Pendarahan ketika hamil boleh berlaku pada bila-bila masa, daripada saat persenyawaan janin hingga ke akhir kehamilan. Ia boleh jadi pendarahan ringan dan berat yang boleh menjadi petanda bahaya atau sebaliknya.
Sebelum pergi lebih lanjut, kami terangkan terlebih dahulu apa itu bleeding (pendarahan) dan spotting (tompokan darah).
Isi Kandungan
Maksud pendarahan ketika hamil
Maksud bleeding atau dalam bahasa melayu di sebut sebagai pendarahan merupakan salah satu perkara yang boleh di kategorikan sebagai kecemasan jika ianya terusan berlaku dan tiada tanda tanda akan berhenti.
Manakala spotting atau pendarahan ringan, bagi ibu mengandung ia adalah perkara yang biasa terjadi terutamanya pada trimester pertama. Anda tidak perlu bimbang jika mendapati ada sedikit kesan darah yang keluar dari vagina.
Warna pendarahan ketika hamil biasanya adalah merah atau pink. Ia juga boleh jadi coklat, seperti darah lama atau seperti pendarahan pada permulaan atau pengakhiran kitaran haid. Amaun darah yang akan berlaku biasanya adalah sedikit – kurang daripada pendarahan haid yang ringan.
Darah yang keluar tidak sepatutnya memenuhi satu pantyliner. Jika ia melebihi satu pantyliner, anda perlu lebih peka dan berwaspada.
Contoh pendarahan ketika hamil 6 minggu adalah apabila anda mendapati ada sedikit tompok darah di atas seluar dalam berwarna merah, coklat atau pink.
Pendarahan ketika hamil yang teruk pula biasanya akan memenuhi pantyliner atau tuala wanita. Biarpun tompokan darah hamil itu ringan atau teruk, adalah lebih baik untuk menghubungi dan mendapatkan nasihat doktor.
Punca berlakunya pendarahan ketika mengandung
Keluar darah ketika hamil yang ringan atau tompok darah semasa hamil adalah perkara biasa, terutamanya semasa trimester pertama. Bleeding yang lebih berat atau lebih konsisten boleh menandakan kandungan bermasalah.
Jadi apakah yang boleh menyebabkan pendarahan ketika hamil?
1. Implan telur disenyawakan
Pendarahan ketika hamil 6 minggu boleh berlaku apabila implan telur disenyawakan. Pada awal kehamilan, kebanyakan pendarahan ketika hamil disebabkan oleh telur yang cuba melekat pada lapisan dalam rahim.
Ini akan menyebabkan pendarahan ringan atau spotting seperti lendir coklat di awal kehamilan. Sering juga berlaku ibu akan mengalami lendir coklat di awal kehamilan.
Pendarahan ini selalu disalah anggap sebagai darah haid sebelum wanita sedar dirinya hamil. Ia biasanya akan kelihatan seperti lendir darah coklat dan sedikit.
Jadi jika mengalami keadaan sedemikian, anda perlu tahu yang ia mungkin bukan darah haid. Ia mungkin petanda yang anda kini sedang berada dalam tempoh awal kehamilan. Ada baiknya anda buat ujian kehamilan kendiri di rumah untuk mengesahkannya.
Lebih-lebih lagi jika anda mula rasa tidak selesa pada bahagian payudara yang dirasakan penuh dan sakit.
2. Polip serviks
Satu lagi punca pendarahan ketika hamil adalah kerana polip serviks iaitu pertumbuhan yang tidak berbahaya pada serviks atau ketumbuhan bukan kanser.
Ia kemungkinan menyebabkan pendarahan kepada wanita hamil yang disebabkan paras estrogen yang lebih tinggi.
Ini berlaku apabila ada peningkatan jumlah saluran darah dalam tisu di sekitar serviks semasa hamil. Oleh itu, aktiviti yang bersentuhan dengan bahagian serviks seperti hubungan seks atau ujian faraj dengan pakar wanita boleh menyebabkan pendarahan.
3. Hubungan seks
Pendarahan selepas bersama ketika hamil terjadi apabila hubungan seks yang dilakukan menyentuh bahagian serviks ketika tujahan penis ke dalam faraj.
Kesannya, ia menyebabkan pendarahan selepas bersama. Jadi adalah lebih baik untuk melakukan hubungan intim secara bersederhana, tidak terlalu kasar dan lasak.
Anda berada dalam keadaan yang sangat fragile ketika ini dan bimbang akan mengundang komplikasi kepada anda serta janin dalam kandungan.
4. Keguguran
Tompok atau pendarahan pada trimester pertama, terutamanya jika anda mengalami sakit perut atau kekejangan, boleh menjadi tanda awal keguguran.
Tetapi ia tidak semestinya tanda ini akan sama untuk semua wanita. Kira-kira separuh daripada wanita yang keguguran tidak mengalami pendarahan sebelum diagnosis.
Tanda-tanda lain kemungkinan keguguran ialah keluarnya cecair atau tisu dari faraj dan anda tidak lagi merasakan sebarang gejala kehamilan seperti mual dan loya.
Namun, tidak semestinya anda tidak hamil jika tidak merasa loya dan muntah-muntah, jadi usahlah terlalu risau. Ini kerana ramai wanita hamil tidak mengalami loya pada trimester pertama dan mempunyai kehamilan yang sangat sihat.
5. Hematoma subchorionic
Juga dipanggil pendarahan subchorionic yang mana pendarahan jenis ini boleh berlaku apabila lapisan luar kantung amniotik (chorion) berpisah daripada dinding rahim.
Ia biasanya tidak berbahaya dan akan berhenti dengan sendirinya. Pengumpulan kecil darah seperti ini pada peringkat awal biasanya tidak berbahaya.
Tetapi jika pengumpulan darah lebih besar, ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk diserap semula atau hilang. Ini boleh meningkatkan risiko keguguran atau kelahiran pramatang jadi doktor anda mungkin akan memeriksa keadaan anda dengan lebih kerap dengan menggunakan ultrasound.
6. Hamil luar rahim
Pendarahan awal kehamilan juga boleh memberi amaran tentang kehamilan ektopik iaitu kehamilan di luar rahim. Apabila berlaku implantasi embrio di luar rahim ia biasanya berlaku dalam salah satu tiub fallopio.
Kadangkala pendarahan adalah satu-satunya tanda keadaan ini tetapi gejala biasa yang lain termasuklah sakit di perut, pelvis, atau bahu.
Kehamilan luar rahim boleh mengancam nyawa, jadi beritahu doktor anda dengan segera jika anda mengalami pendarahan atau kesakitan yang sederhana hingga teruk pada trimester pertama.
7. Kehamilan molar
Komplikasi yang jarang berlaku ini terjadi apabila plasenta tidak berkembang dengan betul dan ia tidak dapat mengekalkan embrio. Kehamilan molar boleh menjadi serius dan ia memerlukan rawatan segera.
8. Jangkitan
Jangkitan boleh merengsakan atau atau menyebabkan radang pada serviks anda. Ia menjadikannya lebih cenderung berdarah, terutamanya selepas melakukan hubungan seks. Berikut adalah beberapa jangkitan yang boleh menyebabkan pendarahan:
- Chlamydia
- Gonorea
- Herpes
- Jangkitan yis
- Trikomoniasis
Disebabkan jangkitan tertentu boleh menyebabkan komplikasi kehamilan, doktor mungkin menetapkan antibiotik atau rawatan lain.
Anda juga mungkin melihat beberapa tompok atau pendarahan ringan selepas hubungan seksual atau pemeriksaan pelvis. Lebih banyak darah mengalir ke serviks anda semasa kehamilan, ia bukan perkara biasa.
Bila Pendarahan Ketika Hamil Boleh Berlaku?
Ia boleh berlaku pada mana-mana peringkat trimester kehamilan termasuklah semasa hamil 5 minggu. Doktor anda mungkin akan melakukan beberapa ujian, termasuk pemeriksaan fizikal, ultrasound dan ujian darah untuk memeriksa tahap kesihatan anda dan bayi bagi mengelak sebarang komplikasi.
Jika ia berlaku beberapa hari sebelum tarikh bersalin, ia adalah petunjuk bahawa serviks anda sedang bersedia untuk bersalin.
Tanda pendarahan ketika hamil yang biasa
Pendarahan ringan boleh menjadi tanda keradangan tidak berbahaya pada kandungan anda. Namun, pendarahan yang banyak pada kehamilan anda adalah perkara membimbangkan.
Antara gejala biasa termasuklah:
- Sakit perut, kekejangan, atau kontraksi
- Sakit pinggang
- Perubahan warna keputihan atau jumlah keputihan yang keluar
- Tekanan dalam pelvis atau bahagian bawah abdomen
Walaupun pendarahan ketika hamil tidak semestinya tanda masalah, adalah penting untuk menghubungi doktor jika ia berlaku. Berita baik ialah sebanyak 50% wanita yang telah mengalami pendarahan akhirnya berjaya melahirkan anak yang sihat.
Pendarahan Semasa Mengandung, Bilakah Ibu Perlu Risau?
Pendarahan atau spotting semasa trimester kedua dan ketiga perlu juga diambil perhatian. Hubungi doktor jika anda mengalami pendarahan teruk yang sama seperti datang haid untuk mengelak sebarang komplikasi kehamilan contohnya kehamilan ektopik.
Pendarahan yang tidak normal pada akhir kehamilan adalah sangat serius kerana ini tanda masalah ibu hamil dan bayi.
Jadi hubungi doktor anda dengan segera dan doktor akan melakukan pemeriksaan untuk memastikan serviks anda masih tertutup dan memeriksa jika anda ada masalah polip serviks.
Tindakan jika pendarahan terjadi berterusan
Ibu akan menjalani beberapa ujian jika berlakunya pendarahan ketika hamil yang berlanjutan. Ia untuk mencuba dan mencari punca akan pendarahan tersebut. Ujian yang akan ibu jalani adalah:
1. Ujian pelvik atau vagina
Doktor atau pakar sakit puan mungkin akan mahu memeriksa servik anda. Ini untuk memeriksa pendarahan yang berlaku. Ia normal untuk merasakan agak kurang selesa. Kadang kala ibu boleh meminta untuk jururawat wanita di situ yang memeriksa jika doktor tersebut adalah doktor lelaki.
Mereka biasanya akan menggunakan spekulum. Ia merupakan instrumen yang digunakan dengan lembut untuk membuka vagina, jadi doktor anda akan dapat melihat bahagian dalam servik dengan mudah.
Doktor juga akan meminta persetujuan daripada ibu terlebih dahulu untuk melakukan pemeriksaan tersebut. Ini berlaku apabila mereka perlu memasukkan jari yang dilindungi sarung tangan untuk melihat jika terdapat sebarang rasa sakit. Ia membantu untuk membuat diagnosis yang tepat.
2. Ujian darah
Anda mungkin perlu melakukan ujian darah, biarpun jika GP anda telah melakukan ujian darah. Kadang kala doktor anda akan mahu membandingkan hormon kehamilan anda kepada tahap di dalam darah yang diambil oleh GP. Sesekali, ujian darah akan diulang semula dua hari kemudian. Keputusan yang digabungkan boleh membantu mendapatkan diagnosis yang tepat.
3. Imbasan ultrasound
Imbasan ultrasound selalunya diperlukan. Pada awal kehamilan, ini biasanya dipanggil ultrasound transvaginal. Ia adalah jalan terbaik untuk mendapat gambaran jelas akan bayi anda. Pada trimester kedua dan ketika, selalunya imbasan ultrasound abdomen yang akan dijalankan.
Cara hentikan pendarahan ketika hamil
- Rehat atas katil atau lebih banyak tidur
- Rehatkan kaki
- Pastikan diri sentiasa terhidrasi. Justeru anda perlu pastikan minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari
- Hadkan aktiviti fizikal anda
- Naikkan kaki anda dengan lebih kerap. Apabila tidur, letak bantal di bawah kaki untuk meninggikan kaki anda daripada kedudukan badan
- Elakkan mengangkat barang-barang yang beratnya lebih dari 10 paun
Cara hentikan pendarahan ketika hamil yang lain
Rawatan pendarahan ketika hamil untuk anda bergantung kepada sebab pendarahan tersebut berlaku. Seperti yang kami nyatakan di atas, ibu mungkin perlu melakukan ujian kesihatan dan pemeriksaan.
Selalunya, rawatan untuk pendarahan ketika hamil atau spotting adalah rehat. Doktor anda juga biasanya akan mencadangkan rawatan seperti:
- Cuti dari bekerja dan elak dari berjalan seketika
- Anda mungkin perlukan ubatan untuk membantu melindungi bayi anda daripada penyakit Rh. Penyakit Rh adalah apabila darah anda dan darah bayi anda adalah tidak berpadanan (tidak boleh bersama). Penyakit ini boleh menyebabkan masalah serius – malah juga maut- untuk bayi anda.
- Jangan lakukan hubungan seks, mencibuk, atau menggunakan tampon
- Jika anda mempunyai pendarahan yang berat, anda mungkin perlu dimasukkan ke dalam wad hospital atau menjalani surgeri
Kami juga ada senaraikan seluar dalam yang selesa untuk dipakai ketika hamil di sini.
Kebanyakkan wanita yang mengalami spotting masih berjaya melahirkan anak yang sihat.
Walaubagaimanapun, jangan biarkan fakta ini menghalang anda daripada menghubungi doktor anda jika berlakunya pendarahan ketika hamil. Sentiasa peka dengan kesihatan diri anda untuk tidak menjejaskan bayi dalam kandungan.
- The American College of Obstetricians and Gynaecologist (May, 2021) Bleeding During Pregnancy. www.acog.org/womens-health/faqs/bleeding-during-pregnancy
- The American College of Obstetricians and Gynaecologist (January 2022) Early Pregnancy Loss. www.acog.org/womens-health/faqs/early-pregnancy-loss
- Baby Center (November 1, 2021). Spotting during pregnancy. www.babycenter.com/pregnancy/your-body/vaginal-bleeding-or-spotting-during-pregnancy_3081
- HSE Spotting during early pregnancy (Page last reviewed: 26 February 2021)
www2.hse.ie/conditions/spotting/#:~:text=Spotting%20is%20light%20vaginal%20bleeding,and%20end%20of%20your%20period.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tak Keruan Bila Keluar Lendir Coklat Semasa Hamil, Ini 6 Punca Yang Mungkin Berlaku
Baca juga: Tanda Pasti Hamil Yang Pelik: Badan Panas, Spotting Tapi Bukan Haid & Banyak Lagi!
Baca juga: Keluar Darah Coklat Ketika Mengandung Trimester Ketiga, Adakah Ia Berbahaya?