Posisi tidur bayi amat penting. Bukan saja membuatkan mereka tidur lena tetapi lebih penting mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti lemas ketika tidur dan sebagainya.
Posisi tidur bayi yang betul dan selamat wajib diketahui oleh ibu bapa kerana perkara ini penting bagi mengelakkan Sindrom Kematian Bayi Secara Mengejut ataupun Sudden Infant Death Syndrome (SIDS).
Baca juga: Gaya Tidur Bayi Anda – Apa Yang Selamat Dan Apa Yang Tidak?
Posisi tidur bayi yang betul penting elak kematian
Peratusan SIDS dapat dikurangkan secara signifikan jika bayi tidur secara terlentang. Latih bayi anda untuk tidur secara terlentang sama ada semasa tidur siang mahu pun tidur malam.
Jadikan tidur terlentang sebagai tabiat mereka bagi mengelakkan SIDS yang menyebabkan kematian ramai bayi di seluruh dunia.
Ada yang risau, dan gusar sekiranya bentuk kepada bayi menjadi leper, rata dan sebagainya jika mereka tidur terlalu lama dalam posisi terlentang.
Tetapi tahukah anda, apabila mereka mula menginjak usia setahun, kepala bayi ini akan kembali kepada bentuk normal.
Tidur terlentang sebabkan kepala bayi leper?
Menurut tasneemnatural.com, berikut adalah antara tips yang boleh diamalkan untuk mengurangkan keadaan kepala bayi leper atau rata.
- Kerapkan tummy time apabila anak berjaga
- Baringkan juga bayi secara mengiring semasa mereka berjaga
- Kurangkan masa di dalam stroller atau car seat semasa mereka berjaga
- Banyakkan ‘cuddle time’
Posisi tidur bayi yang salah dan harus dielakkan
Menurut portal myhealth, American Academy of Paediatrics mencadangkan posisi tidur yang sihat bagi bayi adalah tidur terlentang dan bukan meniarap atau mengiring.
Kejadian kematian bayi secara mengejut telah berkurangan ke 50 peratus semenjak posisi tidur ini dicadangkan pada tahun 1992. Posisi ini dikecualikan pada bayi yang cacat di bahagian kepala atau mempunyai lidah besar yang akan menyekat penafasan.
Ada beberapa posisi tidur bayi yang harus anda elakkan kerana ia membahayakan nyawa bayi anda. Berikut adalah antara posisi tidur bayi yang harus dielakkan:
#1. Tidur meniarap
Tahukah anda bayi yang tidur meniarap akan mengalami tekanan di bahagian rahangnya dan boleh mengakibatkan laluan udara menjadi sempit dan menyukarkan mereka untuk bernafas?
Bukan itu sahaja, oksigen di otak akan lebih menjadi rendah. Mereka mungkin kelihatan lena tetapi ada banyak perkara yang berlaku pada masa yang sama.
Bayi yang tidur meniarap di atas tilam yang lembut berkemungkinan akan lemas kerana ketidakupayaan mereka untuk mengangkat dan mengalihkan kepala mereka sendiri. Dan yang lebih menakutkan, mereka juga berkemungkinan menghirup udara yang mempunyai kuman (microbes) dari tilam mereka.
Jadi, elakkan bayi untuk tidur secara meniarap ya, melainkan di atas sebab-sebab medikal!
#2. Tidur mengiring
Tidur mengiring dibenarkan sekali sekala jika ibu bapa berjaga. Tidur mengiring tidak digalakkan untuk bayi kerana berkemungkinan besar mereka akan tergolek dan tidur secara tertiarap.
Jadi jika mereka tidur mengiring semasa ibu bapa berjaga, ibu bapa boleh alihkan semula bayi mereka ke keadaan tidur terlentang.
Tips ekstra untuk bayi tidur dengan selamat
- Jangan guna cadar yang terlalu lembut dan longgar, takut ia menutup kepala bayi
- Jangan letak terlalu banyak benda dalam katil bayi. Biar ringkas!
- Jangan tutup kepala bayi dengan selimut atau kain
- Jangan pakaikan pakaian yang tebal, takut mereka terlalu panas
- Guna baby monitor
- Kongsi bilik yang sama dengan si manja. Tapi, jangan kongsi katil! Biar mereka di dalam katil sendiri
- Sapukan minyak aromaterapi yang selamat untuk bayi yang mana ia dikatakan membantu bayi untuk tidur lebih lena dan selesa
Cara membantu bayi tidur
Anda boleh menidurkan bayi anda dengan mengenalpasti masa yang sesuai untuk tidur dan menyediakan tempat tidur yang selesa dan selamat.
- Hindarkan rangsangan yang berlebihan ketika menyusukan bayi di waktu malam dan ketika menukar lampin
- Gelapkan bilik dan pastikan bilik adalah selesa dan senyap
- Pakar menasihatkan agar bayi dipangku sebelum tidur dan dialihkan ke katil sebelum bayi tidur. Dengan cara ini bayi akan belajar tidur dengan sendiri
- Memainkan muzik yang berirama perlahan bila tiba waktu tidur, bantuan muzik boleh membentuk jadual tidur berkala
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: myhealth, tasneemnatural.com
Baca juga: 5 Cara Bayi Tidur Yang Melambangkan Personaliti Mereka, Parents Wajib Tahu!