Bagi wanita yang telah mengalami keguguran, adalah sangat penting untuk amalkan pantang selepas keguguran supaya diri anda sentiasa dalam keadaan sihat dan kembali bertenaga. Malah, rahim anda juga akan cepat sembuh dan dalam keadaan terbaik serta bersedia bagi proses kehamilan yang seterusnya.
Antara kepentingan pantang keguguran yang lain juga adalah kerana wanita sangat cenderung untuk terdedah dengan pelbagai jenis penyakit dan juga mengalami keadaan seperti lenguh di bahagian ari-ari, pinggang dan sendi.
Semua ini adalah antara kesan selepas keguguran jika anda tidak berpantang atau tidak mengamalkan pantang dengan betul.
Pantang Selepas Keguguran Yang Baik Untuk Ibu
Keguguran terjadi apabila embrio atau dikenali janin dikeluarkan dari rahim sebelum kehamilan memasuki usia 20 minggu. Keguguran ini pastinya akan memberi impak yang mendalam ke atas mental dan fizikal wanita yang mengalaminya.
Oleh itu, proses berpantang selepas keguguran merupakan satu terapi yang sedikit sebanyak dapat membantu mengembalikan kesegaran dan juga kesihatan kepada tubuh badan dan juga emosi anda. Berikut merupakan cara merawat badan selepas mengalami keguguran supaya tubuh tetap sihat seperti selalu.
#1. Tempoh berpantang
Menurut petua orang dahulu, pantang lebih lama lebih bagus. Sebab itu, pantang selepas keguguran adalah sama seperti orang bersalin iaitu selama 44 hari.
Namun, kita sedia maklum wanita sekarang semuanya berkerjaya dan mustahil untuk berpantang lama-lama. Maka, sebolehnya, berpantanglah selama dua minggu selepas keguguran seperti tempoh cuti sakit yang dikeluarkan pihak hospital.
#2. Jaga pengambilan makanan
Biasanya, doktor tidak melarang sebarang jenis makanan pantang gugur. Tetapi ibu perlu mengambil makanan yang berkhasiat, seimbang, kurangkan makanan manis, elakkan yang berminyak dan berlemak.
Sebaiknya, ambil banyak minuman air suam dan makanan seimbang seperti ikan, sayuran hijau, buah kurma, kismis, susu panas, sup dan lain-lain. Elakkan juga makanan laut yang berbisa seperti mana pantang larang ibu selepas bersalin.
#3. Aktiviti seharian
Jika sudah rasa kuat, anda boleh kembali bekerja selepas dua minggu. Tapi sekiranya anda mengalami demam teruk, pendarahan yang terlalu banyak atau lelehan faraj berbau, segera dapatkan nasihat doktor.
Hadkan pergerakan yang terlalu aktif dalam tempoh yang agak panjang selepas keguguran. Jangan lupa, sentiasa pakai stokin dan baju lengan panjang setiap masa!
#4. Elak melakukan hubungan seks
Bagi wanita yang mengalami keguguran, sebaiknya anda elakkan melakukan hubungan seks selama sebulan atau sekurang-kurangnya 14 hari selepas gugur.
Ia bertujuan supaya rahim dalam keadaan yang lebih bersedia dan sihat sepenuhnya.
#5. Penjagaan rahim
Kebiasaannya, jika anda keguguran di awal kehamilan, janin yang baru terbentuk akan keluar sepenuhnya secara semula jadi. Namun, jika ia sudah melebihi 10 minggu, kemungkinan ia tidak lengkap dan rahim perlu dibersihkan melalui proses D&C (Dilation and Curettage).
Jika tidak dibersihkan, toksin boleh meresap ke dalam sistem tubuh lalu menyebabkan jangkitan dan demam panas. Selain itu, ibu tersebut juga boleh berurut, bertungku atau mandi herba supaya dapat melancarkan peredaran darah, melegakan kesakitan dan keselesaan tubuh.
#6. Cuba mengandung semula
Menurut Islam, wanita tidak boleh bersetubuh sekiranya mengalami pendarahan. Jadi, suami harus memahami keadaan isteri pada ketika ini dan menjaga emosinya dengan sehabis baik.
Jangan terlalu memaksa isteri untuk mengandung semula. Biarkan tubuh badannya benar-benar bersedia untuk hamil lagi. Jika kerap mengalami keguguran, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor tentang tempoh yang sesuai untuk kehamilan seterusnya.
#7. Buat checkup dengan doktor
Biasanya, selepas wanita mengalami keguguran, mereka perlu patuhi temu janji bersama doktor bagi menjalani pemeriksaan lanjut. Penting bagi diri anda untuk memenuhi semua temu janji yang telah pun ditetapkan oleh doktor anda.
Apa Yang Perlu Diperhatikan Selepas Keguguran
Walaupun keguguran yang berlaku akan sembuh secara semula jadi dan ia kurang menyakitkan, doktor tetap akan memeriksa dan memantau tahap kesihatan anda selama beberapa minggu atau bulan. Hal ini adalah disebabkan bagi memastikan anda tidak mengalami sebarang komplikasi selepas keguguran.
Tetapi sekiranya anda mengalami pendarahan yang melebihi tujuh hari, besar kemungkinan bahawa masih terdapat tisu plasenta di dalam rahim anda atau anda telah terkena jangkitan.
Antara tanda-tanda jangkitan lain yang anda perlu perhatikan juga adalah, lelehan faraj yang berbau busuk, demam, menggigil dan sakit perut. Jika doktor mendapati anda terkena jangkitan, anda akan dibekalkan dengan antibiotik.
Pemantauan ini sangat penting kerana dalam kes yang sangat jarang berlaku, terdapat embrio atau tisu janin atau plasenta yang tertinggal di dalam rahim anda akan mula membesar secara tidak normal dan membentuk sejenis tumor yang dikenali sebagai koriokarsinoma.
Jika didapati terdapat embrio atau tisu janin atau plasenta di dalam rahim, anda akan menjalani satu pembedahan kecil yang dikenali sebagai dilation and curettage (D&C). Melalui proses ini, doktor akan mengeluarkan tisu janin dan plasenta dari rahim anda secara perlahan-lahan.
Selepas D&C, anda juga turut menghadapi risiko komplikasi daripada pembedahan tersebut. Hampir 16% wanita yang melakukan D&C pertama kali, akan mengalami parut yang dikenali sebagai Sindrom Asherman, di dalam rahim atau di sekitar serviks. Biasanya parut ini akan hilang selepas pembedahan yang kedua.
Emosi Anda Selepas Keguguran : Tahap-tahap Kesedihan
Normal bagi seorang manusia untuk berasa sedih apabila berlakunya sebuah kehilangan, apatah lagi kehilangan tersebut adalah insan yang kita sayangi.
Terdapat beberapa fasa yang perlu dilalui sebelum kehilangan itu berjaya anda terima dengan hati yang terbuka dan tidak lagi meratapinya. Walaupun mungkin ianya akan berbeza-beza bagi setiap individu namun tahap-tahap ini adalah sangat biasa dan sering kali terjadi. Antara tahap-tahap yang perlu dilalui adalah seperti berikut :
#1. Kejutan dan penafian
Pada fasa ini, anda akan berada dalam keadaan terkejut dan menafikan setiap yang telah berlaku. Sangat sukar bagi anda untuk menerima hakikat kehilangan tersebut dan sering kali menyoal diri bahawa ” Ini semua tidak mungkin berlaku kepada saya”.
#2. Perasaan marah dan rasa bersalah
Anda mungkin akan menyalahkan diri sendiri di atas keguguran yang berlaku, dan mungkin juga salahkan pihak lain di atas keguguran tersebut. Malah anda juga akan mula berasa dengki, iri hati, marah dengan semua orang yang berada di sekeliling anda yang sedang hamil dan telah menjadi ibu bapa.
#3. Kemurungan dan putus asa
Dalam fasa ini, anda akan selalu menangis tanpa henti, tidak boleh tidur, tiada selera makan dan akan bersedih sepanjang masa. Malah, anda juga tidak mempunyai minat terhadap apa-apa perkara sekalipun. Anda akan mula mempersoalkan diri dan tertanya-tanya apakah anda mampu untuk hamil lagi dan mempunyai bayi yang sihat.
#4. Penerimaan
Apabila terlalu lama meratapi kesedihan, anda akan mulai berada dalam kerugian dan terlepas banyak perkara. Sentiasa letakkan dalam fikiran, kehilangan bukan bermaksud anda perlu melupakannya. Apa yang perlu anda buat adalah belajar menerima hakikat dan teruskan hidup seperti biasa.
Bilakah Anda Akan Berasa Normal Semula?
Adalah satu lumrah untuk meratapi sebuah kehilangan, terimanya dengan cara anda sendiri dan anda akan mula berasa lebih baik secara beransur-ansur apabila masa berlalu.
Walau apa pun situasi yang sedang anda lalui, segala perasaan yang anda rasai, apa yang perlu anda buat adalah berikan masa untuk diri anda menerimanya. Lakukan segala perkara yang mampu membuat anda gembira dan bangkit kembali untuk teruskan kehidupan dengan cara yang lebih baik.
Lambat laun, segala kesedihan itu akan mulai pulih dan anda dapat menerimanya dengan hati yang terbuka serta penuh dengan keredhaan.
Tetapi jika anda berasa yang anda tidak berjaya melaluinya, dapatkan nasihat doktor. Pakar kaunseling akan bersama-sama dengan anda untuk menghadapinya.
Bila Boleh Hamil Semula Selepas Keguguran?
Pakar perubatan pernah mengesyorkan supaya anda menunggu selama beberapa bulan sebelum cuba untuk hamil semula selepas keguguran. Mereka berpendapat bahawa rahim anda perlu betul-betul sembuh dan berada dalam keadaan baik sebelum anda kembali hamil.
Tetapi kini, kebanyakan doktor berpendapat bahawa anda boleh hamil semula selepas mendapat satu kali haid yang normal. Walaupun begitu, anda perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu berhubung dengan keadaan kesihatan anda.
Jika terdapat parut di dalam rahim atau terdapat plasenta yang tertinggal, doktor mungkin akan menasihatkan supaya anda perlu menunggu lebih lama untuk hamil semula.
Kebanyakan wanita yang mengalami dua atau tiga keguguran berjaya untuk hamil kira-kira 65% hingga 75% dengan kelahiran hidup.
Walaupun mengalami keguguran, sentiasa ingatkan diri anda bahawa anda masih mampu untuk hamil semula dan melahirkan seorang bayi yang sihat.
Bagi wanita yang keguguran, pastikan anda mengamalkan makanan berpantang selepas keguguran serta elakkan diri daripada melakukan aktiviti berat buat sementara waktu. Pastikan juga makanan berpantang selepas keguguran anda itu lengkap dengan segala nutrisi yang diperlukan oleh tubuh.
Petua Kecutkan Rahim
Selalunya tempoh rahim sembuh selepas keguguran mengambil masa selama satu bulan atau dua bulan untuk pulih sepenuhnya. Antara petua kecutkan rahim selepas keguguran adalah :
- Makan pada waktu yang tepat bagi mengelakkan perut masuk angin
- Elakkan makanan yang berlemak
- Melakukan senaman ringan
- Mengurut
- Memakai bedung
- Kekal terhidrat
Selain itu, pastikan diri mendapatkan rehat secukupnya dan tidak terlalu memikirkan kehilangan bayi anda. Jangan biarkan diri dibendung rasa bersalah dek kerana keguguran itu. Banyakkan berdoa dan solat hajat untuk membina kekuatan selepas mengalami keguguran.
Mudah-mudahan rezeki menimang cahaya mata akan muncul untuk anda dan suami suatu hari nanti. Insyaallah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga : Bahaya Merokok Ketika Hamil: Risiko Susu Badan Kering Lepas Bersalin, Kecacatan Otak Bayi
Baca juga : 14 Jenis Ujian Pranatal & Saringan Penyakit Genetik Yang Ibu Hamil Digalak Ambil
Baca juga : Tak usah percaya 5 mitos keguguran ini, ia hanya akan buat anda lebih stress!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!