Anak yang terdedah dengan persekitaran luar atau kanak-kanak yang lain berisiko dijangkiti pelbagai penyakit. Antara salah satu ibu ayah risau adalah ancaman penyakit HFMD. Bagi yang terkena, ada beberapa petua hilangkan hfmd boleh anda cuba di rumah.
Untuk pengetahuan ibu ayah, hfmd maksud dari singkatan Hand, Foot and Mouth Disease yang berlaku disebabkan oleh kumpulan enterovirus. Biasanya penyakit hfmd berjangkit pada kanak-kanak di bawah usia 5 tahun.
Sehingga Mei lalu, Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD) telah menunjukkan trend peningkatan. Setakat Minggu Epidemiologi (ME) 17/2022, sebanyak 22,463 HFMD telah dilaporkan di Malaysia, peningkatan 12.8 kali ganda berbanding pada ME yang sama tahun 2021.
Isi Kandungan
Petua hilangkan HFMD secara tradisional
Seorang ibu, Azma Abdul Jamil telah berkongsi di Facebook mengenai pengalaman merawat anaknya yang mengalami penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD).
Dia juga berkongsi petua hilangkan hfmd menggunakan 100% rawatan tradisional mengikut cara masyarakat India yang dikongsikan oleh jirannya.
#1. Aiskrim vanila
Menurut Azma, dia beri anaknya makan aiskrim vanila untuk melegakan luka dalam mulut. Kesejukan ais krim mampu melegakan sakit ulser mulut anaknya.
#2. Daun semambu dan serbuk kunyit
Cara merawat penyakit kaki tangan dan mulut yang seterusnya adalah menggunakan daun semambu dan serbuk kunyit.
Ibu perlu sediakan sebesen besar air paip, campurkan dengan 1 sudu besar serbuk kunyit dan daun semambu.
Kemudian, letak besen tersebut di bawah cahaya matahari (letak pada waktu 10.40 pagi sehingga 1 petang) dan biarkan air menjadi suam.
Seterusnya, mandikan anak menggunakan air jemuran tadi. Jangan bilas dengan air paip dan biarkan air kunyit dan daun semambu mengering sendiri di badan anak.
#3. Minum air kelapa muda
Cara merawat penyakit kaki tangan dan mulut yang lain adalah dengan beri minum air kelapa muda.
Minum sikit demi sikit pun boleh sebab ulser mulut anak boleh membuatkan mereka berasa tidak selesa nak menelan air ataupun makan.
Air kelapa muda mempunyai khasiat nutrisi seperti kalium, natrium dan magnesium membantu menggantikan nutrien anak yang hilang ketika sedang sakit.
#4. Daun semambu dan bedak sejuk
Petua hilangkan penyakit hfmd yang seterusnya adalah dengan meramaskan daun semambu dengan bedak sejuk.
Kemudian lumurkan pada keseluruhan tangan, kaki dan bahagian yang ditumbuhi ruam. Jangan masukkan dalam mulut anak pula ya!
Untuk dalam mulut, makan aiskrim vanila sahaja. Dengan izin Allah, selepas 2 hingga 3 hari ruam anak akan beransur sembuh. Pastikan anda lakukan cara ini dengan konsisten setiap hari.
#5. Gel lidah buaya atau aloe vera
Gel aloe vera semulajadi boleh digunakan untuk menyapu lepuhan atau bahagian yang terasa gatal.
Jika ibu ayah tidak menjumpai pokok lidah buaya, boleh sahaja dapatkan produk aloe vera yang organik, tidak berbau dan anti-alergenik di farmasi supaya tidak mendatangkan kesan sampingan.
Gel ini amat sejuk dan dapat memberi kelegaan terhadap penyakit hfmd yang dialami si manja.
#6. Minyak zaitun dan kelapa dara
Minyak zaitun asli boleh digunakan seperti minyak kelapa dara. Sapukan pada lepuhan dan ambil sedikit untuk disapu pada ulser mulut. Pastikan tangan anda benar-benar bersih sebelum memegang tubuh anak.
Minyak kelapa dara juga antara bahan semulajadi yang boleh digunakan untuk merawat penyakit kaki tangan dan mulut.
Punca hfmd berlaku
Enterovirus boleh hidup beberapa hari atas permukaan dalam suhu bilik. EV71 adalah virus tanpa selaput, maka ianya amat sukar untuk dimusnahkan oleh suhu persekitaran biasa.
Kajian menunjukan virus EV71 di atas permukaan plastik yang didedahkan kepada persekitaran panas dan lembap masih berupaya menjadi punca hfmd berlaku.
Selain itu, punca hfmd yang ramai ibu ayah tidak sedar ialah:
- Berkongsi barang atau mainan dengan kanak-kanak lain
- Tabiat suka mencium atau memeluk pesakit yang telah dijangkiti
- Penjagaan kebersihan yang kurang memuaskan
- Permukaan atau peralatan tidak dicuci dengan pembasmi kuman
- Berlaku sentuhan dengan cecair lepuhan atau najis pesakit
- Bersentuhan dengan permukaan atau barang yang telah dijangkiti virus seperti pemegang pintu tandas.
Bagaimana penyakit HFMD berjangkit?
Penyakit HFMD adalah penyakit berjangkit yang biasa berlaku kepada kanak-kanak sebelum usia 5 tahun. Ia berlaku disebabkan oleh virus jenis Enterovirus terutamanya virus coxsackie.
Penyakit HFMD berjangkit antara pesakit melalui sentuhan tangan atau permukaan yang dicemari najis. Ia juga boleh tersebar melalui air liur, najis atau rembesan pernafasan daripada mereka yang terjangkit.
Penyakit ini muncul seperti simptom jangkitan virus lain, dengan demam dan masalah pernafasan. Beberapa hari kemudian, lepuh mungkin muncul pada mulut (herpangina) dan mungkin menyakitkan kepada anak anda.
Jika anak anda berasa sakit untuk menelan, mereka mungkin perlu dipujuk untuk makan dan minum.
Tanda tanda hfmd yang serius
Antara tanda tanda hfmd yang biasa berlaku adalah ulser naik di lelangit, lidah serta bahagian dalam pipi dan bibir.
Kadangkala ulser mulut bersaiz kecil dan tidak banyak. Namun ada juga ulsernya besar sehingga menjadi stomatitis (radang di dalam mulut). Lebih banyak ulser, lebih pedih dan sakit yang dirasai oleh si manja.
Selain itu tanda tanda hfmd juga boleh menyebabkan rasa kepala pening, badan lesu, rasa lemah dan senak di bahagian perut serta ruam gatal di tangan dan kaki.
Ibu ayah juga dinasihatkan untuk berwaspada dengan tanda hfmd serius seperti:
- Mata cengkung
- Demam tinggi
- Sawan
- Sangat penat dan lesu
- Dehidrasi
- Tanda hfmd: Mulut kering
- Kurang/Tidak buang air kecil
- Sakit dada
- Sakit tengkuk
- Tanda hfmd: Nanah atau bengkak di ulser atau lepuh
Kesan penyakit HFMD
Umumnya kanak-kanak dalam lingkungan bawah lima tahun akan menunjukkan kesan penyakit HFMD yang lebih ketara berbanding kanak-kanak yang lebih besar.
Ini kerana sakit hfmd dalam mulut membuatkan mereka berasa tidak selesa dan susah untuk makan. Air liur akan terkumpul di dalam mulut kerana kanak-kanak tersebut berasa sakit apabila menelan.
Tabiat ini akan menyebabkan stomatitis atau gingivitis (penyakit gusi). Ramai pesakit HFMD dimasukkan ke hospital dan disambung dengan titisan IV sehinggalah mereka boleh menelan air dengan selesa.
Adakah tanda tanda hfmd dewasa dengan kanak-kanak sama?
Tidak hanya bayi dan kanak-kanak sahaja, golongan dewasa juga berisiko terkena jangkitan penyakit hmfd ini.
Menurut perkongsian Dr. Iqbal Rosali, virus HFMD boleh dijangkiti orang dewasa terutama ibu yang masih menyusu badan pada anak. Secara tak langsung, virus tersebut menular melalui air liur anak yang dijangkiti.
Tanda tanda hfmd dewasa sama saja seperti kanak-kanak yang seperti demam ringan, hilang selera makan, ruam di bahagian tapak tangan , kaki dan ulser di dalam mulut.
Walau apapun, virus HFMD harus dirawat dengan segera kerana jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh membawa maut.
Jika orang dewasa terkena penyakit ini, ia dua kali ganda lebih teruk berbanding kanak-kanak.
Tips menjaga anak dan rawatan untuk sakit kaki tangan dan mulut
Jika anak menunjukkan simptom hfmd yang agak ringan, ibu ayah hanya perlu mengawasi suhu badannya dan memastikan anak rehat, makan dan minum dengan cukup.
Namun sekiranya anda menyedari si manja mengalami simptom hfmd yang teruk, segeralah mendapatkan rawatan di klinik yang berdekatan.
Selain itu, jangan berikan makanan yang masin, pedas, atau berasid kepada anak semasa mulutnya sakit. Makanan lembut akan memudahkan bayi anda menelan.
Sekiranya doktor membenarkan, anda boleh memberikan anak dos acetaminophen yang sesuai (jika bayi berusia sekurang-kurangnya 3 bulan) atau ibuprofen (jika bayi berusia sekurang-kurangnya 6 bulan).
Jangan sekali-kali memberikan aspirin kepada kanak-kanak. Ia boleh membawa kepada sindrom Reye, yang jarang berlaku tetapi boleh membawa maut.
Sekiranya anak anda berusia lebih daripada 12 bulan, tanya doktornya tentang ubat-ubat cecair yang berbeza untuk melegakan sakit kaki tangan dan mulut.
Perhatikan jika anak mengalami bibirkering, dahaga yang melampau, air kencing yang dikeluarkan sedikit atau si manja semakin lemah. Jika ini berlaku, segera membawanya ke klinik atau hospital berdekatan
Tanda hfmd sudah sembuh
Seorang pesakit yang memiliki gejala HFMD boleh menjangkiti sekurang kurangnya 5 orang pesakit lain.
Jika berlaku kepada wanita mengandung, ia tidak menjangkiti janin dalam kandungan. Namun, dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.
Ibu ayah jangan risau kerana gejala hfmd akan pulih dengan sendiri. Badan si manja akan membentuk antibodi untuk melawan virus ini. Biasanya ia mengambil masa 7-10 hari untuk pulih sepenuhnya.
Antara tanda hfmd sudah sembuh adalah:
- Sudah tiada ruam baru yang muncul dan ruam yang sedia ada sudah kering kesemuanya
- Demam sudah hilang
- Batuk dan selesema telah pulih
Cara mencegah penyakit kaki tangan dan mulut
Petua hilangkan hfmd yang utama adalah dengan mengamalkan kebersihan tangan. Ibu ayah hendaklah sentiasa mengingatkan anak untuk kerap mencuci tangan mereka.
Selain itu lakukan beberapa cara mencegah penyakit kaki tangan dan mulut bagi mengelakkan penyebaran virus kepada orang lain iaitu dengan:
- Sentiasa bersihkan mainan dan permukaan yang disentuh
- Elakkan berkongsi makanan, minuman, peralatan, tuala dan sikat gigi dengan orang lain
- Jangan membawa anak di tempat yang sesak
- Asingkan anak yang dijangkiti dengan ahli keluarga lain
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Anak Tak Nak Makan & Susu Sebab Kena HFMD, Ibu Boleh Bagi 10 Jenis Makanan Ini!
Baca juga: ”Doktor Kata Aisyah Dah 50/50”, Ibu Terkilan Bayi Sawan Lepas Tertelan Kekabu Bantal
Baca juga: Buat Masa Ini Elakkan Bawa Anak Bawah 12 Tahun Ke Tempat Awam, Elak Jangkitan HFMD