Penglihatan Bayi Baru Lahir (0-12 Bulan): Tahap Perkembangan & Cara Merangsang Mata
Seorang bayi akan melalui pelbagai peringkat perkembangan penglihatan. Baca untuk mengetahui sama ada bayi anda mempunyai penglihatan yang sihat mengikut umur atau tidak.
Perkembangan sistem saraf bayi adalah kompleks di mana tahap penglihatan bayi sejak baru lahir akan terus berkembang sehingga mereka mencapai usia 7 hingga 8 tahun. Dalam tempoh ini ibu ayah perlu peka dan mengambil berat terhadap perkembangan tumbesaran anak mereka.
Isi Kandungan
Perkembangan Penglihatan Bayi Baru Lahir
Penglihatan Bayi Baru Lahir: Perkembangan 3 Bulan Pertama
Tahukah ibu dan ayah, pada waktu kelahiran si manja, penglihatan bayi sangat kabur? Bayi hanya dapat melihat orang dan objek yang berjarak 8 hingga 12 inci dari matanya.
Ketika lahir, bayi belum tahu cara menggunakan matanya. Matanya mungkin kelihatan kurang fokus dan kadang-kadang sedikit juling.
Sebagai pengalaman pertama, bayi masih belajar untuk mengkoordinasikan penglihatan mereka.
Menggerakkan objek di depan bayi bulan ini mungkin membuatnya kelihatan kagum. Ibu bapa mungkin menganggapnya comel, tetapi bayi sebenarnya sedang memahami kemampuan penglihatannya.
Tumpuan bayi anda akan bertambah baik menjelang akhir bulan pertama. Teruskan bermain berdekatan dengan mukanya untuk membantu perkembangan mata anak.
Bayi anda dapat melihat warna dari lahir, tapi dia tidak dapat membezakan jenis warna tersebut. Oleh itu, dia tidak dapat membezakan warna oren dari warna merah, tapi akan menunjuk minat jika ditunjukkan corak warna hitam dan putih yang berkontras.
Dia juga akan tertarik kepada objek dengan warna utama, serta corak-corak yang kompleks.
Banyakkan membaca buku-buku bayi atau bermain dengan mainan anda yang berwarna cerah atau bercorak kompleks. Ini akan menggalakkan fokus penglihatan bayi anda dan meningkatkan kemahiran matanya untuk mengikut objek.
Penglihatan Bayi Baru Lahir: Bila Bayi Mula Dapat Melihat Dengan Jelas?
Pada usia 4-6 bulan, perkembangan bayi anda akan bertambah baik. Sebelum ini, dia masih berusaha untuk mengenali bentuk, saiz dan jangkauan objek yang tepat. Tetapi otaknya belum dapat menggabungkan ketiga-tiga ini untuk menghantar arahan ke tangan bagi mencapai objek itu.
Bayi anda juga akan mengalami perkembangan kemahiran motor di mana koordinasi tangan dan matanya juga lebih baik pada bulan ini.
Untuk menggalakkan perkembangan kemahiran motor ini, ibu bapa boleh membeli mainan yang berbunyi supaya anak boleh mencari dan cuba mencapainya.
Menjelang akhir bulan ini, penglihatan bayi sepatutnya pandai mengikut objek dekat yang kecil dan bergerak. Sesetengah bayi sudah pandai mengenali mainan kegemaran mereka.
Ibu ayah juga boleh menyemak sama ada bayi anda dapat mengenali benda bergerak dengan bermain ba-cak dengannya. Adakah dia mengenali muka ibu bapanya?
Bayi anda juga sepatutnya sudah pandai membezakan nuansa warna, tetapi dia akan memerlukan beberapa bulan lagi untuk mengenali warna pastel.
Perkembangan Koordinasi Mata
Sebaik sahaja berusia 8 bulan, penglihatan bayi anda hampir sama dengan penglihatan orang dewasa. Ini bermakna dia sudah boleh melihat objek dengan jelas dan mempunyai persepsi kedalaman yang lebih tepat.
Kini, dia boleh melihat kebanyakan objek dalam 3 dimensi. Penglihatan bayi anda juga cukup kuat untuk mengenali objek atau orang dari hujung bilik, tetapi lebih berminat dengan objek-objek yang berdekatan dengannnya.
Pada bulan ke-9, bayi anda sudah boleh menilai ketinggian dan jarak dengan baik. Kemahiran ini penting kerana sekarang mereka akan cuba menarik diri untuk berdiri.
Menjelang bulan ke-10, bayi anda akan lebih aktif bergerak. Jika mereka nampak mainan yang ditinggalkan di hujung bilik, mereka boleh merangkak ke sana, mencapai mainan itu, kemudian merangkak sambil membawa mainan tersebut dengan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari.
Bayi anda boleh melakukan ini disebabkan perkembangan persepsi yang semakin meningkat. Dengan perkembangan kemahiran motor seperti berdiri dan berjalan kaki, perkembangan penglihatan bayi anda juga akan bertambah baik.
Cara Menjaga Kesihatan Mata Bayi
Bagi memastikan mata bayi tetap sihat dan berkembang dengan baik, ikuti beberapa langkah yang mudah untuk menjaga kesihatan mata bayi, antaranya:
1. Pemakanan yang Baik
Pastikan bayi mendapatkan nutrisi yang mencukupi melalui penyusuan susu ibu atau susu formula yang diperkaya dengan nutrien penting seperti DHA, vitamin A, dan omega-3, yang penting untuk perkembangan mata. Antara makanan yang baik untuk kesihatan mata bayi ialah sayur-sayuran berdaun gelap, makanan berwarna merah seperti tomato dan ceri, ikan dan telur putih atau labu.
2. Periksa Mata Secara Berkala
Lakukan pemeriksaan mata rutin dengan doktor pediatrik atau pakar mata untuk mengesan sebarang masalah mata lebih awal.
3. Perlindungan dari Cahaya Matahari
Lindungi mata bayi dari sinar matahari yang terang dengan topi bertepi lebar atau cermin mata hitam khas untuk bayi ketika berada di luar rumah.
4. Elakkan Pendedahan Kepada Skrin
Hindari membiarkan bayi terlalu dekat dengan skrin televisyen, telefon, atau komputer kerana ini boleh menjejaskan kesihatan mata mereka.
Kebaikan Penyusuan Untuk Mata
Kajian menunjukkan bayi yang menyusu badan mempunyai penglihatan lebih tajam berbanding bayi yang diberi susu formula, terutama dalam kalangan bayi pramatang.
Ini mungkin disebabkan oleh asid docosahexaenoic (DHA) dalam susu ibu, yang merupakan komponen penting retina mata.
Seperti tisu lain, lebih banyak nutrien membantu retina tumbuh dan berfungsi dengan baik.
Merangsang Perkembangan Penglihatan Bayi Baru Lahir
Tahap penglihatan bayi adalah berbeza dan berkembang seiring dengan peningkatan usia mereka. Lazimnya penglihatan bayi yang baru lahir agak terhad di mana mereka tidak dapat melihat dengan jelas dan hanya melihat secara kabur cahaya, bentuk dan pergerakan.
Ini kerana mata dan visual penglihatan bayi belum berkembang lagi sepenuhnya. Pada usia ini jarak penglihatan bayi adalah sekitar 8 sehingga 10 inci daripada wajah mereka ke wajah ibu ayah.
Menjelang sekitar usia 3 bulan, mata bayi seharusnya sudah boleh bergerak mengikut pergerakan objek yang dilihat mereka.
- Jadi untuk usia begini ibu bapa haruslah rajin berbicara, menyanyi dan membaca buku disekitar bayi kerana jarak penglihatan mereka yang terhad.
- Selain itu mereka juga sangat tertarik dengan warna yang mempunyai kontras yang sangat berbeza seperti warna hitam dan putih. Jadi ibu bapa boleh mengunakan flash card, buku, permainan atau memasang cadar berwarna hitam putih ini bagi merangsang penglihatan bayi.
- Selain itu bermain dengan cahaya lampu suluh kecil disekitar mata bayi mampu merangsang kepekaan penglihatan bayi.
- Untuk bayi yang berusia 3 bulan dan ke atas, ibu ayah boleh bermain dan menggerakkan objek yang menarik perhatian bayi.
Pada usia 5-8 bulan, peningkatan koordinator tubuh badan dan penglihatan bayi akan bertambah semakin baik. Keupayaan bayi dalam menilai objek yang lebih dekat atau lebih jauh juga semakin bertambah baik pada usia ini. Keupayaan ini tiada semasa bayi baru lahir.
Selain itu, pada usia 5 bulan kepekaan bayi dalam membezakan dan mengenal warna semakin sensitif dan berkembang walaupun tidak sebaik dan sesensitif orang dewasa.
Malah, kawalan terhadap pergerakkan leher juga membolehkan bayi memalingkan wajah untuk melihat objek di sekitar mereka.
- Untuk usia ini, ibu ayah boleh mengunakan permainan atau objek yang menarik perhatian bayi dan diletakkan berhampiran bayi. Bayi akan melihat dan akan cuba bermain dengan objek tersebut.
- Selain itu, pada usia ini bayi mudah tertarik kepada objek yang tergantung dan bergerak-gerak seperti hiasan di telefon bimbit. Permainan gim bayi yang mempunyai warna, bunyi dan bentuk yang menarik juga boleh diberikan kepada bayi sekitar usia ini kerana ia membantu dalam perkembangan motor tubuh dan penglihatan bayi.
Bayi akan mula belajar untuk merangkak, meniti, berdiri dan seterusnya berjalan sekitar usia 9-12 bulan. Kebolehan menggenggam objek dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk sepatutnya boleh dilakukan oleh bayi yang berusia sekitar 10 bulan.
Menginjak usia 12 bulan bayi akan cuba untuk berjalan atau sudah boleh berjalan. Ibu ayah seharusnya tidak terlalu memaksa atau berharap bayi berjalan lebih awal kerana proses merangkak sebenarnya adalah baik untuk bayi kerana perkembangan ini merangsang koordinasi pengunaan mata dan tangan yang baik.
Pada peringkat ini juga, bayi sudah boleh mengagak jarak dengan lebih baik dan membaling objek dengan tepat. Bayi juga sudah boleh dan pandai melihat objek yang bergerak dengan cepat. Mereka juga sudah mula melihat objek bersaiz halus.
- Ibu ayah boleh bermain membaling dan menyambut semula bola dengan bayi.
- Bermain dengan permainan yang bergerak seperti kereta mainan juga boleh dilakukan untuk bayi pada masa ini.
- Bermain menggunakan manik-manik halus seperti manik hiasan gula yang sering diletakkan di atas kek cawan juga boleh dilakukan pada usia ini. Sekiranya bayi mempunyai penglihatan yang normal, akan menarik minat bayi untuk mencapai dan mengambil manik hiasan ini.
Sekitar usia 2 tahun, perkembangan koordinasi mata dan tangan bayi berfungsi dengan agak baik dan mendalam. Mereka juga semakin berani dan berminat untuk meneroka keadaan sekeliling mereka.
Mereka juga sudah boleh mengenal gambar-gambar di dalam buku dan melukiskan atau mencoretkan semula mengunakan pensel atau pensel warna.
- Untuk usia ini ibu ayah boleh bermain kad yang mempunyai padanan gambar yang sama dengan anak.
- Tunjuk kad imbas dan suruh bayi memadan gambar yang serupa dengan gambar kad yang ditunjukkan.
Tanda Bayi Mempunyai Masalah Penglihatan
Setiap ibu bapa menginginkan zuriat yang sihat dan sempurna dari segala aspek. Namun, kadang kala tanda-tanda tidak normal pada bayi atau anak dapat dilihat oleh ibu bapa. Rawatan awal amatlah penting bagi memulihkan masalah kesihatan atau penglihatan anak.
Tanda-tanda ini mungkin berbeza mengikut perkembangan umur anak.
- Pada usia sebulan ke atas sekiranya cahaya daripada telefon bimbit, lampu bilik tidur, cahaya matahari atau gangguan cahaya lain tidak menarik perhatian bayi.
- Salah satu atau kedua-dua belah mata tidak pernah terbuka.
- Mata bayi tidak bergerak secara normal. Contoh bebola mata kiri bergerak tetapi bebola mata kanan tidak bergerak atau sebaliknya.
- Bayi seringkali menggosokkan matanya walaupun tidak mengantuk.
- Pada usia 3 bulan dan keatas, mata bayi tidak atau sukar mengikuti objek yang ditunjukkan di hadapannya.
- Sekiranya usia bayi anda melepasi usia 4 bulan tetapi bebola mata bayi masih lagi bersilang atau tidak fokus dan bergerak-gerak (bebola mata melilau) anda haruslah berbincang atau mendapatkan nasihat pakar pediatrik bayi anda.
- Bagi anak yang meningkat usia setahun dan ke atas masalah amblyopia atau lebih dikenali sebagai mata malas mungkin dihadapi oleh mereka. Simpton ini boleh dirawat dan sebaik-baiknya ibu bapa membawa anak mendapatkan rawatan secepat mungkin. Masalah ini boleh menjejaskan penglihatan dan ia boleh berlaku tanpa sebarang amaran.
Tanda-tanda umum yang lain di kalangan bayi dan anak kecil:
- Kelopak mata yang berkerak dan merah
- Kelopak mata bengkak
- Mata terlalu sensitif dengan cahaya
- Koyakan pada bebola mata
- Terdapat bendasing/kerak putih, putih kelabu atau kuning pada mata
- Bebola mata tiba-tiba menjadi juling
- Perubahan pada bebola atau kelopak mata seperti kelopak mata terkulai, bebola mata kelihatan terkeluar/ terjojol dan mata besar sebelah
Jenis Masalah Penglihatan Bayi
1. Ambliopia atau mata malas
Jika ada mata anak yang lebih kecil dari mata yang lain atau mata yang lebih lemah, penglihatan berganda, serta masalah untuk mengagak jarak, anak mungkin mempunyai ambliopia. Rawatan termasuk cermin mata preskripsi, titisan mata, penampalan, atau pembedahan.
2. Epifora atau air mata asyik keluar
Pengaliran air mata berlebihan yang tidak normal boleh dikesan sejurus anak lahir. Semasa bayi, ia akan nampak seperti saluran air mata yang tersekat. Saluran air mata yang tersekat biasanya akan pulih sendiri apabila anak berusia 1 tahun.
3. Glaukoma kanak-kanak
Glaukoma adalah hasil tekanan tinggi pada mata yang boleh mengakibatkan kerosakan saraf optik. Saraf optik adalah bahagian penting dalam mata yang mengawal penglihatan.
Masalah penglihatan kanak-kanak ini sangat serius dan boleh mengakibatkan anak kehilangan penglihatan sepenuhnya dan ini adalah keadaan yang kekal.
4. Katarak
Katarak kanak-kanak boleh dikesan dengan bentuk kabur dalam mata atau kanta mata yang nampak kabur. Ibu ayah harus membawa anak berjumpa doktor untuk pengesanan awal dan rawatan sebaik saja keadaan itu disyaki.
Apa yang Anda Boleh Jangka ketika Membawa Bayi Berjumpa Pakar Mata Buat Kali Pertama?
Secara lazimnya di Malaysia sejurus bayi dilahirkan dan sebelum dibenarkan pulang ke rumah, doktor akan memeriksa secara umum penglihatan bayi.
Kemudian ketika rutin pemeriksaan bulanan bayi, para petugas kesihatan akan memeriksa perkembangan penglihatan bayi mengikut peringkat umur. Sekiranya terdapat masalah atau penyakit yang berkaitan dengan penglihatan rawatan dan pencegahan awal perlu segera dilakukan.
Ini kerana perkembangan sistem saraf kanak-kanak adalah kompleks dan akan terus berkembang sehingga mereka mencapai usia 7 hingga 8 tahun.
Jika masalah yang teruk atau besar tidak dapat dikesan sejak awal dan tidak dirawat ia dibimbangi akan menjadi semakin teruk, tidak boleh diubati dan menjadi kerosakkan kekal.
Pemeriksaan mata bayi dan orang dewasa adalah sama tetapi untuk bayi ia dipermudahkan sedikit. Secara asasnya pemeriksaan ini terbahagi kepada tiga iaitu:
- Menguji tahap jumlah rabun jauh, rabun dekat, atau astigmatisme yang ketara.
- Menguji dan mengenalpasti masalah otot saraf mata dan binokular seperti strabismus (mata juling), amblyopia (mata malas), keralatan refraktif (myopia, hyperopia, astigmatism)
- Menguji dan mengenalpasti penyakit mata termasuk kehadiran katarak kongenital, gangguan retina, dan tumor
Selain itu pakar mata akan menilai sejarah perubatan bayi, otot mata, struktur mata dan tahap penglihatan bayi. Ia meliputi bagaimana bayi bertindak balas terhadap sesuatu objek yang ditunjukkan sama ada kedua-dua mata bekerjasama sebagai satu pasukan atau tidak.
Semoga bermanfaat.
- What to Expect (june 24, 2021). Your Baby’s Vision Development. www.whattoexpect.com/first-year/baby-vision
- Baby List (Sept 15, 2022). Best Toys for Babies 0-6 Months. www.babylist.com/hello-baby/best-baby-toys-first-6-months
- American Optometric Association (n.d). Infant Vision: Birth to 24 Months of Age. www.aoa.org/healthy-eyes/eye-health-for-life/infant-vision?sso=y
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: Jatuh Air Mata Seorang Ibu, Anak Berlari Bawa Anugerah Cemerlang Ke Pusara Ayahnya
Baca juga: Comelnya Ada Mata Macam “Princess Disney”, Hakikatnya Ia Penyakit Axenfeld Rieger!
Baca juga: Ibu Jangan Berlengah Jika Mata Bayi Kuning, Ia Petanda Gejala Penyakit Yang Serius