Pertama kali anak memasuki sesi persekolahan boleh membuatkan ibu ayah rasa teruja dan dalam masa yang sama berdebar. Mana tidaknya begitu pantas waktu berlalu, kini si kecil anda bakal melangkah ke alam yang lebih dewasa.
Bagi murid tahun 1, mereka biasanya perlu mengikuti minggu orientasi di sekolah. Ketika inilah adanya sesi suai kenal bersama guru, aktiviti dengan rakan sekelas dan juga membiasakan diri ke tandas atau kantin.
Ibu ayah sporting sama-sama mula ‘persekolahan’
Setiap ibu ayah pastinya mencuba sehabis baik untuk mempersiapkan diri anak yang mula persekolahan tahun 1.
Perkongsian video di Kosmo Online memaparkan suasana pendaftaran tahun 1 di sebuah sekolah telah mendapat perhatian ramai.
Ini kerana terdapat pasangan ibu ayah yang sanggup mengambil inisiatif lain dari yang lain untuk memberikan semangat buat anaknya agar tidak janggal dengan sesi persekolahan baharu.
Video berkenaan memaparkan ibu ayah memakai seragam sekolah rendah yang lengkap bersama anaknya di tempat pendaftaran. Turut dilihat ayahnya, Mohd. Fadzil Abu Naim, 41, sedang membetulkan kepanjangan beg anak mereka.
Sesekali si ibu, Nurul Aini Mohd Alwi, 41, turut mengusap lembut bahu anak mereka, Muhammad Ishraq Aydan.
Ujar pasangan ini, ia merupakan cara mereka memberikan sokongan kepada anak yang masuk ke sesi persekolahan darjah 1.
@kosmoonline Ibu sama sama-sama berpakaian sekolah beri semangat untuk anak-anak melangkah ke darjah 1. Mohd. Fadzil Abu Naim, 41 dan Nurul Aini Mohd olwi, 41 menghantar anaknya, Muhammad ishraq aydan. 7 ke orientasi sekolah hari ini. ♬ School Bus – Official Sound Studio
Netizen beri pujian pada pasangan ibu ayah
Mendapat ribuan jumlah tontonan, ramai netizen terhibur namun dalam masa sama sebak dengan sokongan yang ditunjukkan oleh pasangan berkenaan.
Ada juga yang berseloroh sama ada ibunya menangis atau tidak saat menghantar anak ke sekolah.
Mungkin ini satu-satunya anak mereka, tunggu bertahun baru dapat.
Ada yang cakap membazir, jangan macam itu. Mungkin cara dia nak raih semangat anak. Mana tahu anaknya special kids yang perlukan usaha lebih untuk memujuk.
Respect dengan parents ini. Tidak semua orang boleh buat, mereka bagi semangat untuk anak dengan cara yang tersendiri. Semoga menjadi anak soleh penawar hati dan penyejuk mata ibu ayah ya!
Moment terindah yang akan dikenang oleh keluarga ini. Kami tengok pun tumpang gembira, semoga Allah merahmati keluarga ini.
Tidak kurang dengan itu, ada yang meneka bahawa kanak-kanak dalam video berkenaan adalah anak pertama.
Mesti anak sulung atau anak tunggal ni, apapun sporting mak ayah dia. Barulah semangat sikit anak nak ke sekolah.
Anak sulung bolehlah sanggup turun bersama dan pakai macam ini. Masuk anak nombor 3 atau 4, sudah tak larat nak layan. Baju sekolah mereka sahaja sudah banyak habis modal.
Tips hantar anak yang baru mula sesi persekolahan
Sesetengah anak akan menangis pada hari pertama persekolahan. Ia adalah sesuatu yang normal kerana mereka berasa asing dan mungkin situasinya tidak sama dengan sekolah sebelum ini.
Sebagai ibu ayah, berdepan keadaan sebegini boleh membuatkan anda berasa resah. Malah malu dengan guru di sekolah.
Justeru ada beberapa tips untuk anda yang mempunyai anak yang akan pertama kali ke sekolah.
#1. Anak rapat dengan siapa?
Siapakah yang paling rapat dengan si anak? Si Ibu atau si ayah?
Jika si anak lebih rapat dengan si ibu, maka, ketika menghantar anak ke sekolah, ibu dinasihatkan untuk tidak turut serta menghantarnya ke sekolah.
Ini kerana, si anak akan berasa berat hati dan lebih sedih kerana terpaksa berpisah.
#2. Elakkan pesanan ‘jangan nangis’
Sewaktu dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah, elakkan memberi nasihat kepadanya dengan menyebut perkataan “Jangan nangis.. jangan nangis”.
Sebenarnya fikiran mereka tidak akan merekodkan perkataan “jangan“, tetapi apa yang akan diingati adalah “nangis”.
Seeloknya gunakan perkataan yang lebih positif seperti, “Abang nampak hensem pakai baju sekolah! mesti cikgu suka dengan abang”.
#3. Segera beredar
Apabila sampai ke sekolah dan anak-anak sudah mula masuk ke barisan atau kelas, cepat-cepat beredar dan cuba hilangkan diri dari pandangan mata anak-anak tanpa perlu melambai atau mengucap “bye-bye”.
Apabila si ibu/ bapa melambai dan mengucap “bye-bye”, ianya akan menimbulkan perasaan “ditinggalkan” di dalam hati si anak dan boleh membuatkan mereka berasa sedih.
Si ibu atau ayah hanya perlu perhatikan anak-anak dari jauh buat seketika (tanpa dilihat anak) sebelum benar-benar meninggalkan anak di sekolah.
#4. Biarkan anak diurus oleh guru
Jika nampak si anak seperti mahu menangis, jangan pujuk, biarkan sahaja dan terus beredar. Pada kebiasaannya, jika si anak benar-benar menangis, mereka akan menangis sekitar 2-3 minit sahaja.
Paling lama pun mereka akan menangis adalah dalam 10 minit. Selepas itu mereka akan mula belajar menerima kenyataan.
Tambahan lagi, guru-guru lebih mudah untuk menangani anak-anak yang menangis tanpa kehadiran ibu bapa.
Kehadiran ibu-bapa yang melihat anak menangis hanya akan menyebabkan pihak guru menjadi sukar bagi mengawal keadaan tersebut.
#5. Elakkan terus memujuk
Si anak akan terus menangis jika ibu ayah cuba memujuk dan terus berada di sisinya. Dalam hal ini, anda perlu belajar dan terima kenyataan untuk “melepaskan”.
Berikan peluang pada anak untuk belajar berdikari dan menempuh situasi yang mungkin sedikit sukar dalam hidup mereka.
#6. Hantar dan ambil anak
Apabila tamat waktu persekolahan, pastikan ibu ayah sampai awal dan menunggu anak di pintu pagar sekolah.
Seeloknya, anda endiri yang datang gambil anak pulang di sekolah pada tempoh awal persekolahan ini dan bukannya pakcik atau pemandu bas sekolah.
#7. Minta anak kongsi apa yang dilakukan di sekolah
Sewaktu dalam perjalanan pulang, tanya anak apa yang mereka belajar dan lakukan hari ini. Berbual dan bertanyalah sebanyak yang mungkin sewaktu masih lagi di dalam kereta.
Jangan tunggu hingga sampai di rumah baru hendak bertanya dan berbual dengan anak tentang pengalaman mereka di sekolah.
Mood bercerita akan hilang apabila sudah sampai di rumah dan anak juga mungkin sudah tidak ingat apa yang telah berlaku di sekolah.
#8. Ingatkan anak perkara yang seronok
Sewaktu berbual tersebut, cuba tanya dan cari pengalaman-pengalaman yang menyeronokkan buat si anak.
Ingatkan mereka perkara-perkara yang seronok, kemudian katakan kepada anak “Bestkan sekolah? Esok abang/kakak pergi sekolah lagi ya.”
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Ayah Jika Mampu, Hantarlah Anak Sekolah Swasta, Biar Seimbang Akademik & Agama
Baca juga: Gara-Gara Tidur Siang, Ibu Layankan Saja Anak Bersiap Pergi Sekolah Tengah Malam
Baca juga: Ibu Kongsi 12 Idea Bekal Anak Sekolah Darjah Satu Yang Menarik & Sedap, Jimat Duit Belanja Harian