Menjelang hujung kehamilan, ramai ibu mula risau dan tertanya-tanya sama ada sudah tiba masanya untuk bersalin atau belum. Oleh itu, sangat penting untuk ibu hamil mengenali tanda bersalin semakin hampir agar dapat membuat persediaan awal dan tahu bila perlu ke hospital.
Mengenali tanda-tanda ini juga membantu ibu dan pasangan bertenang serta yakin menghadapi detik penting kelahiran si kecil.
Apa Itu Bersalin?
Bersalin adalah proses kelahiran bayi dari rahim ibu melalui saluran kelahiran. Ia boleh berlaku secara semula jadi (vaginal birth) atau melalui pembedahan (Caesarean section), bergantung kepada keadaan ibu dan bayi.
Proses ini biasanya berlaku antara minggu ke-37 hingga ke-42 kehamilan, dan ia terdiri daripada beberapa peringkat yang berlaku secara berperingkat, bermula dengan pengecutan rahim sehinggalah uri (plasenta) dikeluarkan.
Kenali Proses Bersalin
Terdapat tiga peringkat utama dalam proses bersalin:
1. Peringkat Pertama: Pembukaan Serviks
Ini merupakan peringkat paling awal, dan biasanya paling lama. Ia terbahagi kepada dua fasa:
-
Fasa awal (latent phase): Serviks mula menipis dan membuka sehingga 3-4 cm. Kontraksi mula terasa tetapi masih tidak teratur.
-
Fasa aktif: Serviks akan membuka dari 4 cm hingga 10 cm. Kontraksi menjadi lebih kuat, lebih kerap dan lebih menyakitkan.
Dalam tempoh ini, ibu mungkin akan mula mengalami “bloody show” atau keluar lendiran pekat bercampur darah, sebagai tanda bahawa serviks sedang membuka.
2. Peringkat Kedua: Kelahiran Bayi
Setelah serviks terbuka sepenuhnya (10 cm), bayi akan mula turun melalui saluran kelahiran. Ibu akan diberi panduan untuk meneran semasa kontraksi, dan proses kelahiran akan berlaku dalam tempoh antara beberapa minit hingga beberapa jam.
Bayi akan keluar melalui faraj dan pernafasan pertama akan berlaku sebaik sahaja tali pusat dipotong.
3. Peringkat Ketiga: Kelahiran Uri (Plasenta)
Selepas bayi dilahirkan, rahim akan terus mengecut untuk membantu mengeluarkan uri (plasenta). Proses ini biasanya mengambil masa antara 5 hingga 30 minit. Doktor akan memastikan uri keluar sepenuhnya untuk mengelakkan pendarahan atau komplikasi lain.
Tanda Bersalin Semakin Hampir
Berikut 21 tanda bersalin semakin hampir yang boleh ibu-ibu perhatikan:
1. Penurunan Berat Badan Ringan
Menjelang penghujung kehamilan, sesetengah ibu akan mengalami sedikit penurunan berat badan, biasanya antara 0.5 hingga 1.5 kilogram. Ini berlaku disebabkan oleh perubahan hormon, terutamanya penurunan hormon progesteron, yang menggalakkan tubuh membuang lebihan cecair.
Selain itu, tekanan daripada kepala bayi ke atas pundi kencing menyebabkan ibu lebih kerap ke tandas, yang juga menyumbang kepada kehilangan cecair dalam badan. Fenomena ini merupakan salah satu petunjuk bahawa tubuh sedang bersedia untuk proses kelahiran.
2. Sakit Belakang Bahagian Bawah atau Pelvik
Sakit yang konsisten dan berpanjangan di bahagian bawah belakang atau kawasan pelvik merupakan petanda biasa bahawa bayi telah mula turun ke kedudukan lebih rendah dalam pelvis.
Keadaan ini dikenali sebagai engagement atau lightening, dan ia menyebabkan tekanan tambahan kepada otot dan sendi di bahagian bawah badan. Kesakitan ini berbeza daripada kontraksi kerana ia biasanya tidak datang dan pergi, tetapi kekal dan memburuk apabila ibu bergerak atau berdiri lama.
3. Keluaran Lendiran Pekat (Bloody Show)
Keluaran lendiran pekat dari faraj, yang mungkin berwarna jernih, putih kekuningan atau bercampur sedikit darah, menandakan bahawa plug mucus atau lendiran penutup serviks telah tanggal. Plug ini berfungsi melindungi serviks daripada jangkitan sepanjang kehamilan.
Apabila serviks mula membuka dan menipis, lendiran ini akan terkeluar, menandakan bahawa kelahiran sudah hampir. Walau bagaimanapun, ia tidak semestinya berlaku serta-merta; kelahiran mungkin berlaku dalam tempoh beberapa jam hingga hari selepasnya.
4. Sendi dan Ligamen Terasa Longgar
Hormon relaksin yang meningkat menjelang akhir kehamilan menyebabkan ligamen dan sendi menjadi lebih longgar, terutamanya di kawasan pelvis. Tujuannya adalah untuk memudahkan laluan bayi keluar melalui saluran kelahiran.
Ibu mungkin merasa seperti kehilangan kestabilan pada pinggul, paha atau lutut dan lebih mudah berasa tidak selesa semasa berjalan atau bergerak. Ini adalah proses fisiologi normal sebagai persediaan tubuh untuk kelahiran.
5. Serviks Mula Membuka dan Menipis
Perubahan fizikal pada serviks adalah salah satu tanda paling tepat bahawa tubuh bersedia untuk bersalin. Efacement merujuk kepada proses serviks menjadi lebih nipis, manakala dilatasi bermaksud pembukaan serviks dari 0 hingga 10 sentimeter.
Kedua-dua proses ini berlaku secara berperingkat, dan hanya boleh dikenalpasti melalui pemeriksaan dalaman oleh profesional kesihatan. Ibu tidak semestinya menyedari perubahan ini kerana ia mungkin tidak disertai dengan kesakitan pada peringkat awal.
6. Kelesuan atau Keletihan Melampau
Ramai ibu akan merasa sangat penat dan kurang tenaga beberapa hari sebelum bersalin. Ini merupakan tanda semula jadi bahawa tubuh sedang menyimpan tenaga bagi menghadapi proses kelahiran yang intensif.
Selain faktor fizikal, gangguan tidur pada trimester ketiga, tekanan emosi, dan kebimbangan menjelang kelahiran juga boleh menyumbang kepada keletihan yang melampau.
7. Rasa Mencucuk di Bahagian Kemaluan (Lightning Crotch)
Istilah “lightning crotch” merujuk kepada rasa sakit mencucuk yang berlaku secara tiba-tiba dan tajam di kawasan faraj atau bahagian bawah perut. Ia berlaku apabila kepala bayi menekan saraf-saraf di kawasan pelvis, terutamanya apabila bayi bergerak secara tiba-tiba.
Rasa ini biasanya berlaku secara mengejut, berlangsung beberapa saat sahaja, dan tidak berkait dengan kontraksi. Ia lebih kerap berlaku pada trimester ketiga.
8. Kontraksi Sebenar
Kontraksi sebenar, juga dikenali sebagai true labor contractions, adalah petanda utama bahawa proses kelahiran sedang berlaku. Berbanding kontraksi palsu (Braxton Hicks), kontraksi sebenar datang secara berkala, semakin kerap, lebih kuat dan lebih menyakitkan.
Ia tidak hilang walaupun ibu menukar posisi atau berehat. Corak yang perlu diperhatikan ialah kaedah 5-1-1: kontraksi berlaku setiap 5 minit, berlangsung selama 1 minit, dan berterusan selama sekurang-kurangnya 1 jam. Ini isyarat bahawa masa untuk ke hospital telah tiba.
9. Cirit-Birit atau Pergerakan Usus Longgar
Beberapa hari sebelum bersalin, tubuh akan mula membersihkan sistem pencernaan secara semula jadi. Ini menyebabkan sesetengah ibu mengalami cirit-birit ringan.
Ia disebabkan oleh hormon prostaglandin yang membantu melembutkan serviks, tetapi pada masa yang sama juga merangsang pergerakan usus. Cirit-birit ini biasanya tidak disertai demam, muntah atau dehidrasi, dan berbeza daripada cirit-birit akibat jangkitan.
10. Naluri ‘Nesting’ Meningkat Secara Mendadak
Naluri ‘nesting’ merujuk kepada dorongan kuat untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan bersih bagi bayi. Ibu mungkin secara tiba-tiba ingin membersihkan rumah, menyusun barangan bayi atau mengemas ruang tidur.
Ini merupakan tindak balas hormon akhir kehamilan yang memberi isyarat bahawa tubuh dan minda sedang bersiap sedia menyambut kelahiran. Walaupun tidak semua ibu mengalaminya, bagi yang mengalaminya, ia sering berlaku beberapa hari sebelum bersalin.
11. Tekanan di Bahagian Pelvis atau Pundi Kencing
Apabila bayi telah berada dalam posisi rendah di pelvis, ibu akan merasa tekanan yang kuat di kawasan faraj, pundi kencing atau rektum.
Perasaan ini boleh menyebabkan rasa ingin buang air kecil lebih kerap dan rasa berat di bahagian bawah perut. Ini menandakan bahawa bayi telah berada di laluan kelahiran dan proses bersalin mungkin akan bermula dalam masa terdekat.
12. Perubahan Emosi Yang Ketara
Menjelang waktu bersalin, sesetengah ibu mungkin mengalami perubahan emosi yang ketara seperti mudah menangis, cepat marah, cemas berlebihan atau merasa sangat teruja.
Ini dipengaruhi oleh perubahan hormon dan juga tekanan psikologi menjelang proses besar iaitu kelahiran. Kepekaan emosi ini adalah normal, namun ibu disarankan untuk berbincang dengan pasangan atau doktor jika ia mengganggu aktiviti harian.
Fahami Proses Kelahiran Bayi
Bagi ibu kali pertama, pastinya anda tidak dapat membayangkan bagaimana proses kelahiran bayi nanti kan? Berikut kami kongsi beberapa fasa kelahiran yang bakal anda dilalui:
1. Fasa Laten: Permulaan Pembukaan Serviks
Fasa ini adalah permulaan kepada proses bersalin. Serviks mula melembut dan membuka sedikit demi sedikit, dari 0 hingga kira-kira 4 cm. Kontraksi mungkin tidak teratur dan rasa sakit masih boleh ditoleransi. Ia boleh berlaku selama beberapa jam atau bahkan hari, terutamanya untuk ibu yang pertama kali melahirkan anak.
2. Fasa Aktif: Pembukaan Serviks Lebih Cepat dan Sakit
Selepas bukaan mencapai 4 cm, fasa aktif bermula. Kontraksi menjadi lebih kuat, lebih kerap (setiap 3-5 minit), dan lebih menyakitkan. Serviks akan terus membuka dari 4 cm hingga 10 cm. Ini adalah masa yang paling memenatkan, dan ibu mungkin memerlukan sokongan emosi dan fizikal daripada pasangan atau jururawat.
3. Fasa Transisi: Bukaan Penuh Serviks (10 cm)
Fasa transisi adalah peralihan antara fasa aktif dan fasa meneran. Ini adalah bahagian yang paling mencabar kerana kontraksi sangat kuat dan hampir tanpa rehat.
Emosi ibu mungkin menjadi tidak stabil, letih, marah atau putus asa. Tapi inilah tanda bayi hampir lahir dan serviks sudah terbuka sepenuhnya.
4. Fasa Meneran Dan Mengeluarkan Bayi
Apabila serviks terbuka sepenuhnya (10 cm), fasa meneran bermula. Ibu akan dibimbing untuk menahan nafas dan meneran semasa kontraksi berlaku, bagi membantu menolak bayi keluar melalui saluran kelahiran. Fasa ini boleh berlangsung antara beberapa minit hingga beberapa jam, bergantung kepada kedudukan bayi dan kekuatan teranan.
5. Fasa Kelahiran
Akhirnya, kepala bayi keluar dahulu, diikuti oleh bahagian tubuh lain. Doktor atau bidan akan menyambut bayi, membersihkan saluran pernafasan dan memastikan bayi menangis, tanda paru-paru berfungsi. Tali pusat akan dipotong, dan bayi diletakkan di dada ibu untuk hubungan kulit ke kulit.
6. Fasa Uri: Pengeluaran Plasenta
Selepas bayi lahir, rahim akan terus mengecut untuk menolak keluar uri (plasenta). Ini biasanya berlaku dalam masa 5 hingga 30 minit selepas bayi dilahirkan. Doktor akan pastikan uri keluar sepenuhnya bagi mengelakkan komplikasi seperti pendarahan atau jangkitan.
Selepas uri keluar, doktor akan memeriksa sama ada terdapat luka atau koyakan di faraj atau perineum. Jika perlu, jahitan akan dilakukan. Ibu juga akan dipantau untuk sebarang tanda pendarahan atau tekanan darah rendah. Dalam masa ini juga, bayi boleh mula menyusu untuk menggalakkan ikatan awal dan bantu pengecutan rahim.
Dengan mengenali tanda bersalin semakin hampir dan membuat persiapan bersalin yang rapi, ibu dapat menghadapi kelahiran dengan lebih tenang dan yakin. Persediaan ini bukan sahaja membantu ibu, tetapi juga memberi keyakinan kepada pasangan dan keluarga dalam menghadapi detik penting ini.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianParent Malaysia
Baca juga: Kaki Bengkak Ketika Hamil (Edema): Punca, Bila Kaki Bengkak Terjadi & Petua Berkesan
Baca juga: Kontraksi Palsu (Braxton Hicks): Tanda, Beza Kontraksi Betul & Palsu, Berapa Lama Terjadi
Baca juga: Trimester Ketiga Kehamilan: Jenis Ujian & Pemeriksaan Kandungan Yang Penting
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!