Bayi Gigit Puting Ibu Ketika Menyusu Badan, Ini Cara Elak Rasa Sakit & Melecet Teruk

Bayi gigit puting ibu antara perkara yang paling menggerunkan kerana ia membuatkan rasa sakit dan melecet. Begini cara untuk mengatasinya

Penyusuan kali pertama menjadi sesuatu yang amat kekok buat kebanyakan wanita. Meskipun si manja belum tumbuh gigi, hisapan menggunakan gusi dan bayi gigit puting ibu sudah cukup membuatkan anda berasa sakit.

Seiring pertambahan usia bayi, mereka akan melalui fasa tumbuh gigi susu. Meskipun anda rasa teruja, namun keadaan ini turut membuatkan sesetengah ibu dilema kerana bayi cenderung mengasah  payudara ibu dengan giginya kerana gatal gusi.

Bayi gigit puting ibu 

Sakit memang sakit bila bayi gigit payudara, malah ada ibu yang menjerit bila si manja enggan melepaskannya.

Namun begitu, sebenarnya ada beberapa cara dan jalan penyelesaian yang terbaik untuk ibu kekal bertenang dalam memujuk melepaskan gigitan bayi.

Seorang kaunselor laktasi,  Syafawati Noorhafizah telah berkongsi beberapa panduan dan langkah yang boleh diambil bagi kebanyakan ibu ketika berdepan anak yang suka gigit payudara.

Cara atasi bayi suka gigit payudara ibu

#1. Cuba bertenang dan jangan menjerit

Perkara pertama yang ibu perlu buat apabila bayi gigit puting ibu adalah cuba bertahan dan jangan tinggikan suara.

Hal ini kerana boleh menyebabkan si manja sangkakan gigitan bayi membuatkan ibu rasa seronok, seolah-olah sedang bermain dengannya.

Jadi bayi kecil anda tidak merasakan perbuatannya itu adalah salah dan ibu memberikan respon tidak seperti biasa.

Selain itu elakkan menjerit bila bayi gigit payudara kerana ia boleh menyinggung perasaannya. Si kecil akan merasakan seolah-olah ibu memarahinya. Lantas dia akan merajuk dan trauma untuk menyusu semula.

#2. Bercakap dengan bayi

Sesi penyusuan susu ibu ini sebenarnya dapat mengeratkan bonding antara anak dan ibunya.

Jadi inilah masanya untuk bercakap dengan bayi anda. Walaupun mereka masih belum faham tapi tak mengapa untuk memberitahu si manja bahawa perbuatan gigit payudara itu boleh membuatkan anda rasa sakit.

Caranya ibu pandang ke mata bayi dan beritahunya yang ibu sakit bila diperlakukan sedemikian. Pasti si kecil memahami sambil membalas kembali renungan mata ibu.

#3. Memicit hidung

Semasa bayi gigit puting payudara, ibu boleh terus picit hidungnya.

Dengan cara ini, bayi tidak dapat bernafas melalui hidungnya dan sekaligus akan melepaskan gigitan payudara ibu untuk kembali bernafas seperti biasa.

Tapi, jangan picit lama-lama pula ya, cukup sekadar sampai membuatkan dia melepaskan puting anda.

#4. Mengalihkan perhatian anak

Kadang kadang ibu boleh mengagak masa bila yang bayi nak gigit puting, kan? Jadi gunakan masa ini untuk mengalihkan perhatian bayi seperti membelai tangannya dan sebagainya.

#5. Gigit manja jari bayi

Selain itu, ibu juga boleh buat demo bagaimana rasa sakit selepas digigit seseorang. Di mana ibu boleh gigit manja jari anak dan lihat telatahnya selepas itu.

Dengan cara ini si kecil boleh tahu dan faham kenapa kita tidak boleh mengigit seseorang kerana boleh menyebabkan kesakitan.

#6. Hentikan penyusuan

Walau bagaimanapun, jalan penyelesaian terakhir ketika bayi gigit puting ibu adalah dengan menghentikan penyusuan.

Caranya ibu boleh guna jari kelingking untuk mengeluarkan puting dari mulut baby dan seterusnya memulakan proses penyusuan sekali lagi selepas betul-betul bersedia untuk menyusu.

#7. Mengenalpasti punca anak mengigit

Kadang-kadang ada banyak punca yang menyebabkan bayi mengigit misalnya kecewa bila gagal memperoleh susu seperti yang diingini.

Jika ini adalah penyebabnya, maka ibu perlu merangsang payudara supaya aliran susu jadi lebih lancar seterusnya memenuhi keinginan anak.

#8. Cari posisi yang betul

Sepanjang sesi menyusu badan, ibu juga perlu mencari posisi penyusuan yang betul dan selesa untuk bayi dan juga ibu.

Elakkan duduk bersila tanpa adanya sokongan pada bahagian belakang semasa menyusu kerana posisi ini boleh membuatkan anda tidak selesa.

Pertimbangkan untuk menggunakan sofa menyusui bagi memudahkan proses penyusuan dan bonding anda bersama si kecil.

Meskipun sofa menyusui ini adalah tidak wajib, namun memilikinya boleh membuatkan ibu berasa lebih selesa dan tidak sakit belakang. Jika berkemampuan, pilihlah sofa menyusui yang menjamin keselesaan dan selamat.

Posisi yang betul sewaktu menyusu susu ibu dapat membantu tubuh anda rasa selesa dan tidak melenguhkan pinggang mahupun belakang badan. 

Jika lihat bayi macam tak selesa, ibu boleh bertukar posisi asalkan tidak menganggu proses penyusuan yang sedang berlaku.

#9. Berikan bayi teether

Anda juga boleh biarkan bayi menggigit sesuatu seperti teether. Ataupun tuala kecil yang telah disejukkan dalam peti ais.

Ini kerana alat seperti ini sangat membantu di kala si kecil sedang dalam fasa gatal gusi.

Puting luka akibat gigitan bayi

Kebanyakan ibu mengalami sakit puting ketika menyusu buat kali pertama ataupun puting luka akibat gigitan bayi.

Sudah tentu, ini akan menyebabkan penyusuan badan ini membuatkan ibu berasa tidak selesa, takur dan kesakitan.

Bukan itu sahaja, sesetengah ibu pasti berasa bimbang susu akan bercampur dengan darah dan secara tidak sengaja diminum oleh si kecil.

Bagi mengurangkan kesan puting luka akibat gigitan bayi, beberapa tips ini boleh membantu anda:

  • Sapukan susu ibu

Berdasarkan perbincangan dalam ACS Publication , sebenarnya susu ibu yang dihasilkan dari badan ibu mempunyai sifat antibakteria.

Ini bermakna susu ibu boleh menjadi ubat bagi merawat puting luka akibat gigitan bayi serta melegakan kesakitan yang dialami.

Caranya tidak susah, ibu hanya perlu menyapu susu ibu pada puting yang sakit sebelum dan selepas menyusukan si kecil. Sebelum memakai semula baju dalam, biarkan susu ibu kering terlebih dahulu.

  • Gunakan pelembap

Sesetengah bahan semula jadi seperti minyak kelapa, minyak badam, atau minyak zaitun dapat memberikan kelembapan pada puting yang melecet atau cedera.

Selain itu, ibu juga boleh menggunakan minyak pokok teh yang mempunyai kandungan antiseptik untuk menyembuhkan puting luka akibat gigitan bayi dengan lebih cepat.

  • Mampatan panas 

Untuk membantu melegakan kesakitan pada puting ibu yang melecet ibu boleh menggunakan tuala yang telah direndam dalam air suam terlebih dahulu.

Kemudian, mampatkan pada payudara sebelum menyusu. Cara ini dapat membantu membersihkan puting dan meningkatkan pengeluaran susu ibu.

Sebab itu ibu dinasihatkan untuk mandi air suam. Bukan sahaja menjadikan badan lebih relaks, penghasilan susu juga lebih lancar.

  • Kompres dengan ais

Takut sakit pada puting melecet boleh menghalang ibu untuk meneruskan penyusuan badan. Justeru anda boleh mencuba mampatkan kiub ais daripada air steril ke kawasan puting beberapa saat sebelum menyusu.

Cara ini dapat menjadikannya berasa kebal semasa sesi penyusuan nanti. Ibu boleh tutup ais batu dengan kain bersih.

Semoga bermanfaat! 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Bayi Ditusuk 80 Kali Gara-Gara Gigit Puting Ibu

Baca juga: Bayi Suka Gigit Puting Payudara Ketika Menyusu, Jangan Pukul Atau Jerit, Bayi Boleh Trauma!

Baca juga: Suka Tarik & Gigit, Ini 10 Karenah Comel Bayi Waktu Menyusu Yang Buat Ibu Rasa Geram