Mengerjakan umrah bukanlah satu tugas yang mudah. Banyak perkara yang perlu diambil kira dan dilaksanakan, apatah lagi bercadang untuk pergi dengan anak kecil. Mungkin ada tips umrah bersama bayi yang sangat praktikal buat parents di luar sana?
Sesetengah masyarakat beranggapan membawa anak kecil ketika umrah boleh jadi menyusahkan dan meletihkan. Ia memerlukan persediaan yang rapi dari segi ubat-ubatan dan makanan. Itu tidak termasuk lagi apabila bayi menghadapi peralihan waktu tidur dan perubahan cuaca.
Namun segalanya boleh menjadi mudah dan menyenangkan sekiranya ibu ayah sudah membuat persediaan lebih awal.
Terutamanya dari segi mental dan fizikal sebelum menjejakkan kaki ke tanah suci.
Isi Kandungan
Tips Umrah Bersama Bayi Untuk Pertama Kali
Puan Nur Fatehah boleh melakukannya dan ada berkongsi, di FBnya, tips umrah bersama bayi yang sangat pratikal dan relevan. Jom kita ikuti kisahnya.
Pada awal bulan Mac baru-baru ini, beliau dan suaminya telah pergi mengerjakan umrah. Anaknya yang berusia 6 bulan, Khalish Furqan, turut dibawa bersama.
Setelah tiba di Madinah, ada juga beberapa tip lain yang dikongsikan bagi mempermudahkan urusan ibadah anda serta keselesaan si bayi.
- Semak dahulu cuaca di Madinah & Mekah semasa di Malaysia lagi, jika anda pergi ketika musim sejuk, bawa lebih selimut, baju sejuk bayi, stoking dan sarung tangan bayi.
- Sebelum terbang mengerjakan umrah, anda bolehlah belajar dan berlatih cara sembahyang sambil memegang bayi. Ia untuk menenangkan bayi anda jika dia menangis tanpa henti di masjid.
- Jadikan habit untuk membersihkan anak dan menukar lampinnya sebelum anda keluar ke masjid. Ia untuk menghilangkan rasa was-was (terkena najis atau tidak).
- Apabila keluar ke masjid, bawa tikar bayi. Pastikan ia ringan dan kalis air. Menurut Puan Fatehah, ruang menukar lampin di Masjid Nabawi ada di sebelah tempat mengambil wuduk.
- Untuk solat, cari tiang atau dinding tepi supaya mudah untuk anda meletakkan bayi (dan bukannya di tengah-tengah ruang solat).
- Jangan bagi bayi menjadi perhatian ramai supaya mengelakkan jemaah lain menggomol dan mencum bayi anda tanpa henti (risiko penyakit berjangkit).
- Jika anda bercadang untuk mengerjakan solat di ruang Raudhah , bincang dengan suami anda supaya memegang bayi kerana jemaah lelaki lebih mudah masuk.
- Jika anda menaiki bas dari Madinah ke Mekah, pastikan anda bersiap sedia dengan kelengkapan bayi. Letak semua yang anda perlukan dalam beg yang mudah untuk digalas.
- Jika ingin mengerjakan waktu tawaf, pergi ketika waktu bayi anda tidur. Contohnya, mengerjakan tawaf selepas solat subuh. Maka, elok sahaja si kecil tidur.
- Pastikan barangan berharga disimpan dalam beg yang dilekap ke badan kita. Jangan lupa juga untuk zip beg dengan kemas.
Senarai Lengkap Keperluan Bayi yang Perlu Dibawa
Sebagai persiapan perjalanan, ada beberapa kelengkapan yang perlu ada dalam beg kabin untuk persediaan ibu ayah.
- 2 persalinan baju
- 6-7 diapers
- Mainan untuk si manja
- Makanan bayi
- Tuala kecil
- Tisu basah
- Pencuci tangan
- Minyak untuk melegakan perut dan memudahkan si kecil tidur (beliau mencadangkan Ritz ManjaQu)
- Susu
- Untuk ibu yang mengepam susu, bawa cooler beg, ice brick dan pam susu
- Sabun basuh botol
Kelengkapan di atas akan membantu anda menguruskan si kecil semasa dalam kapal terbang dan sehinggalah masuk ke bilik hotel.
Manakala, ini pula senarai lengkap barang keperluan bayi yang boleh anda bawa ketika mengerjakan umrah bersama si kecil bagi memastikan bayi anda kekal selesa dan sihat.
- Pampers yang mencukupi. Untuk berjimat, elak membeli di sana kerana napkin agak mahal dan hanya ada dalam pek kecil sahaja.
- Ubat-ubatan (selesema, batuk, sakit perut, etc.), termasuk KoolFever. Ubat di sana agak mahal.
- Baju sepersalinan (baju di siang hari, baju tidur, dan baju basahan)
- Selimut dan tuala bayi
- Stoking kaki dan tangan
- Barang mandian bayi
- Tisu basah dan sapu tangan
- Kipas angin bateri
- Alas dan tikar bayi
- Sabun dan berus basuh baju (khidmat dobi di sana agak mahal)
- Sabun dan berus botol susu bayi
- Minyak bayi (untuk menghilangkan kekeringan kulit)
- Stroller yang ringan atau boleh lipat
- Kitty bag. Beg serbaguna untuk meletakkan apa-apa barang yang boleh buat bayi selesa.(finger food, mainan)
Langkah Melakukan Umrah Bersama Bayi
Terdapat beberapa langkah melakukan umrah bersama bayi yang perlu diambil kira supaya perjalanan umrah yang dilaksanakan tidak terganggu.
1. Niat umrah
Ibu bapa yang membawa anak perlu untuk memasang niat bagi pihak anaknya setelah selesai berniat untuk diri sendirinya di Miqat.
Lafaz niatnya begini:
“Aku niatkan Umrah bagi anakku Fulan Bin / Binti Fulan dan berihram dengannya kerana ALLAH Taala”
Ya Allah permudahkan lah umrah kami. Permudahkanlah ibadah kami dan disebabkan umrah maka kami mengambil keputusan untuk menggendong anak kami.
Maka bermulalah kita sebagai ibu bapa membantu si anak kecil yang belum memahami apa-apa untuk menjaga pantang larang ihram.
Jika melanggar pantang, dam atau denda akan ditanggung oleh ibu atau ayah.
2. Tawaf
Dalam umrah, tawaf merupakan rukun yang paling penting kerana perlu elak dari terbatal.
Antara syarat sah tawaf ialah:
- Berwuduk
- Tidak berhadas besar
- Bersih dari najis pada badan, pakaian dan tempat tawaf
- Menjaga posisi supaya tidak tersasar bahu kiri dari menghadap Kaabah
- Menjaga niat supaya tidak berubah.
Ibadah Umrah adalah ibadah yang penuh dengan cabaran, terutamanya jika anda membawa anak kecil bersama. Seperti yang kita lihat dari pengalaman Puan Fatehah, ia tidak mustahil.
Dengan persediaan yang rapi berdasarkan tips umrah bersama anak kecil yang dikongsikan, percayalah anda pasti boleh melaluinya.
Yang paling penting, komunikasi dan kerjasama antara suami dan isteri yang mantap. Jadi, banyak-banyakkanlah berbincang dan tolong menolong antara anda dan pasangan.
Bayi selesa dan anda berdua juga dapat menikmati pengalaman spiritual yang indah bersama-sama.
Facebook Puan Pur Fatehah, Dailyumrah, SMJ
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Elak Ditipu Beribu, Wanita Ini Kongsi Panduan Lengkap Pergi Haji Dengan Pakej VIP
Baca juga: 35 Barang Keperluan Bayi Baru Lahir, #5 Amat Penting & Wajib Ada!