Pengambilan pil perancang bagi menjarakkan kehamilan memang biasa di kalangan wanita, tetapi tidak dinafikan masih ramai yang takut untuk mengambil kerana risaukan kesan sampingan seperti sukar untuk hamil kembali.
Adakah benar apabila anda mengambil pil ini dalam jangka waktu lama peluang untuk anda kembali hamil adalah tipis? atau anda sukar untuk mengandung kembali? Mungkin ini dilema dihadapi ramai wanita.
Tidak. Pengambilan pil perancang tidak memberi kesan kepada kesuburan anda. Malah ada kajian mendapati wanita yang mengambilnya dalam jangka waktu panjang mengandung lebih cepat daripada mereka yang tidak menggunakannya.
Pil perancang dan kesan kepada anda
Pil perancang atau dikenali juga sebagai pil kontraseptif oral berfungsi untuk mencegah kehamilan. Ia berfungsi menghalang ovulasi. Dengan cara ini, tiada ovum yang boleh disenyawakan sperma dan kehamilan dapat dicegah.
Pil ini juga menyebabkan lendiran atau mukus pada serviks menebal. Mukus yang tebal menyebabkan sperma sukar melepasi untuk menyebabkan persenyawaan.
Selain mencegah kehamilan, pil itu juga memberi banyak manfaat kesihatan lain yang mungkin ramai tidak tahu kerana hanya memfokuskan kepada satu-satunya fungsi iaitu mencegah kehamilan.
Pil perancang ada manfaat lain?
Sebaik sahaja anda telah berhenti mengambil pil, ia mungkin mengambil sedikit masa untuk hormon semula jadi badan anda berfungsi semula secara normal.
Ia boleh mengambil masa beberapa bulan untuk kitaran haid anda kembali ke asal. Kesannya sama. tidak kira sama ada anda mengambil pil secara kitaran untuk mengekalkan haid bulanan atau secara berterusan.
Kebanyakan wanita yang telah mengambil pil perancang, hamil dalam masa setahun selepas berhenti mengambil pil. Malah, jika anda telah mengambil pil, peluang anda untuk hamil adalah lebih kurang sama, atau mungkin lebih baik daripada purata.
Hamil lebih cepat?
Ada kajian mendapati bahawa wanita yang mengambil pil dalam jangka masa panjang mengandung lebih cepat daripada mereka yang tidak menggunakan pil ini.
Ia mungkin berpunca daripada perlindungan yang diberikannya terhadap beberapa penyakit dan komplikasi yang membawa kemandulan seperti endometriosis, penyakit keradangan pelvis, kehamilan ektopik (luar rahim) dan kanser ovari serta kanser rahim.
Dijangkakan bahawa mengambil pil boleh membantu mengurangkan sebarang keradangan di dalam uterus (rahim) dan tiub fallopion. Keradangan boleh disebabkan oleh endometriosis atau penyakit keradangan pelvis.
Pil Perancang Untuk Ibu Menyusu: Pil Mana Yang Selamat Dan Tak Menjejaskan Susu Badan?
Menurut Ask Dr Sears, dan Prof Madya Dr. Harlina Siraj, ibu menyusu selamat untuk mengambil pil perancang, namun ia bergantung kepada jenisnya.
Pil yang mengandungi estrogen dan progestin tidak digalakkan untuk ibu menyusu kerana estrogen akan menjejaskan penghasilan susu badan.
Ia kerana estrogen bersifat songsang daripada hormon prolaktin yang menghasilkan susu. Jika hormon estrogen tinggi dalam badan, maka penghasilan susu badan pun akan terganggu.
Akan tetapi, pil progestin (lebih dikenali sebagai pil mini) selamat untuk digunakan. Buat masa kini, masih belum ada kajian yang membuktikan pil progestin mampu mempengaruhi penghasilan susu.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: babycenter, hellodoktor
3 Cara Betul Untuk Makan Pil Perancang Menurut Pakar – Tiada Kesan Sampingan!