Antara kebahagiaan dalam membesarkan anak adalah apabila ibu ayah melihat si manja makan dengan penuh selera. Sebaik sahaja memasuki usia 6 bulan, anak kecil anda kini sudah bersedia menikmati makanan pejal. Justeru ketahui ada beberapa petua tambah selera makan anak dan mengelakkan menjadi picky eater.
Seorang bapa yang penyayang dan angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar sering berkongsikan video serta gelagat comel anak-anaknya di rumah. Bukan itu sahaja beliau turut memuat naik tips keibubapaan yang boleh menjadi panduan buat para pengikutnya.
Petua tambah selera makan anak dan elakkan si manja menjadi picky eater
Antara posting di Instagramnya yang terbaharu, Dr Sheikh berkongsi video pasangan anak kembarnya, Eusoff dan Emelia menikmati waktu makan mereka.
Beliau mengatakan bahawa kedua-dua anaknya itu suka makan. Setakat ini juga mereka tidak memilih makan (picky eater).
Bukan itu sahaja Dr Sheikh turut berkongsi beberapa tips untuk mengelakkan bayi menjadi picky eater. Semoga ia menjadi panduan buat semua ibu dalam memperkenalkan makanan pejal kepada bayi.
”Si kembar ni suka makan. Mereka bukan seorang yang memilih makan atau picky eater. Setakat ini.. haha.”
Caranya adalah:
#1. Untuk memperkenalkan pelbagai makanan dari usia bayi 6 bulan
Ikuti menu yang sama selama 3 hari dan kemudian ubah. Biarkan si manja terbiasa dengan rasa. Sebagai contoh, rasa brokoli, lobak dan sebagainya.
#2. Beri makan mereka ketika benar-benar lapar
Tahan susu 3 jam sebelum beri makanan. Mereka tidak akan makan sekiranya perut sudah kenyang.
#3. Tidak menggunakan gula atau garam
Pastikan anda tidak menambah perisa tambahan ke dalam makanan bayi. Jika si manja menyukai rasa manis, kemungkinan dia akan menolak makanan yang lain.
Ramai anak yang masih kecil menolak susu setelah diberikan susu coklat atau minuman manis.
#4. Pastikan ia semula jadi
Sama ada brokoli, wortel atau ubi keledek, biarkan ia mengikut cita rasa asalnya. Elakkan buat bayi anda keliru dengan selera mereka.
#5. Ikut rutin makan yang sama
Jika bayi diberi makanan pada waktu yang sama setiap hari, mereka akan tahu dan teruja untuk menikmatinya.
#6. Jadikan waktu makan yang menyeronokkan
Menghidangkan makanan kepada bayi hendaklah menyenangkan. Anda boleh membiarkan bayi bermain dengan finger food atau makanan yang boleh mereka pegang walaupun sedikit berkecah.
#7. Jumlah yang betul
Pastikan makanan yang disediakan kepada bayi tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit. Kuantiti yang sedikit adakalanya boleh membuatkan si manja anda berasa kecewa atau marah.
#8. Beri galakan kepada bayi
Ketika suap dan beri makanan, ibu ayah boleh katakan betapa enaknya makanan tersebut. Tepuk tangan dan cium mereka setelah habis makan. Cara ini dapat mendorong bayi menghabiskan makanan setiap kali waktu makan.
#9. Rasa dahulu
Sebelum hidangkan makanan untuk anak, pastikan ibu merasainya terlebih dahulu. Cara ini buat anda lebih tahu apa jenis makanan yang disukai oleh si manja.
#10. Jangan cepat berputus asa
Hanya kerana bayi tidak menyukai satu jenis makanan, ia tidak bermakna mereka tidak suka makan. Cuba lagi pada kemudian harinya dengan pendekatan yang berbeza.
Bayi seharusnya diperkenalkan dengan makanan seimbang yang mengandungi karbohidrat, protein dan sayuran. Jangan lupa berikan air kosong kepada mereka di antara makanan. Sebaiknya mulakan teknik di atas dari usia 6 bulan lagi.
Kesalahan ibu ayah yang menyebabkan anak menjadi cerewet makan atau picky eater
- Terlalu memaksa anak
Disebabkan oleh terlalu mengharapkan si manja habiskan makanan, ramai ibu sanggup memaksa anak makan sehingga waktu makan menjadi momen yang penuh drama dan air mata.
- Mengikut kemahuan anak
Sesetengah ibu ayah yang cepat berputus asa akan memberikan apa sahaja yang diinginkan oleh anak. Misalnya si manja enggan makan sayur, anda hanya turuti sahaja atau membuangnya dari mangkuk kecil tanpa mencuba untuk menyuapkan makanan tersebut sekali lagi.
- Jumlah makanan yang terlalu banyak
Makan dengan banyak tidak semestinya sihat. Yang paling penting adalah memastikan si manja memperoleh makanan cukup dan berkhasiat. Justeru fokuslah pada kandungan makanan yang disajikan, bukan pada kuantiti makanan yang perlu dihabiskan oleh si manja.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Anak Makan Ikut Mood Bukannya Picky Eater, Ibu Wajib Tahu Bezakan Perkara Ini!