Jika ditanya mana-mana wanita di atas dunia ini, tiada siapa yang sanggup berkongsi kasih suami bersama orang lain. Lebih-lebih lagi apabila telah banyak pengorbanan seorang isteri lakukan ketika melayari bahtera rumah tangga.
Meskipun sakit untuk menerima kenyataan hidup bermadu, namun realiti yang dihadapi oleh wanita ini ibarat kisah dalam drama di televisyen.
Pengorbanan seorang isteri, terpaksa menjadi saksi suami berkahwin lagi
Sebuah rakaman video telah tular di laman media sosial Indonesia menunjukkan seorang wanita menjatuhkan air mata apabila dia reda dalam terpaksa menjadi saksi suaminya berkahwin kali kedua.
Video yang dimuat naik dalam Instagram PalembangTerkini itu memaparkan seorang wanita berdiri di sebelah suaminya ketika proses akad nikah di sebuah hospital.
Menurut kapsyen di video, suami wanita itu telah berkahwin kali kedua dengan bekas kekasihnya ketika di sekolah. Bakal madunya telah sakit tenat dan memerlukan penjaga.
”Hari ini, telah berlangsungnya perkahwinan kali kedua suamiku dengan bekas kekasihnya. Saya redha kerana Allah.”
”Namun air mata ini menitis juga saat kalimah sah dilafazkan sebaik akad nikah selesai. Saya harap anda bahagia, wahai suami.” tulis wanita berkenaan.
Video yang mendapat ulang tayang hampir 40,000 itu telah menarik perhatian netizen dan meninggalkan pelbagai komen.
Antaranya ada yang beranggapan isteri pertama sebenarnya tidak redha dengan perkahwinan kali kedua suaminya, sebab itulah dia menangis.
”Saya rasa seperti sedang melihat drama di kaca televisyen. Isteri pertama ikhlas atau tidak sebenarnya?”
Pengorbanan seorang wanita yang selalu suami terlepas pandang
Meneruskan kehidupan sebagai suami isteri bukanlah sesuatu yang mudah. Begitu banyak pengorbanan perlu dilakukan demi membina kebahagiaan rumah tangga.
Sebagai seorang isteri, banyak perkara perlu dipendam bagi menjaga hati pasangan dan mengelakkan berlakunya perselisihan faham. Berikut pengorbanan seorang isteri yang ramai para suami terlepas pandang:
#1. Mengerah tenaga bagi mengurus rumah tangga
Bermula mengurus anak-anak yang masih kecil sehinggalah makan minum suami, semua kerja ini tidak akan pernah berhenti.
Tidak kiralah isteri adalah seorang suri rumah atau bekerja, mereka pastinya mahu memberikan layanan terbaik dan memastikan rumah dalam keadaan selesa meskipun tubuh kurang rehat.
Akan tetapi ramai suami tidak menyedarinya sehingga terlupa untuk mengucapkan terima kasih. Lebih menyedihkan ada yang bersikap lepas tangan semua kerja rumah agar semuanya dilakukan oleh isteri.
#2. Mendahulukan kerjaya suami
Apabila anak jatuh sakit, isterilah yang selalu berkorban minta cuti dan jaga anak di rumah. Bukan itu sahaja, bila suami terpaksa berpindah ke tempat jauh, isterilah yang akan mengalah dan mengorbankan cita-citanya demi mengikut suami.
Sebenarnya ramai isteri sanggup tinggalkan semua keinginannya demi melihat suami berjaya. Malah ada yang sanggup berdepan kecaman daripada orang sekeliling apabila memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.
#3. Menyimpan rasa susah dari pengetahuan keluarga
Ada isteri yang sanggup menyimpan kesusahan hidupnya dari pengetahuan keluarga hanya untuk menjaga maruah suami. Sebolehnya dia tidak mahu ahli keluarga memandang rendah pada suami, lebih-lebih lagi jika kaum keluarga isteri lebih berdarjat dari suami.
Menjaga rahsia rumah tangga dan aib suami adalah perjuangan dalam hidupnya. Meskipun perlu hidup sekadar cukup-cukup makan, seorang isteri tidak pernah mengeluh dan sebolehnya mengelakkan dari berhutang dengan orang lain.
#4. Korbankan waktu untuk me-time
Seorang isteri juga sanggup menggadai diri dan mengorbankan kebebasan hanya untuk hidup bersama suami. Sudah tidak ada lagi kehidupan bebas, mengisi masa bersama kawan-kawan atau mengejar cita-cita peribadi.
Kebanyakan keinginan tidak dapat dikecapi kerana isteri kini berada di bawah tanggungjawab suami.
Meskipun kehidupan selepas berkahwin diberikan kesenangan, pasti akan ada waktu-waktunya isteri perlu berkorban kerana mereka berasa gembira dapat lakukan sesuatu demi suami dan keluarga tercinta.
Misalnya isteri akan mendahulukan suami dan anak-anak melebihi dirinya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kerana Cinta Itu Buta, Isteri Muda Sarat Hamil Sanggup Hidup Susah & Tinggal Bersama Madu