Memandangkan seluruh negara dilanda penyakit paling bahaya, Covid-19, prosedur bersalin ketika pandemik telah mewajibkan kesemua para ibu untuk melakukan ujian saringan. Kebiasaannya, anda perlu menunggu keputusan ujian ini keluar terlebih dahulu sebelum mendapat katil di dalam wad bersalin.
Tiada siapa yang tahu sama ada diri sendiri dijangkiti wabak ini ataupun tidak. Sesetengah kes ibu mengandung hanya menyedari positif Covid-19 setelah ujian calitan dibuat ketika ingin melahirkan bayi.
Penyakit paling bahaya meragut nyawa ramai ibu mengandung
Sejak kebelakangan ini kes jangkitan Covid-19 melibatkan ibu mengandung semakin membimbangkan ramai.
Selain isteri kepada selebriti terkenal, Siti Sarah Raisuddin yang menjadi korban wabak ini, ada seorang lagi ibu mengandung yang turut meninggal dunia pada hari yang sama.
Izzati Najah Amran berusia 26 tahun tidak berkesempatan untuk menatap wajah anak sulungnya. Menurut kakak iparnya, Izzati Najah telah dimasukkan ke hospital pada Khamis lalu sebagai persediaan kerana dia telah hampir tiba masa untuk bersalin.
Bagaimanapun hasil ujian saringan yang dijalankan di hospital telah mendapati dia positif Covid-19.
”Sehari sebelum itu (Rabu), Izzati Najah dan suaminya telah ke hospital untuk melakukan ujian calitan. Suaminya telah positif, namun arwah Izzati negatif.”
”Keesokan harinya, arwah sekali lagi ke hospital kerana sudah ada tanda-tanda untuk bersalin. Disebabkan oleh perlu melalui ujian saringan terlebih dahulu, keputusannya adalah positif Covid-19 dan Izzati Najah dimasukkan ke unit rawatan rapi,” katanya.
Keadaan Izzati Najah yang mengandung telah menyebabkan doktor terpaksa mengeluarkan bayi dalam kandungan secara pembedahan kira-kira jam 5 pagi pada Jumaat yang lalu.
Penyakit paling bahaya Covid-19 tidak menjangkiti bayi baru lahir
Ceritanya lagi, pada keesokan harinya Izzati Najah telah diintubasi untuk membolehkannya mendapat bantuan pernafasan dengan mesin ventilator kerana paras oksigen mula menurun.
”Alhamdulillah, arwah telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan dan diberi nama Lily Ellyyna. Bayi dalam keadaan sihat, bebas Covid-19. Namun dia masih berada di hospital untuk rawatan.”
”Apa yang menyedihkan, arwah tidak sempat menatap dan memangku anak sulungnya kerana dia tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia.” katanya.
Suami Izzatu antara yang palin terkesan kerana tidak dapat menatap wajah dan menguruskan jenazah isteri kesayangannya buat kali terakhir kerana perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Katanya, hanya abang kepada Izzati Najah, Mohd Izhar, 30 dan adiknya, Mohd Izham Amran, 20 dibenarkan menguruskan jenazah dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE). Beberapa ahli keluarga lain yang turut hadir ke tanah perkuburan, namun perlu berada pada jarak jauh.
”Amat sedih mereka berdua baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan yang pertama pada 19 Julai lalu. Kedua-duanya teruja menanti masa untuk menimang cahaya mata sulung.”
”Allah lebih menyayanginya. Mahu atau tidak, kami sekeluarga perlu redha dan bersyukur kerana dapat mengajar Izzati Najah mengucap dua kalimah syahadah ketika doktor membuat panggilan video sebelum arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir.” kongsinya.
70 kes kematian membabitkan ibu hamil akibat jangkitan Covid-19
Sejak Mac 2020 sehingga 8 Ogos lalu, sebanyak 70 kes kematian melibatkan ibu mengandung disebabkan oleh komplikasi jangkitan penyakit paling bahaya, Covid-19.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejumlah 3,396 kes Covid-19 dalam kalangan ibu mengandung di negara ini dilaporkan dalam tempoh berkenaan.
Ini menunjukkan hampir satu peratus ibu mengandung di Malaysia telah dijangkiti Covid-19. Analisa terperinci menunjukkan nisbah ibu mengandung yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit Covid-19 kritikal ialah 1 dalam 20.
Justeru Dr Noor Hisham menyarankan langkah pencegahan perlu diambil. Antaranya kekal berada di rumah, amalkan norma baharu dan mematuhi SOP.
Perlu sentiasa diingatkan untuk tidak menjadi punca jangkitan kepada ibu hamil sekiranya ahli keluarga perlu keluar rumah. Jika ada yang menjalani kuarantin di rumah, pastikan mereka patuh sepenuhnya terhadap prosedur kuarantin.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Mengandung Perlu Segera Dapatkan Vaksin Covid-19, Anda Berisiko Tinggi Jika Dijangkiti