Membesarkan anak perempuan adalah satu kelebihan, bukanlah beban. Oleh kerana bapa ini selalu mendengar soalan: “Apa yang awak telah lakukan sebelum ini? Sehingga dikelilingi oleh ramai perempuan”.
Soalan ini seolah-olah menunjukkan yang mempunyai ramai perempuan (isteri & anak perempuan) dalam hidupnya adalah sesuatu yang teruk.
Jadi Justin Ricklefs membuat keputusan untuk berkongsi tentang apa yang dipelajarinya daripada pengalaman membesarkan empat orang anak perempuan (dan seorang lelaki).
15 Perkara Yang Perlu Anda Lakukan Apabila Mempunyai Anak Perempuan
Berikut adalah 15 perkara yang Justin belajar dari pengalamannya membesarkan anak-anak perempuannya selama 11 tahun;
- Dia ingin disayangi.
Anak perempuan anda hanya mahu anda menyayanginya. Lebih daripada barangan yang anda beli atau ajarkan. Anak anda mungkin akan mengecewakan anda, buat silap dan merajuk dengan anda, tetapi jangan sesekali membiarkan dia rasa seperti anda tidak menyayanginya. Lihat ke dalam matanya dan beritahu yang anda sangat menyayanginya.
- Anda mempengaruhi pemilihan pasangannya di masa hadapan.
Ia memang satu perkara yang menakutkan untuk difikirkan, tetapi bagaimana anda dihadapinya, akan memberi impak siapa yang dia akan pilih sebagai pasangan nanti. Selama bertahun-tahun, anak perempuan Justin memintanya ‘berkahwin’ dengannya tetapi Justin menjelaskan dengan baik yang dia telah mengahwini wanita yang hebat, iaitu ibunya. Jika anda menunjukkan contoh yang baik, dia pasti akan mahu mengahwini seseorang seperti anda suatu hari nanti.
- Dengar muzik pilihannya.
Jika anda menaiki kereta bersama Justin dan anak-anak perempuannya, anda akan mendengar lagu-lagu pilihan mereka, dari One Direction, Cody Simpson hingga Katy Perry. Bila anda mendengar lagu-lagu pilihan mereka, anda akan faham apa yang mereka inginkan. Apabila mereka gembira, anda pasti gembira.
- Cara melayan ibunya.
Antara perkara yang terbaik anda boleh lakukan untuknya ialah, melayan ibunya dengan layanan yang terbaik. Layani anak-anak anda, tetapi, pastikan hubungan perkahwinan anda menjadi keutamaan. Sayangi isteri anda sepenuh hati, luangkan masa untuk bersama dengannya, bawanya berjalan, dan tunjukkan pada anak-anak yang dia adalah keutamaan terbesar anda, lebih dari mereka.
- Jangan jauhi mereka ketika umur mereka semakin meningkat.
Semakin mereka meningkat remaja, keadaan akan menjadi semakin janggal antara bapa dan anak perempuan. Jadi, teruskan melibatkan diri anda dengan mereka terutamanya secara emosional. Jangan ‘menghilang’ apabila emosi dan fizikal mereka mula berubah. Jangan biarkan mereka rasai perubahan pada ayah mereka. Haid, teman lelaki, media sosial, atau apa sahaja, teruskan berada bersama mereka.
- Ajari mereka cara bersenam dengan betul.
Dalam hal kesihatan, jadikan ia suatu yang serius. Biarkan mereka bersenam dengan betul. Jika mereka mahu bersukan dengan serius, biarkan. Ia bukan sahaja menguatkan fizikal, malah ia sebenarnya memberikan mereka kekuatan mental. Perempuan tidak semestinya menjadi lembik.
- Cipta memori.
Seorang kawan pernah menasihati Justin supaya menjadi ketua pembina memori di dalam rumah. Mati itu pasti, namun kita mempunyai 50-60 tahun di atas dunia dan ianya adalah masa yang singkat, jadi berusahalah untuk membina memori bersama anak-anak perempuan selagi masa masih ada. Perkara kecil seperti percutian sempena umur 10 tahun, menonton filem bersama, atau aktiviti mendaki, sememangnya cukup bermakna, walaupun tidak semewah mana.
- Ajarkan dia tentang dunia sekeliling.
Ajarkan dia yang kita harus berkhidmat dan berbuat baik dengan orang lain. Beralah di dalam sesuatu hal serta tidak semestinya perlu betul setiap masa. Beritahu anak perempuan anda yang sesuatu yang hebat akan terjadi jika kita banyak memberi, lebih daripada mementingkan diri sendiri.
- Hadiri majlis-majlis di dalam hidupnya.
Memang sebagai bapa, kita pasti akan sibuk dengan kerjaya dan tidak mungkin untuk kita hadiri setiap majlisnya, tetapi, tunjukkan usaha untuk menghadirinya. Walaupun anda tidak minat akan majlis itu, tetapi, tunjukkan sokongan anda. Biar mereka tahu yang anda tetap bersamanya walaupun apa pun pilihan mereka.
- Berada dekat tidak sama dengan hadir bersama.
Ini adalah fakta: rasa kebersamaan tidak semestinya ada walaupun anda duduk di sebelah anak perempuan anda. Terutamanya di era teknologi dan hiburan di hujung jari ini. Letakkan telefon anda ke tepi dan fokus terhadapnya. Si kecil anda tidak ambil kisah tentang media sosial, email atau whatsapp kumpulan anda, sebaliknya hanya mahu bermain dengan anda, melihat wajah anda dan mendengar apa yang anda ingin diceritakan.
- Dandani mereka.
Sama ada anda tolong memakaikan pengilat kuku atau mendandan rambutnya, cuba untuk melibatkan diri dengan aktiviti kegemaran mereka. Tunjukkan kepada mereka yang lelaki juga boleh membantu mereka berhias.
- Keluar dengannya.
Keluar berdua dengannya ialah satu cara yang kritikal untuk menunjukkan kepadanya bagaimana lelaki melayan perempuan. Bagaimana cara anda ingin pasangannya melayannya nanti, begitulah anda melayani mereka. Ia tidak semestinya sesuatu yang mahal atau gah, tetapi sesuatu yang dari hati dan akan diingati.
- Hati melebihi rupa paras.
Ya, ianya adalah tugas seorang bapa untuk mengingatkannya berjuta kali tentang apa yang ada di dalam hati itu adalah lebih penting. Karakternya, maruah dirinya, pendiriannya, itu semua melebihi rupa paras yang penuh dengan alat solek, saiz badan yang terlalu kurus atau pakaian yang mewah.
- Jangan membuang masa.
Saat mereka memanggil anda ‘ayah’? Itu adalah saat yang boleh hilang sekelip mata. Nikmati setiap saat sementara masih ada peluang.
- Maafkan ayah.
Perkara yang anda sering kali terlepas pandang, minta maaf kepadanya. Jika anda melukai hatinya atau membuatnya bersedih, belajar meminta maaf darinya. Bukan sekadar perkataan maaf, tetapi memohon kemaafan yang ikhlas dari hati. Biar pun anda bukan seorang bapa yang sempurna, dia pasti akan maafkan anda.
Sebagai seorang anak perempuan, saya akui, apa yang dikongsikan oleh Justin pasti akan memberi makna yang besar ke dalam hidup mana-mana anak perempuan.
Ikatan yang akan anda peroleh, tidak ternilai harganya. Anda masih ada waktu, mulakan sekarang 🙂
Sumber: huffington post
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!