Sejak kebelakangan ini, kes harian penyakit berjangkit menunjukkan peningkatan yang begitu drastik. Tidak hanya orang dewasa, golongan kanak-kanak dan bayi juga antara menjadi mangsa penularan virus Covid-19.
Meskipun sudah mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi SOP yang ditetapkan, ramai pesakit tidak dapat mengenal pasti dari manakah punca penyebaran virus tersebut.
Bahaya penyakit berjangkit, satu keluarga dibawa ambulans ke hospital
Bagi mana-mana ibu, ia adalah sesuatu yang menyakitkan apabila melihat anak masih kecil perlu melakukan ujian calitan dan berdepan gejala Covid-19 yang serius.
Baru-baru ini perkongsian di aplikasi TikTok yang tular telah memaparkan sebuah video seorang kanak-kanak lelaki bersama bapanya dijemput oleh ambulans untuk ke hospital.
Menurut seorang wanita, Natila Syuhada menceritakan kepada Mstar Online bahawa dia, suami dan tiga anak yang masih kecil (kembar berusia dua tahun dan seorang bayi berusia dua bulan) kini berada di Hospital Kuala Lumpur selepas empat daripada mereka disahkan positif Covid-19.
”Pada mulanya suami melakukan ujian calitan dan disahkan positif disebabkan oleh ada kes positif di tempat kerjanya. Dia bersama seorang anak kembar kami, Adam Mateen dimasukkan ke hospital terlebih dahulu pada 21 Julai lepas,”
”Waktu dapat tahu keputusan mereka positif. Saya seakan-akan rasa nak pengsan. Lebih-lebih lagi degupan jantung Mateen laju dan suhu badannya tinggi mencecah 39.3 celsius.” cerita Natila.
Tambahnya, tidak lama selepas itu ada ujian saringan dilakukan di kawasan taman perumahan mereka, Taman Samudera di Gombak disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Hasil ujian mendapati Natila dan seorang lagi anak kembarnya, Adam Naufal turut positif.
Ujian hebat apabila terkena penyakit berjangkit
”Alhamdulillah bayi saya yang baru berusia dua bulan, Jebat Raffael didapati negatif selepas tiga kali buat swab test. Pada 23 Julai, saya, Naufal dan Raffael dimasukkan ke HKL. Kami lima beranak juga ditempatkan sebilik.” kongsinya.
Natila sama sekali tidak menyangka bahawa mereka diberikan ujian hebat ini yang melibatkan anak-anak masih kecil.
”Sepanjang berpantang dua bulan, saya tidak keluar rumah. Baharu sahaja seminggu tamat tempoh berpantang anak ketiga, disahkan positif Covid-19 pula. Hanya suami yang keluar bekerja, tetapi setiap kali pulang rumah dia akan mandi terlebih dahulu.”
”Apakan daya, kami sehabis baik menjaga SOP. Namun dipilih untuk hadapi ujian sebegini. Saya baru nak betul-betul sembuh selepas bersalin, tetapi perlu kuat demi anak-anak kerana ujian ini bukan calang-calang.”
”Boleh dikatakan setiap malam tidur saya dan suami tidak pernah lena kerana perlu memantau keadaan anak.” kongsinya.
Natila turut mengatakan bahawa kini dia mengalami gejala Covid-19 seperti sakit kepala, sakit tekak, demam, batuk, selesema dan hilang deria rasa.
Cabaran menjaga anak yang mengalami gejala Covid-19
”Alhamdulillah walaupun kami berempat mengalami simptom Covid-19, keadaan semakin bertambah baik di bawah pemantauan doktor. Memang tidak dapat digambarkan cabaran menjaga anak-anak kecil yang sakit.”
”Anak-anak kalau sakit, memang mereka akan meragam. Susah nak tidur malam sampai ibu ayah sekali tak dapat lelapkan mata. Kami amat risau bila selera makan mereka berkurang yang boleh menyebabkan anak menjadi lemah.”
”Antara cara untuk pujuk mereka makan ialah kami beri makanan kegemaran mereka. Bila berdepan keadaan sebegini, ibu ayah kena kuatkan diri. Pada mulanya saya berasa down, bila tengok semula wajah anak-anak, dari situlah saya peroleh semula semangat.”
Natila sama sekali tidak menyangka bahawa perkongsian yang dibuat oleh adik iparnya menjadi perhatian warganet. Dia menzahirkan rasa terharu dengan keprihatinan keluarga, rakan-rakan dan rakyat Malaysia.
”Saya amat berterima kasih kepada mereka yang prihatin. Tidak hanya menghantar mesej tanya khabar dan beri bantuan makanan, malah ada yang murah hati beri sumbangan kewangan meskipun dari jauh.”
Natila turut berharap agar Allah memberikan kesembuhan buat mereka sekeluarga. Dia turut berpesan kepada orang ramai agar sentiasa menjaga diri dan ahli keluarga.
”Kalau boleh anggaplah setiap individu yang ditemui setiap hari adalah positif Covid-19 agar kita dapat mengambil langkah berjaga-jaga. Bila terkena pada keluarga sendiri, mungkin barulah anda faham apa yang kami sekeluarga sedang lalui,” pesan Natila.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu, Ayah & Adik Meninggal Akibat Covid-19, Kini Menantu & Bayinya Sedang Kritikal