Tidak kira sudah berapa kali anda melahirkan anak, pasti akan ada debaran dan rasa sensasi yang berbeza. Kebanyakan ibu hamil mengakui berasa risau apabila memikirkan rasa sakit bakal dihadapi di saat-saat kelahiran.
Hal ini kerana setiap anak memberikan pengalaman baharu kepada anda, mungkin anak sulung memerlukan masa yang lama untuk bukaan serviks dan apabila giliran anak kedua pula, amat mudah bersalin tanpa berdepan sakit melampau.
Cara mudah mengurangkan rasa sakit saat melahirkan bayi
Secara umumnya, proses kelahiran dikira bermulanya daripada kontraksi pertama dirasai ataupun ketika air ketuban sudah mula pecah. Tempoh melahirkan anak pertama dikatakan memerlukan masa lebih panjang berbanding yang seterusnya. Namun ia bergantung kepada nasib ibu sendiri kerana realitinya setiap orang adalah berbeza.
Walau bagaimanapun, terdapat tips semula jadi yang boleh ibu lakukan bagi mengurangkan rasa sakit ketika bersalin iaitu:
#1. Teknik pernafasan
Ini antara cara terbaik bagi menghadapi setiap kontraksi. Ibu perlu tarik nafas dalam pada permulaan kontraksi dan bertenang semasa menghembuskan nafas.
Kemudian, tarik semula nafas melalui hidung dan hembuskan nafas melalui mulut dengan lembut. Anda hendaklah memastikan mempunyai ritma yang baik dan lakukannya berkali-kali.
#2. Menukar kedudukan badan
Ibu dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada berehat atas katil apabila rasa sakit kontraksi semakin kerap, melainkan anda berasa terlalu letih. Dalam hal ini, anda digalakkan untuk berdiri dalam posisi yang selesa. Berdiri dan bersandarlah pada katil atau suami anda.
Selain itu, berlutut dengan satu kaki diangkat dapat menyediakan lebih ruang dalam pelvis anda serta memudahkan bayi dilahirkan. Anda juga boleh cuba merangkak bagi melegakan sakit belakang, duduk sebentar di kerusi dan bangun berjalan seketika.
#3. Mendapatkan sedikit kehangatan
Sediakan bag kain dan diisikan dengan sekam gandum. Kemudian panaskan untuk beberapa minit dalam ketuhar gelombang mikro. Lekapkan di bahagian tubuh belakang bagi membantu melegakan rasa sakit bersalin.
Kebiasaannya, beg gandum ini dapat kekal panas untuk satu jam atau lebih. Cara lain yang boleh anda lakukan ialah menggunakan botol berisi air panas (bukan mendidih) dan balut menggunakan sehelai tuala dan letakkannya di bahagian belakang.
#4. Urutan
Minta suami atau sesiapa menemani anda ketika bersalin untuk mengurut bahagian tubuh yang anda inginkan. Biasanya, ibu akan berasa kurang selesa pada bahagian bawah belakang dan bahu semasa kontraksi. Minta mereka mengurut secara perlahan bagi membuatkan anda berasa lebih relaks.
Kesannya, sentuhan tangan daripada orang yang disayangi ini dapat merangsang tubuh melepaskan hormon endorfin dan sekaligus membantu anda berasa lebih selesa untuk bersalin.
#5. Menyimpan tenaga
Ketika di awal kontraksi, cara terbaik yang boleh anda lakukan ialah bersiap sedia merasai kesakitan dan menyimpan tenaga ketika proses melahirkan bayi kelak. Anda hendaklah memastikan diri berasa selesa di atas katil, letakkan beberapa keping bantal di sekeliling dan berehatlah.
Tenangkan diri terlebih dahulu dan elak terlalu memikirkan rasa kesakitan nanti. Anda boleh mengambil minuman panas dan makan sedikit bagi mengalas perut. Ramai mengatakan bahawa lebih mudah berdepan kontraksi bersalin sekiranya tubuh tidak penat kerana panik ke sana dan sini setelah pecahnya air ketuban.
Selain itu, anda digalakkan untuk kerap membuang air kecil kerana pundi kencing yang penuh boleh menghalang penurunan kepala bayi dan ia sekaligus melambatkan proses kelahiran.
Kesimpulannya, setiap ibu yang melalui rasa sakit bersalin dihapuskan dosa-dosa lalu, Sebaik sahaja anda mula rasa hendak bersalin, tercatatlah pahala jihad. Ibu bersalin juga diberikan ganjaran pahala sama seperti 70 tahun menunaikan solat serta puasa.
Setiap wanita sememangnya akan melalui pengalaman berbeza meskipun sudah bersalin lebih dari sekali. Walau apapun pengalaman yang bakal anda lalui, sentiasalah untuk berfikiran positif dan yakin bahawa semua kesakitan akan berakhir tidak lama kemudian.
Sumber: BabyCenter
Kredit foto: Google Images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.combagaimana-rasa-kontraksi