Semakin dekat dengan tarikh jangkaan bersalin, debaran semakin terasa terutama bagi ibu yang bakal bersalin buat kali pertama. Walaupun setiap pengalaman berbeza, dengan melakukan persiapan bersalin lebih awal dapatlah bersedia lebih awal sebelum proses kelahiran.
Isi Kandungan
Peringkat Kelahiran Bayi Sebelum & Selepas Bersalin
Proses bersalin terbahagi kepada tiga peringkat utama:
- Peringkat awal bersalin
- Bersalin aktif
- Proses kelahiran bayi.
Peringkat Awal Bersalin
Bermula dengan kontraksi ringan dan tidak tetap, diikuti dengan serviks mula terbuka sedikit demi sedikit.
Proses ini boleh berlangsung selama beberapa jam atau hari. Ramai ibu akan kekal di rumah sehingga kontraksi menjadi lebih teratur.
Antara tanda-tanda awal bersalin adalah kontraksi yang konsisten, sakit belakang, atau kehilangan ‘mucus plug’.
Jika kontraksi datang setiap 5 minit, berlangsung selama 60 saat, dan sudah lebih sejam, itu tanda masa untuk ke hospital.
Bersalin Aktif
Bersalin aktif adalah peringkat di mana kontraksi menjadi lebih kuat dan lebih dekat selang masanya.
Pada masa ini, serviks akan terbuka hingga 10 sentimeter. Anda mungkin mula rasa tekanan fizikal dan emosi yang lebih kuat.
Di sinilah teknik pernafasan atau epidural boleh membantu. Kadang-kadang, jika bersalin jadi perlahan, doktor mungkin menawarkan intervensi seperti ubat untuk mempercepatkan kontraksi.
Kelahiran Bayi
Peringkat terakhir di mana proses menolak bermula dan bayi anda bakal dilahirkan. Anda akan mempunyai kekuatan untuk meneran setiap kali kontraksi berlaku.
Walaupun peringkat ini boleh jadi amat meletihkan dan emosi, sokongan dari pasukan perubatan dan orang tersayang sangat membantu.
Dalam sesetengah kes, doktor mungkin menggunakan forceps atau vacuum untuk membantu bayi keluar dengan selamat.
Komplikasi Semasa Bersalin dan Bantuan Perubatan
Proses bersalin kadangkala boleh jadi tak seperti yang dirancang. Mengetahui sedikit sebanyak tentang komplikasi dan intervensi perubatan membantu ibu lebih bersedia dari segi mental dan fizikal.
Beberapa komplikasi biasa termasuklah:
- Proses bersalin yang lama: Jika proses bersalin lebih lama dari jangkaan, mungkin disebabkan oleh kontraksi yang tidak efektif atau posisi bayi. Ini boleh menyebabkan keletihan dan memerlukan sokongan perubatan tambahan.
- Fetal distress: Ini berlaku apabila bayi menunjukkan tanda-tanda stres seperti kadar denyutan jantung yang tidak normal. Ia memerlukan tindakan segera untuk memastikan bayi dalam keadaan selamat.
- Keperluan untuk C-section: Dalam sesetengah kes, pembedahan caesarean diperlukan jika bayi berada dalam posisi tidak normal, proses bersalin tidak berjalan lancar atau ada tanda-tanda bayi dalam bahaya.
Intervensi yang biasa termasuk:
- Induksi bersalin: Jika bersalin tidak bermula secara semula jadi, doktor mungkin akan menggunakan kaedah induksi seperti ubat-ubatan atau memecahkan air ketuban untuk mempercepatkan proses.
- Epidural analgesia: Ini adalah kaedah pengurusan kesakitan di mana separuh badan akan dibius, membolehkan anda kekal sedar tetapi tidak merasai kesakitan semasa bersalin.
- Penggunaan forceps atau vacuum: Alat ini membantu memudahkan bayi keluar dengan selamat jika diperlukan.
Persiapan Bersalin Yang Bakal Ibu Boleh Lakukan
Bersedia untuk bersalin tak semestinya tentang mental sahaja, tubuh juga perlu bersedia ketika berhadapan dengan situasi ini.
Antara persiapan bersalin yang boleh dilakukan oleh bakal ibu untuk mempermudahkan proses bersalin ialah:
1. Amalkan Senaman Ringan
Aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, senaman kehamilan atau yoga pranatal bukan sahaja membantu menjaga kesihatan fizikal tetapi juga memperbaiki pernafasan dan kelenturan yang amat penting semasa bersalin.
2. Latihan Pernafasan
Teknik pernafasan yang betul membantu mengurangkan ketidakselesaan semasa kontraksi dan memberi tenaga semasa proses bersalin.
Cuba praktiskan terlebih dahulu pernafasan dalam dan berirama yang boleh membantu anda kekal tenang semasa kontraksi.
3. Amalkan Yoga Prenatal
Peregangan lembut boleh bantu tingkatkan fleksibiliti dan melancarkan peredaran darah, manakala yoga pranatal menggabungkan pergerakan badan dengan pernafasan dan meditasi untuk bantu minda dan badan bersedia.
Persediaan Mental Untuk Bersalin
Persediaan mental sama penting dengan persediaan fizikal. Ramai ibu hamil rasa risau atau takut, tapi emosi ini boleh diatasi jika diurus dengan betul.
1. Jangan Malu Luah Perasaan
Bincang secara terbuka dengan pasangan, doktor atau kawan yang anda percayai tentang apa yang merisaukan anda.
Berkongsi kebimbangan boleh membuatkan rasa takut itu kurang menguasai diri.
2. Ikuti Kelas Persediaan Bersalin
Kelas ini memberikan pengetahuan asas tentang proses bersalin, teknik pengurusan kesakitan dan cara menghadapi komplikasi yang dapat membantu ibu rasa lebih yakin dan tenang.
3. Jaga Kesihatan Emosi
Amalkan teknik seperti meditasi atau menulis jurnal untuk uruskan stres dan kekal tenang. Ini boleh bantu anda rasa lebih bersedia menjelang tarikh jangkaan bersalin.
4. Cari Sokongan
Luangkan masa bersama orang-orang yang positif dan menyokong anda. Berbual dengan ibu hamil lain, menyertai kumpulan sokongan atau melakukan aktiviti membantu mengurangkan rasa bimbang.
Apa yang Akan Terjadi Selepas Bersalin
Proses Pemulihan Badan
- Badan akan mula pulih selepas bersalin.
- Anda mungkin mengalami pendarahan, kontraksi rahim, dan ketidakselesaan terutamanya selepas bersalin secara normal.
- Pihak hospital akan memantau keadaan untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik.
Ikatan dengan Bayi
- Masa terbaik untuk menjalin ikatan emosi dengan bayi.
- Sentuhan kulit ke lulit membantu menenangkan bayi dan memperkuatkan hubungan ibu-anak.
- Waktu sesuai untuk memulakan penyusuan kerana refleks bayi biasanya kuat selepas dilahirkan.
Emosi Selepas Bersalin
- Anda mungkin merasa teruja tetapi dalam masa yang sama sedikit cemas mengendalikan bayi. Jangan risau kerana ia adalah perasaan yang normal selepas bersalin.
- Beri diri ruang untuk menerima perubahan emosi dan dapatkan sokongan jika perlu.
Dengan mengetahui sedikit sebanyak tentang persiapan bersalin dapat membantu ibu lebih tenang dan lebih bersedia dari segi mental dan fizikal dan mental untuk apa jua kemungkinan yang berada di luar jangkaan.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Baca juga: 21 Tanda Nak Bersalin, Jika Ibu Alaminya Jangan Berlengah Ke Hospital Dengan Segera Ya!
Baca juga: 5 Tips Bersalin Tanpa Koyak Yang Ibu Hamil Perlu Tahu!
Baca juga: Penjagaan Bayi Baru Lahir Yang Betul, Panduan Lengkap A To Z Buat Ibu Ayah Baru Kali Pertama