Puting Kosong Untuk Bayi? Ini Perkara Penting Ibu Ayah Harus Tahu!

Adakah anda sedang tertanya-tanya tentang amalan beri puting kosong pada baby? Ini antara beberapa perkara yang anda wajib tahu.

Amalan memberi puting bayi kosong adalah perkara yang sering diperlihatkan pada ketika ini. Bila nampak bayi yang sedang baring, diam, dan hanya memandang di sekeliling, di dalam mulut mereka pasti ada puting kosong yang disumbatkan.

Pendek kata, sesetengah ibu bapa memberikan puting kepada bayi untuk mengelakkan mereka daripada meragam. Persoalannya ketika ini adalah, adakah anda salah seorang ibu bapa yang sedang mempertimbangkan untuk beri puting bayi pada si manja anda? Jika ya, mungkin anda perlu baca beberapa perkara ini dulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Puting bayi atau puting kosong tersedia dalam pelbagai saiz dan bentuk. Semua puting di Malaysia mematuhi piawaian pengguna di mana ia dihasilkan daripada bahan-bahan bukan toksik. Ini penting demi keselamatan bayi.

Oleh itu, mari kita mulakan perbincangan dengan mengupas tentang kebaikan memberi puting bayi ini pada si manja anda.

Penggunaan puting kosong kepada bayi

Puting kosong adalah alat penenang yang diperkenalkan oleh Joaquin Martinez bagi menangani masalah kebanyakan ibu yang tidak dapat tidur kerana bayi meragam. Alat ini selamat untuk dihisap oleh bayi kerana ia dibuat dari silikon atau getah standard.

Kebiasaannya, ibu akan memberi puting apabila bayi mereka berusia dua atau tiga bulan. Perbuatan ini salah, lebih-lebih lagi jika anda memberi susu badan! Ia kerana bayi akan mengalami masalah keliru puting.

Keliru puting terjadi apabila bayi yang baru lahir, diberi susu badan malah diperkenalkan dengan puting botol atau puting kosong secara serentak. Selalunya, hal ini terjadi kerana ibu kurang susu, ingin berhenti menyusu atau mengepam susu badan ke dalam botol.

Maka bayi akan lebih suka puting botol atau puting kosong daripada menghisap susu badan. Anda tahu betapa penting susu badan untuk perkembangan bayi anda, bukan?

Jadi, untuk mengelak si manja anda mengalami keliru puting, para ibu perlu mengurangkan penggunaan puting kosong/puting botol ketika bayi masih menyusu badan. Hentikan penggunaannya bila bayi semakin membesar (dalam 6 bulan hingga setahun).

4 kebaikan beri puting kosong pada bayi

Kredit: Flickr

#1. Ia memenuhi keperluan bayi untuk “menghisap”

Amalan menghisap adalah refleks normal bagi bayi. Semua bayi baru lahir akan ada keperluan untuk menghisap. Namun, keperluan ini berbeza-beza. Ada bayi yang akan cenderung rasa ingin menghisap apabila mereka bosan, kepenatan atau ingin dipujuk dan ditenangkan.

Puting bayi atau puting kosong adalah jawapan terbaik untuk memenuhi keperluan bayi anda yang ingin menghisap.

#2. Kurang risiko bayi terlebih minum susu botol

Untuk bayi yang diberi susu dari botol, tindakan menghisap sering disalah anggap sebagai tanda-tanda anak kelaparan. Sebenarnya, anda mungkin telah terlebih memberi anak minum susu.

Jadi, dengan memberi puting baby, si manja anda akan menghisap walaupun selepas dia telah kekenyangan. Tak payahlah anda risau anak tercekik kerana terlebih minum susu botol!

#3. Bantu bayi cepat tidur

Kredit: Flickr

Jika anda memberi puting kosong pada bayi, mereka akan menikmati rasa selesa dengan menghisap. Dari situ, mereka akan mudah untuk tertidur. Tapi mengapa? Ini kerana situasi menghisap puting memberi rangsangan yang menyenangkan buat mereka.

Jadi, mereka tidak akan terganggu dengan segala gangguan dari dunia luar, lalu mereka boleh tidur dengan enak.

#4. Mudah untuk dikawal

Pemberian puting kosong pada bayi lebih mudah untuk dikawal berbanding amalan menghisap jari.  Anda boleh buang puting itu pada bila-bila masa, jika anda rasa anak patut berhenti menghisapnya. Tapi, tidak menghisap jari!

Menghisap jari akan menjadi satu tabiat yang sukar untuk diberhentikan kerana jari sentiasa ada di situ untuk anak anda.

4 Keburukan puting kosong pada bayi

Kredit: Flickr

#1. Pertumbuhan kanak-kanak terhalang

Amalan menghisap akan memerlukan tenaga. Penggunaan tenaga yang berlebihan hanya untuk menghisap puting akan menyebabkan bayi yang lemah naik atau turun berat badan. Malah, mereka juga mungkin akan enggan makan.

#2. Risiko jangkitan telinga

Puting mampu menyebabkan jangkitan telinga kerana ia mampu mengubah tekanan di dalam ruangan tengah telinga.

#3. Anak lambat bercakap

Anak anda mungkin akan sukar untuk belajar bercakap jika dia asyik menghisap puting. Ini kerana puting boleh memberi kesan ketagihan pada mereka. Penggunaan puting selepas berusia 1 tahun akan menjejaskan keupayaan anak anda untuk bercakap.

#4. Masalah gigi

Penggunaan puting yang terlalu lama boleh menyebabkan masalah pergigian seperti gigi jongang dan terkeluar. Malah, ia juga boleh mengubah struktur dalam mulut! Puting yang sengaja dicelup dengan sirap, madu dan glukosa juga telah menyebabkan pelbagai kerosakan gigi pada kanak-kanak.

Benda anda wajib ikut jika guna puting kosong pada bayi

Ini antara 7 benda yang anda wajib ikut jika anda menggunakan puting kosong pada si manja:

  1. Sterilkan puting dalam air mendidih selama 5 minit
  2. Pastikan anda ada puting kosong lebih. Ini jika puting anak anda hilang atau terjatuh di lantai
  3. Basuh puting kosong dengan air panas yang bersabun, walaupun hanya jatuh sekejap di lantai. Puting itu terbuka pada bakteria!
  4. Berhenti biar anak hisap puting sebelum mereka berusia 5 tahun
  5. Jangan paksa bayi anda menghisap puting. Jika dia tak mahu, cuba cara memujuk yang lain
  6. Pilih puting mengikut umur si manja
  7. Jangan ikat puting pada benda lain kerana anak anda mungkin berisiko tercekik!

Tips sekiranya bayi tidak mahu lepaskan puting kosong

Ini masalah yang sering terjadi bila bayi anda sudah biasa menghisap puting kosong. Mereka tidak mahu melepaskan puting itu!

Jika anda sudah cuba pelbagai cara untuk memisahkan puting daripada anak, mari cuba idea-idea baru ini pula. Mana tahu ada yang berkesan.

  1. Kurangkan masa anak anda boleh guna puting
  2. Hadkan penggunaan puting pada masa tertentu saja. Bertegas!
  3. Beri ganjaran jika mereka melepaskan puting. Tapi jangan beri gula-gula! Cuba buat aktiviti menark ke…
  4. Tunjukkan model kanak-kanak lain yang tidak guna puting lagi. Mereka akan rasa lebih tua.
  5. Yakinkan mereka untuk melepaskan puting.

Mungkin ramai ibu bapa di luar sana yang masih ragu-ragu untuk menggunakan puting kosong pada bayi. Tapi, ada juga ibu bapa yang terpaksa menggunakannya demi kebaikan anak mereka.

Anda dalam golongan yang mana? Anda ada sebarang tips tentang penggunaan puting kosong lain? Sila kongsikan ia dengan pembaca lain.

Artikel diterjemah daripada theAsianparent Singapore

Baca juga:

Cara-Cara Menghentikan Anak Anda Menghisap Puting

 

Penulis

Ayu Idris