Dalam Islam, perkahwinan merupakan satu ikatan yang suci dan dianggap sebagai amanah yang besar antara suami dan isteri. Namun, seperti mana-mana hubungan, cabaran boleh berlaku, termasuk permasalahan berkaitan nusyuz. Istilah nusyuz sering dikaitkan dengan isteri, namun hakikatnya, nusyuz suami juga boleh berlaku.
Isi Kandungan
Apa Itu Nusyuz Suami
Nusyuz bermaksud penderhakaan atau keingkaran terhadap tanggungjawab yang ditetapkan oleh syariat dalam perkahwinan.
Dalam konteks suami, nusyuz merujuk kepada sikap suami yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga, sama ada dengan mengabaikan hak-hak isteri, berlaku zalim, atau meninggalkan kewajipan sebagai seorang suami yang baik.
Suami Nusyuz Dalam Islam
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hukum nusyuz tidak berlaku pada isteri sahaja, malah juga berlaku kepada seorang suami.
Nusyuz seorang suami adalah apabila dia tidak memberi hak dan tanggungjawab kepada isterinya dari segi zahir dan batin seperti tidak memberi nafkah serta melakukan kezaliman.
Suami yang menganiayai isteri dan tidak menyukainya seperti tidak memberikannya giliran bermalam sekiranya dia berpoligami, nafkah atau mengasarinya dengan perkataan atau perbuatan, isteri hendaklah menasihati suami dan mengingatkan tanggungjawabnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/109).
Seorang isteri hendaklah bersabar serta menasihati suaminya tentang kewajipan seorang suami melayani isterinya dengan cara baik, sebagaimana firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَرِثُوا۟ ٱلنِّسَآءَ كَرْهًۭا ۖ وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا۟ بِبَعْضِ مَآ ءَاتَيْتُمُوهُنَّ إِلَّآ أَن يَأْتِينَ بِفَـٰحِشَةٍۢ مُّبَيِّنَةٍۢ ۚ وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَيَجْعَلَ ٱللَّهُ فِيهِ خَيْرًۭا كَثِيرًۭا
Maksudnya:
“Wahai orang yang beriman, tidak halal bagi kamu untuk mewarisi perempuan yang kematian suaminya dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti isteri kamu dengan menahan dan menyusahkan mereka kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada mas kahwin yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali sekiranya mereka melakukan perbuatan keji yang nyata seperti zina.
Dan hendaklah kamu bergaul dengan isteri-isterimu dengan cara yang baik. Jika kamu berasa benci kepada mereka, maka bersabarlah dan jangan kamu terburu-buru menceraikan mereka, kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah jadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah al-Nisa’: 19)
Apa Perlu Buat Jika Suami Nusyuz?
Sekiranya suami belum berubah dan masih mengulangi perbuatannya maka isteri boleh mengadu kepada hakim atau pihak pemerintah mengenakan hukuman terhadap suaminya di atas apa yang dilakukan terhadap dirinya.
Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:
وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَٱبْعَثُوا۟ حَكَمًۭا مِّنْ أَهْلِهِۦ وَحَكَمًۭا مِّنْ أَهْلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصْلَـٰحًۭا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيْنَهُمَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًۭا
Maksudnya:
“Dan jika kamu bimbang akan berlaku permusuhan antara pasangan suami isteri itu, maka hendaklah kamu melantik seorang pendamai daripada keluarga lelaki dan seorang pendamai daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua pendamai tersebut menginginkan perdamaian antara pasangan suami isteri, nescaya Allah akan memberi taufik kepada kedua suami isteri itu untuk kembali berdamai. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Nisa’: 35)
Oleh yang demikian, permasalahan rumah tangga hendaklah dirujuk kepada pihak yang berautoriti dalam menyelesaikan masalah ini, agar dapat mengadakan perbincangan damai serta menyelesaikan perselisihan rumah tangga dengan jalan yang terbaik.
Justeru, selain itu juga, setiap pasangan suami isteri perlu ada ilmu pengetahuan dan kesedaran tentang keburukan serta kesan melakukannya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/686-687).
Tanda-Tanda Suami Nusyuz
Suami nusyuz adalah jarang kedengaran disebabkan oleh para isteri jarang buat permohonan cerai disabitkan suami nusyuz kerana suami yang memberi nafkah dalam keluarga.
Menurut perkongsian peguam Syarie, Fahmi Ramli, ada beberapa tanda suami nusyuz dalam perkahwinan:
1. Nusyuz Melalui Percakapan
Suami boleh dikira nusyuz disisi syarak jika dia seringkali tidak mahu bercakap dengan isterinya dan bercakap kasar. Kasar disini bermaksud sering memanggil isteri dengan perkataan yang keji dan tidak sepatutnya. Dan ada ketika memberi gelaran yang jijik pada isteri dan mencarut dalam perbualan.
Suami juga boleh dikira nusyuz jika dia mengarahkan isterinya untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak. Contohnya, menyuruh isteri melacur untuk cari pendapatan. Nauzubillah.
2. Nusyuz Melalui Perbuatan
Suami dikira nusyuz bila dia langsung tidak melakukan hubungan kelamin dengan isterinya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak. Bahkan lebih teruk bila dia berzina dengan wanita lain selain dari isterinya untuk puaskan nafsu.
Paling dikira nusyuz bila suami bertindak kejam dan keras terhadap isteri seperti memukul, menarik rambut, menggigit dan lain-lain yang boleb datangkan kecederaan pada tubuh badan isteri. Kasihankanlah isterimu itu wahai lelaki.
Nusyuz juga bagi suami yang tidak menyediakan nafkah yang sewajarnya dari segi makan minum, pakaian dan tempat tinggal kepada isteri tetapi menghabiskan duitnya kepada benda yang tidak berfaedah seperti membeli rokok. Mintak maaf, ini hakikat.
Tidak memelihara kehormatan isteri juga boleh dikira sebagai nusyuz dimana sering membuka aib isteri tambah-tambah hal dalam kain. Dan nusyuz juga bagi suami yang berpoligami tetapi tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya.
Dosa Besar Suami Yang Nusyuz
Walaupun suami nusyuz ini tidak dituntut disisi undang-undang, tetapi dosanya amatlah besar disisi Allah kerana isteri itu adalah amanahnya yang paling besar.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kesetiaan Isteri Diuji Apabila Suami Tidak Punya Harta, Sejauh Mana Kebenaran?
Baca juga : Isteri Derhaka Pada Suami Tidak Akan Bau Syurga, 7 Perkara Ini Ramai Wanita Buat
Baca juga: Tugas Suami Dalam Rumah Tangga Menurut Islam, 5 Perkara Perlu Disediakan Untuk Isteri