“Masa tengah berdiri, kepala bayi tiba-tiba terkeluar!” – ikuti kisah wanita terberanak di rumah ini!

Wanita ini melalui detik cemas bersalin di rumah tanpa bantuan sesiapapun. Jadikan kisah ini sebagai pengajaran untuk anda!

Pengalaman bersalin di rumah ini dikongsikan oleh seorang ibu yang tanpa sengaja melahirkan bayi dalam tandas rumahnya.

Bayangkan, ketika itu tidak ada seorang pun orang yang berada di sebelahnya untuk menemani beliau! Yang ada hanyalah anak kecil yang belum faham ertinya kehidupan ini. 

Setelah berumah tangga, saat yang paling ditunggu dan menggembirakan pastinya apabila mengetahui diri sedang berbadan dua. Ini antara momen yang paling ditunggu oleh seorang wanita yang bergelar isteri. 

Apatah lagi, setiap kali ingin bersalin, perasaan dan pengalaman itu berbeza-beza.

Sebab itu, walaupun sudah acap kali mengandung dan bersalin, wanita masih ada sekelumit rasa takut yang tak dapat lari daripada perasaan ini. 

Untuk itu, jom kita hayati perkongsian pengalaman bersalin di rumah yang diceritakan sendiri oleh Shira Suhaimi. 

Pengalaman bersalin di rumah: Perkongsian dari seorang ibu berjiwa kental dan berani 

Kredit: Ibupedia.com

Ini baby kami, Orked Azalea yang dilahirkan di rumah dan disambut oleh saya sendiri.

Tujuan post ini adalah tidak menggalakkan homebirth kerana ia berlaku secara tidak disengajakan.

Tolong, jangan ada rasa sifat ingin mencuba apatah lagi menjadikan inspirasi. Sekadar pengajaran buat kita semua.

19 April 2016

8 pagi : Seperti biasa, suami akan pergi kerja. Selepas bersalam dan mencium tangan suami. Kemudian saya membalas whatsapp pelanggan Thelilycious.

11 pagi: Terlelap semula sementara tunggu Lily Yasmin (anak sulung berusia 2 tahun 5 bulan bangun tidur. Memang di trimester ketiga ini banyak tidur siang sebab malam susah nak tidur kerana sakit badan.

 12.30 tengah hari : Semasa tidur tiba-tiba rasa leaking (bocor). Seluar basah. Pada mulanya ingat terkencing. Tapi seingat saya tak ada pula kencing.

Cepat-cepat pergi tandas nak check. Hanya air jernih saja tak ada bau. Terus whatsapp suami, “B standby ye, sayang leaking rasanya nak dekat bersalin ni”. Selepas itu, whatsapp di group family pula. “Rasa macam air ketuban pecah, tapi tak pasti. Kena pergi check lah kan?

 Memang dua tiga hari kebelakangan ini, selalu tanya pada suami, bagaimana nak tahu jika perlu ke hospital? dan bagaimana sakit nak bersalin itu? Padahal ini bukan anak pertama, tapi nervous sangat!

Sebabnya, masa anak pertama lahir, bocor tegah malam juga cuma sehari selepas itu baru bersalin, kiranya sempat pergi check jalan dekat hospital dan terus masuk wad.

12.45 tengah hari : Suami telefon beritahu dia berada di Petaling Jaya tengah ambil barang kerja dengan kawan-kawan pejabatnya. Jadi sebab tak ada rasa sakit, saya jawab okey sajalah. Sementara tunggu, saya mandi.

Pengalaman bersalin di rumah: Perut mula memulas 

1 petang : Tiba-tiba perut memulas sangat. Terfikir dalam hati “Eh kontraksi ke ini”. Terus telefon suami suruh balik. Tapi dia cakap tak boleh balik sebab belum habis ambil barang dan dia pergi dengan satu kereta dengan kawan pejabat. Lepas itu, saya balas OK sebab ingat kontraksi biasa.

1.05 petang: Mak telefon. Masa ini memang tengah menahan kontraksi kali kedua. Mak tanya sama ada saya okey atau tidak. Terus jawab rasa kontraksi. Malah nafas pun tercungap-cungap untuk bercakap.

Mak sudah mengucap panjang dan suruh sabar. Kemudian, Lily Yasmin bangun dari tidur. Dalam sakit itu, baru nak berkemas beg baby. Selepas itu, sempat tukarkan pampers dan baju Lily Yasmin sebab memang rasa tak boleh dah nak mandikan dia.

Pengalaman bersalin di rumah: Kontraksi semakin singkat 

1.10 petang: Kontraksi selang tiga minit. Telefon suami memang paksa balik sebab tak tahan sangat. Suami bagitahu kawan-kawan pejabat dia dan terus balik dari PJ ke Ukay Perdana.

Saya terus pergi buka mangga pintu grill rumah sebab terfikir suami mesti tak bawa kunci rumah dia (tinggal dekat pejabat) Memang betul sangkaan saya.

1.15 petang: Mak telefon lagi, suruh baringkan badan. Saya cuba baring dan cuba duduk. Tak boleh tahan. Sakitnya macam nak tercabut nyawa, tapi tak tahu sakit dekat mana.

Seluruh badan sudah bermandi air peluh menahan kesakitan. Lily Yasmin ikut saja ke mana-mana dan bertanya “Mama kenapa? Mama sakit ke? Mama nak susu…”

Allahuakbar, masa ini tak tahu bagaimana nak handle. Nangis saja sambil minta dia tunggu ayahnya sebab saya sedang sakit. Sedih sangat tengok air mukanya itu, sebab dia tak faham lagi.

Selepas itu, saya pergi ke tandas lagi, tutup mangkuk jamban dan duduk. Ya Allah, masa ini memang menangis saja kerana sakit yang tak terkata.

Pengalaman bersalin di rumah: Kepala baby terkeluar dari celah kelangkang 

1.20 petang:  Kontraksi datang lagi. Terus bangun sebab memang tak boleh duduk langsung. Sekali bangun terus terkeluar kepala baby(dalam keadaan tengah berdiri). Terus sambut, peluk baby dan terduduk semula.

Baby keluar betul-betul di hadapan mata Lily Yasmin. Dia menjeri.”Mama, Lily takut”. Dari jauh, dia memang tak berani datang dekat sebab darah banyak depan tandas.

Baby terus menangis masa keluar, cuma tali pusat dan uri tak keluar sama. Saya tawakkal saja duduk diam-diam sambil peluk baby. Berdoa semuanya selamat.

Masa ini tak ada ingat lain, hanya ucap syukur dan tertanya pada diri sendiri “Nikmat apa lagi yang aku mahu dustakan? Allah…memang satu perasaan insaf yang tak tergambar rasanya. Pilu sangat Allah SWT pilih saya untuk merasai keadaan ini.

Mak telefon lagi. Serba salah untuk beritahu sudah bersalin secara sendiri tapi sebab tak tahu nak buat apa bagitahu juga. Mak…orang sudah bersalin”.

Sekali lagi mak mengucap panjang. Memang suara mak jelas terketar-ketar nak menangis. Mak terdengar suara Lily jerit “Mama…takut”.

Kemudian, dia suka sambil cakap “mama, itu baby Lily”. Sebak sangat.

Minta dia tolong ambilkan tuala untuk balut baby. Dia pergi ambilkan, nasib baik boleh diharapkan.

Telefon suami, beritahu sudah bersalin. Minta dia prepare apa yang patut. Alhamdulillah suami memang jenis yang tak cepat panik. Terus dia telefon ambulans dan bercakap dengan pihak kecemasan untuk tahu apa yang perlu dibuat.

Lebih kurang beberapa minit selepas itu suami sampai. Sementara tunggu ambulans, suami ikat tali pusat baby dengan tali kasut lebih kurang sejengkal dari pusat baby.

Masa ini abang ipar Safwan Ajis dan Kakak, Azlinawati Suhaimi juga sampai. Mereka tolong handlekan Lily Yasmin.

Setibanya ambulans, jururawat terus suruh baring dan potong tali pusat. Selepas itu,proses keluarkan uri. Masa ini rasa lega sangat.

Dalam perjalanan ke hospital naik ambulans, sekali lagi bertanyakan pada diri. Nikmat apa lagi yang mahu aku dustakan? Allah SWT beri ujian ini tanpa disangka-sangka.

Tak pernah terlintas dalam fikiran pun akan mengalami keadaan seperti ini. Terlalu dekat rasanya dengan kematian sebab tali pusat dan uri lambat dikeluarkan tapi Allah masih berikan peluang.

 Terima kasih untuk semua yang terlibat. Mak sudah macam superwoman berdesup dari Johor ke Kuala Lumpur.

Perasaan seorang ibu untuk anak memang ajaib kan?

Dalam mak sakit lutut itu, dengar anak sakit terus hilang sakit dia untuk selamatkan anaknya. Seperti itu juga mak mertua saya, dalam keadaan kaki patah ada juga masa untuk saya.

Begitu juga kakak, Suziana Suhaimi sanggup datang walaupun tengah bekerja. Terima kasih semua.

 Terima kasih yang tak terhingga pada Lily Yasmin sebab menyaksikan segala kesakitan mama.

Kepada ibu bapa diluar, tolong pastikan semuanya bersiap sedia. Masuk saja ke minggu 36 hamil anda harus sedia dan jangan sesekali ambil mudah seperti saya.

 Alhamdulillah semuanya selamat. Doakan semoga Orked Azalea menjadi anak yang solehah, bijak cerdik, disenangi dan sentiasa di dalam lindungan serta rahmat Allah SWT. 

***

Inilah pengalaman bersalin di rumah yang tidak akan dilupakan. 

Dengan perkongsian ini diharap ibu-ibu tidak mengambil sambil lewa jika berlakunya sebarang kemungkinan untuk bersalin di rumah kerana ia membabitkan dua nyawa yang cukup berharga.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: Oh bulan ,Shira Suhaimi 

Baca juga:

21 Tanda Tanda Bersalin Yang Pasti, Ibu Jangan Berlengah! Perlu Segera Ke Hospital