18 Gejala BAHAYA Masa Berpantang, Apa Ibu Perlu Tahu Selepas Bersalin!

Ibu, dapatkan bantuan segera sekiranya anda mengalami salah satu daripada tanda bahaya ini!

Selepas melahirkan anak, hakikatnya terdapat beberapa perkara yang berlaku pada wanita baru bersalin yang jarang dibincangkan. Ada sesetengah ibu baru sakit betis, ada yang demam sangat panas, malah ada juga yang sakit kepala selepas bersalin.

Ada sebahagian perkara yang mungkin nampak biasa, tetapi tidak normal khususnya pada wanita yang baru melahirkan anak dan perlukan lebih penjagaan selepas bersalin.

Kredit: Shutterstock

Selepas bersalin, wanita tentunya akan melalui tempoh berpantang bagi mengembalikan kesihatan tubuh secara dalaman dan luaran.

Namun sepanjang tempoh ini, anda sebaiknya memerhatikan tanda-tanda yang sebenarnya mungkin membawa maksud buruk kepada anda.

Rasa Sakit Kepala Selepas Bersalin? Penting Ambil Kira Setiap Perubahan Pada Diri Anda

Ada sebahagian gejala yang disebabkan oleh suntikan ubat, namun ada juga yang boleh berlaku walaupun tanpa pengambilan ubat. Perhatikan segala kemungkinan seperti sakit kepala selepas bersalin atau sakit di bahagian atas abdomen agar anda boleh mengambil tindakan segera dan tidak mengambil ringan apabila terjadinya simptom-simptom bahaya ini.

Kredit: Shutterstock

 

Penjagaan Selepas Bersalin: 18 Gejala Selepas Bersalin Yang Berbahaya

Terdapat 18 gejala yang anda harus perhatikan dan ambil kira sebaik melahirkan anak.

Perkara ini penting untuk anda ketahui agar anda tidak sekali-kali mengambil ringan apabila mengalami salah satu dari gejala ini ya ibu!

Kredit: Shutterstock

  1. Kehilangan darah yang banyak secara tiba-tiba, termasuk darah beku.
  2. Sakit kepala yang teruk atau berpanjangan, ketika anda duduk atau sedang berdiri.
  3. Tekanan darah tinggi yang disertai rasa sakit kepala, penglihatan kabur atau berasa loya.
  4. Sakit di bahagian atas abdomen, mungkin mengalamai sindrom HELPP (berlaku dalam tempoh 48 jam selepas melahirkan) bersama tanda lain seperti teramat penat, muntah dan loya.
  5. Nafas pendek selepas mendaki bukit. Mungkin juga akibat darah beku tersekat pada salah satu saluran darah dalam paru-paru. (embolisme pulmonari)
  6. Sakit dada yang kuat, berkemungkinan akibat jangkitan kuman pada paru-paru atau ketegangan otot akibat meneran semasa bersalin. Juga boleh disebabkan embolisme pulmonari.
  7. Sakit pada bahagian betis. Ini boleh terjadi akibat pembekuan darah pada vena pada otot, dan boleh membawa maut! Pastikan anda lebih berwaspada terutamanya jika ada tanda merah di pelipat, dan rasa panas di bahagian tersebut.
  8. Psikosis pospartum. Mudah berdebar, rasa terganggu, terlalu mudah gelisah boleh menjadi permulaan kepada sejenis keadaan kesihatan yang jarang berlaku ini.
  9. Terlintas ingin membunuh diri atau anak.
  10. Demam yang sangat panas sehingga mencecah 38 darjah celcius, sama ada disertai dengan menggigil atau tidak. Ini  boleh jadi akibat beberapa isu seperti tanda jangkitan kuman pada ruang antara vagina dan rektum, luka pembedahan ceaser, saluran kencing atau rahim anda.
  11. Tidak dapat membuang air kencing dalam masa 6 jam selepas bersalin.
  12. Lendiran faraj yang berbau busuk, akibat jangkitan pada rahim atau faraj.
  13. Buasir yang teruk, ataupun bengkak pada lubang dubur.
  14. Sembelit yang teruk selepas melahirkan anak.
  15. Terlalu lawas atau tidak dapat mengawal membuang air besar. Kemungkinan disebabkan koyakan atau darah beku (haematoma) pada lubang dubur.
  16. Sakit perut yang luar biasa pada keliling jahitan pembedahan ceaser.
  17. Tanda kemurungan selepas bersalin seperti tidak bersemangat, terlalu letih dan tidak berminat untuk berjumpa orang.
  18. Sakit yang teruk pada perineum, rasa pedih ketika buang air kecil akibat jangkitan saluran kencing atau jangkitan pada jahitan.

Penjagaan Selepas Bersalin: Dapatkan Bantuan Dan Rawatan Dengan Kadar Segera

Sekiranya anda mempunyai gejala yang disebutkan tadi, dapatkan bantuan dengan segera. Ini bagi memastikan anda tidak melalui perkara yang membahayakan diri yang mungkin boleh membawa kepada perkara lebih buruk, malah boleh membawa kepada kematian.

Kredit: Shutterstock

Setiap gejala memerlukan rawatan yang berlainan, dapatkan nasihat pakar bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik bagi menangani masalah tersebut.

Ada yang memerlukan proses berpantang yang lebih ketat, berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan profesional, atau sekadar sokongan moral dari pihak keluarga.

Jangan sekali-sekali menganggap gejala yang dialami anda ini adalah perkara ringan yang akan berlalu tanpa mendapatkan rawatan.

Wanita melalui proses bersalin yang mempengaruhi hormon dan sekaligus mengubah tubuh sepanjang tempoh berpantang, jadi harus diingatkan di sini yang tubuh badan anda masih dalam  keadaan lemah dan perlukan rawatan.

Semoga bermanfaat!

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus ke Facebook page kami.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: Mingguan Wanita/Drzubaidi

Penulis

Beto Rahman