images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 100 Nama Bayi UNIK Bagi Tahun 2020, Nama Corona, Lockdown & Sanitiser Pun Ada!