Setiap anak memiliki ragam dan karenah yang berbeza. Meskipun gaya didikan adalah sama, namun segelintir ibu ayah pastinya perlu berdepan dengan ujian tertentu dalam proses membesarkan mereka. Justeru kami kongsikan beberapa petua mendidik anak mengikut orang dulu-dulu.
Sebenarnya ramai yang mengimpikan anak mudah dengar kata dan patuh terhadap arahan yang diberikan. Tentu sahaja anda berasa sangat senang apabila si manja memiliki sikap sebegini.
Petua mendidik anak kecil mengikut orang dulu-dulu agar mudah dengar kata
Mungkin ada ibu ayah tidak tahu mengenai petua mendidik anak yang dikongsikan oleh Maryam Salleh ini.
Nak kongsi petua yang mak saya ajarkan. Mak cakap dari orang tua dulu-dulu katanya.
Mak saya pesan kalau nak bagi anak dengar kata dan tidak melawan orang tua, masa sendukkan nasi, jangan bagi anak makan kepala nasi. Yang mula-mula senduk tu letakkan ia ke tepi. Jangan terus masuk ke pinggan.
Kepala nasi tu kalau bagi anak makan boleh buat hati anak jadi keras atau degil.
Sendukkan kali kedua barulah letak ke pinggan anak atau suami ya.
Saya amalkan petua mak saya setiap hari. Alhamdulillah setakat ini anak-anak dengar kata, tak membuas dan rajin solat.
Mungkin ini hanyalah petua, nak amalkan atau tidak terpulanglah.
Dalam Islam, sifat anak-anak ini juga terbentuk daripada makanan yang mereka makan dan sumber makanan tersebut mestilah halal.
Saya sekadar berkongsi. Maaf jika anda yang tidak setuju. Tapi saya hormat sahaja petua orang-orang lama yang dah lama makan garam dari kita kan?
Petua mendidik anak supaya dengar cakap mengikut perkongsian Ustaz
Bila berdepan dengan anak kecil yang degil dan susah dengar kata boleh menguji tahap kesabaran ibu ayah. Walau bagaimanapun bukan anda sahaja mengalaminya, ibu ayah yang lain juga berdepan dengan ujian sama.
Menurut perkongsian oleh seorang penceramah bebas, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek, ada beberapa cara mendidik anak menjadi seorang yang soleh dan solehah pada zaman moden ini.
Antaranya ialah:
#1. Beri teguran yang sama berulang kali
Sekiranya anak kecil ada melakukan kesalahan, ibu ayah hendaklah menyampaikan mesej kepadanya bahawa anda tidak suka dengan sikap tersebut. Lakukan dengan teguran tegas.
Beritahu anak secara berulang kali ‘tak suka’, ‘tak suka’. Contohnya, ”Jangan tendang kucing, Allah tak suka. Allah tak suka. Manusia pun tak suka. Sakit kucing tu.”
Teguran menggunakan pendekatan perasaan agar mudah mereka faham.
#2. Elakkan pemakanan yang tidak sihat
Elak memberikan anak minum air kopi, gula-gula atau gula-gula getah sehingga mereka besar. Gula-gula getah dikatakan mempunyai radikal gula yang boleh memberi kesan negatif terhadap sikap anak.
Manakala gula-gula yang dikemam akan merangsang deria otak serta membentuk personaliti sensitif melibatkan sikap pendiam, pendendam, memberontak dan pemarah.
Kopi pula mengandungi kafein, tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan anak sukar tidur malam.
#3. Amalkan doa anak mendengar kata
Doa seorang ibu adalah yang sangat mujarab. Jangan lupa untuk amalkannya setiap hari untuk kebahagiaan rumah tangga serta mendapat anak soleh dan solehah.
Antara ayat al-quran yang boleh anda amalkan ialah Surah al-furqan ayat 74 bermaksud, ”Ya Allah kurniakan kepada kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata hati dan didiklah kami menjadi pemimpin kepada orang mukmin.”
#4. Jangan menghukum terlalu awal
Ada ketikanya anak kecil melakukan kesilapan yang mungkin di luar jangkaan anda. Sekiranya ini terjadi, pastikan hukuman tidak mendatangkan cedera atau melukakannya.
Adab dalam memberi hukuman ialah pukul atau rotan pada tapak tangan secara perlahan dan mesti dalam keadaan serius untuk menunjukkan ketegasan anda terhadap kesalahan yang dilakukan.
Katakan kepadanya, ”Mama tidak marah, sebab adik dah buat salah dan adik kena terima hukuman.”
Pastikan anda tidak menghukum si manja tanpa usul periksa bagi mengelakkan rasa tidak puas hati anak-anak sehingga boleh menjejaskan hubungan kasih sayang.
Kredit foto: blog calbeth
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Ayah Yang Panas Baran, Selalu ‘Naik Tangan’ Membentuk Anak Pemarah & Degil