Banyak Cara Pantang Selepas Bersalin Boleh Dipraktik, Yang Penting Ibu Happy!

undefined

Pantang larang selepas bersalin ada banyak dan pelbagai. Malah ia merangkumi semua aspek. Yang penting, ambil Confinement Lady okay!

Pantang larang selepas bersalin ini ada banyak dan pelbagai. Malah ia juga merangkumi semua aspek, baik daripada segi pemakanan, penjagaan luka jahitan bersalin, aktiviti seharian, cara menguruskan bayi, urutan bersalin dan banyak lagi.

Malahan, timbul juga persoalan di mana adakah berpantang selepas bersalin ini ajaran agama Islam ataupun adat orang melayu? Perlu diingatkan bahawa berpantang di dalam Islam sememangnya sangatlah mudah. Oleh itu, janganlah kita menyulitkannya.

Berpantang pada zaman sekarang ini sudah menjadi kemestian buat mana-mana wanita yang baru sahaja melahirkan bayi. Berpantang juga dikenali sebagai tempoh ‘ekslusif’ bagi wanita untuk memperbaiki semula segala ‘kerosakan’ dalam tubuh badan selepas berjuang melahirkan cahaya mata. Pendek kata, waktu berpantang ini, para ibu akan berehat sahaja. Tak boleh buat kerja!

Pantang Larang Selepas Bersalin Dari Pelbagai Sudut

Untuk para ibu yang pertama kali mengandung dan melahirkan, jangan bimbang kerana kami di theAsianparent merungkai pantang larang lain yang mungkin anda tak tahu atau tahu, tapi terlepas pandang. Memang zaman kini ramai yang tertanya-tanya adakah masih perlu berpantang. Ia sebenarnya mengikut keperluan badan seseorang. 

#1. Kesihatan

  • Jangan melakukan hubungan seks dalam tempoh 6 minggu selepas bersalin kerana ibu memerlukan masa untuk kembali pulih.
  • Dalam tempoh ini juga, biarkan luka koyakan di bahagian vagina sembuh sepenuhnya. Ia turut dipanggil luka episiotomi di mana koyakan yang dilakukan di bahagian perineum apabila bayi memerlukan bukaan yang lebih besar untuk keluar.

#2. Pemakanan ketika berpantang: Sumber protein dan makanan laut

  • Dilarang makan ikan masin dan kering kerana ia menyebabkan darah nifas berbau busuk dan cepat kering.
  • Juga elak makan ikan berbisa seperti bawal hitam, terubuk, pari dan sembilang. Jenis ikan yang macam ini menyebabkan bisa dan bentan.
  • Elakkan juga makanan laut yang menyebabkan kegatalan pada sekitar luka jahitan.

#3. Ulaman dan sayuran

  • Dilarang makan sayuran menjalar, sejuk dan berangin seperti kangkung, timun, pucuk ubu, pucuk paku, bayam, jering, petai dan labu.
  • Elakkan minum bergas dan sejuk.
  • Buah-buahan seperti nangka, cempedak, pisang, ubi dan manggis. Juga dilarang!

#4. Penjagaan diri dan emosi

  • Jaga emosi sebaiknya. Jangan terlalu mengikut perasaan marah atau sedih. Sekiranya anak menangis tak henti-henti, cuba kawal perasaan dan beristighfar. Minta pertolongan daripada suami atau emak jagakan bayi.
  • Jangan mengelak dari berbengkung dan mengurut. Ini penting untuk melancarkan peredaran darah dan pengeluaran angin menjadi lancar.
  • Dilarang menekan, menolak atau memaksa peranakan dalam tempoh dua minggu pertama. Jika mengurut, ingatkan tukang urut tidak menyentuh di bahagian peranakan. Hanya boleh urut dibahu, leher, dada dan payudara.

#5. Pantang larang lain selepas bersalin yang mungkin anda tak tahu!

  • Dilarang tidur tidak bebantal kerana menyebabkan ibu sakit kepala.
  • Jangan menjahit dan membaca. Ia boleh menyebabkan ibu rabun sebelum tua.
  • Jangan duduk bercangkung ketika mandi. Jika boleh duduk atas kerusi.
  • Rapatkan kaki semasa tidur bagi peranakan sembuh cepat.
  • Jangan terlalu aktif. Duduk diam selama seminggu. Biarkan confinement lady, emak atau suami uruskan bayi.

Apakah Perkara Normal Ketika Berpantang?

pantang larang selepas bersalin, tempoh berpantang selepas bersalin, berpantang selepas bersalin, pantang bersalin, berpantang selepas bersalin

Antara perkara yang sering dipraktikkan oleh wanita ketika berpantang selepas bersalin adalah:

  • Berurut.
  • Memakai bengkung.
  • Bertangkas.
  • Menyapu pilis.
  • Berpantang makan.
  • Memastikan kaki tak berasa sejuk.
  • Meletakkan tempoh tertentu untuk ‘bersama’ dengan suami.
  • Tempoh berpantang selepas bersalin sehingga 44 hari.

Untuk pengetahuan anda, berpantang selepas bersalin ini akan dimulakan satu jam selepas ibu melahirkan anak. Tempoh post-partum wanita Melayu kebiasaannya 44 hari walaupun tempoh yang lebih panjang 60-100 hari juga diikuti oleh sesetengah wanita.

Ini kerana daripada sudut perubatan, sekitarnya darah nifas habis sebelum 44 hari dan luka juga sudah sembuh, maka tiada halangan untuk wanita kembali ‘bersama’ suami atau melakukan hubungan kelamin.

Jadual Berpantang Selepas Bersalin 

Pembantu, keluarga, atau orang di sekeliling tidak akan selamanya akan ada bersama anda untuk membantu. Oleh itu, anda disarankan untuk mengeluarkan jadual dan perancangan berpantang. Kalau boleh, buatlah siap-siap lauk berpantang, dibekukan, bila nak makan tinggal panaskan sahaja. Barulah proses berpantang anda akan kelihatan lebih teratur dan tak memerlukan ramai orang untuk membantu anda.

Set keutamaan untuk waktu selepas bersalin adalah pelan dan jadual berpantang.

Ini termasuk keputusan untuk cuti daripada bekerja, perancangan untuk berpantang di mana, siapa akan menjaga semasa berpantang, pemakanan, tidur, bayi, penjagaan bayi, dan sebagainya. Kesemua ini adalah penting dan akan mempengaruhi kesihatan mental anda sebagai seorang yang baru sahaja melahirkan.

Jangan ambil mudah, ya!

Adakah Confinement Lady (CL) Penting Dalam Proses Berpantang?

pantang larang selepas bersalin, tempoh berpantang selepas bersalin, berpantang selepas bersalin, pantang bersalin, berpantang selepas bersalin

Umum sedia maklum, pakej bersalin kebiasaannya didatangi dengan servis menguruskan ibu dan bayi sepanjang tempoh berpantang. Ini termasuklah mengurut ibu, menyediakan perkhidmatan spa seperti lulur dan bertungku, memandikan bayi dan membasuh baju serta menyediakan makanan buat si ibu.

Malah, ada juga pakej di mana menawarkan Confinement Lady (CL) tinggal bersama sekali dengan bayi dan ibu mengikut tempoh yang tertentu dan dikehendaki.

Jika ditanyakan, CL ini sememangnya penting untuk diambil. Ini kerana jikalau si ibu mengalami komplikasi seperti sembelit, luka jahitan belum sembuh, dan trauma untuk ke bilik air dan sebagainya, sekurang-kurangnya CL ada untuk membantu. Tidaklah kita menyusahkan ibu bapa atau mentua, kan? Kasihan mereka.

Setiap wanita bersalin disarankan untuk ditemani oleh seseorang yang boleh fokus kepada menjaga ibu dan bayi ketika tempoh berpantang. Sokongan daripada CL juga akan banyak membantu meringankan kerja-kerja seperti memasak dan menguruskan bayi.

Paling penting adalah rawatan tradisional seperti berurut, bengkung, bertangas dan param pilis untuk mengembalikan semula kecergasan badan si ibu dengan segera.

Apakah Yang Perlu Ibu Lakukan Supaya Dapat Berpantang Dengan Tenang?

pantang larang selepas bersalin, tempoh berpantang selepas bersalin, berpantang selepas bersalin, pantang bersalin, berpantang selepas bersalin

#1. Minum air secukupnya

Manusia dewasa perlu mengambil 2 ke 3 liter air sehari, apatah lagi buat wanita yang baru selamat melahirkan anak. Pengambilan air yang cukup setiap hari amat penting bagi menghasilkan susu ibu yang banyak untuk penyusuan bayi. Ini kerana susu ibu mempunyai komponen air yang tinggi.

Tambahan pula, dengan pengambilan air yang secukupnya juga dapat menghindarkan diri daripada masalah sembelit. Jika dilihat pada kata orang dahulu, yang mana mengatakan jika wanita bersalin minum air yang banyak semasa proses pantang akan menyebabkan urat menjadi kembang, ia sebenarnya tidak lagi relevan pada ketika ini.

#2. Ambil makanan berkhasiat

Zat nutrisi amatlah penting bagi wanita yang baru melahirkan anak. Ia boleh didapati menerusi makanan yang berkhasiat. Oleh itu, para ibu disarankan untuk mengamalkan pengambilan makanan berkhasiat dengan sukatan ini; suku pinggan karbohidrat, suku pinggan protein, separuh pinggan adalah sayur dan buah.

Makanan ibu berpantang tidak sepatutnya dicatu atau disekat yang mana dengan hanya nasi putih dan ikan bilis atau ikan kering semata, ini kerana ia sudah pasti membuatkan para ibu tidak mendapat nutrisi yang mencukupi.

#3. Kekal aktif

Berpantang tidak bermaksud si ibu patut menghentikan segala aktiviti aktif sebelum ini. Yang penting, jangan bermalas-malasan. Ibu yang sedang dalam proses berpantang perlu banyakkan bergerak mengikut pada kemampuan sendiri dengan melakukan sedikit sebanyak kerja rumah adalah salah satu aktiviti yang boleh ibu berpantang lakukan disamping dibantu oleh orang di sekeliling.

Ini kerana kekal aktif bertujuan untuk mengelakkan darah beku pada kaki kerana jika darah beku tersebut bergerak ke arah paru-paru, ia sangat merbahaya dan boleh membawa maut.

#4. Bertungku

Menurut sains, bertungku adalah di mana haba yang terkumpul pada batu tungku dituam pada permukaan kulit yang mana akan membuatkan saluran darah pada bahagian yang ditungku akan mengembang. Ini sekaligus menjadikan yang peredaran darah bertambah baik apabila saluran darah berkembang.

#5. Sentiasa berfikiran positif

Sememangnya bergelar ibu adalah satu perubahan yang besar berlaku buat mereka yang baru bergelar ibu. Dengan tanggungjawab baru yang dipikul semestinya ada membuat sesetengah ibu berasa bimbang dan gusar. Tak mengapa, itu normal. Tapi perasaan itu jangan dilayan terlalu lama. Anda harus bangkit kembali!

Sebab itulah sokongan daripada ahli keluarga terdekat amat penting ketika tempoh ini. Ia sedikit sebanyak akan membuatkan para ibu sentiasa berfikiran positif dan tidak membawa kepada perkara yang merbahaya.

Semoga artikel ini bermanfaat.

  1. FunEmpire (April 19, 2022 ) 8 Best Confinement Nanny in Singapore www.thefunempire.com/confinement-nanny-singapore/)
  2. Harian Metro (March 31, 2020). Berpantang Pulih ‘Kerosakan’ www.hmetro.com.my/WM/2020/03/560573/berpantang-pulih-kerosakan

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Berpantang Sendiri Ketika PKP Agak Mencabar, Ibu Perlu Tahu Cara Betul Uruskan Diri

Baca juga:  Berpantang Selepas Bersalin Mengikut Adat Melayu, India dan Cina

Baca juga: 9 Pantang Larang Selepas Bersalin, Jika Ibu Tidak Ikut Boleh Mudaratkan Diri & Bayi!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!