Setiap suami isteri yang baru atau sudah lama berkahwin, tentu sahaja anda mengharapkan kehadiran cahaya mata. Namun jika belum direzekikan lagi, ada hikmah perkahwinan tanpa zuriat yang telah ditetapkan bersama pasangan.
Boleh jadi juga Allah tahu masanya belum sesuai, atau untuk memberi peluang pada anda dan pasangan ‘berbulan madu’ dengan lebih lama.
Isi Kandungan
Hikmah perkahwinan tanpa zuriat
Tidak semua pasangan bernasib baik dalam mengharungi perjalanan sepanjang menjadi suami isteri. Ada yang perlu berdepan pelbagai ujian Allah hingga kadang-kadang hampir putus asa.
Bagi yang lambat dianugerahkan anak, anda mungkin terpaksa menahan pelbagai soalan ‘panas’ dari orang sekeliling seperti: ‘merancang ke?’ ‘eh, belum mengandung lagi. Yang dah kahwin haritu sudah pregnant kot!’ ‘Tak cuba ke pergi ke check kesuburan?’
Kata-kata sebegini adalah biasa diterima oleh kaum isteri berbanding suami. Bukan mudah untuk sabar ujian Allah, kadang-kadang hati juga boleh terguris apabila orang sekeliling mempersoalkan kerja Tuhan.
Zuriat adalah rezeki dari Allah
Meskipun agak berat menerima ujian Allah ini, anda dan pasangan terpaksa kuatkan semangat bagi menghadapinya.
Sebagai manusia biasa, kita hendaklah berusaha dan sentiasa bersangka baik akan ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk.
Dalam bab zuriat pula, kena percaya pada rezeki Allah. Walaupun sudah ikhtiar hamil dengan pelbagai cara hingga berhabisan wang ringgit, jika bukan tiba masanya lagi. Maka bukanlah.
Manakala bagi pasangan yang dikurniakan anak dengan mudah juga tidak ketinggalan daripada merasai pelbagai ujian Allah dalam menjaga amanah yang diberikan.
Mereka perlu bersedia dengan segala dugaan dalam membesarkannya menjadi insan berjaya dunia akhirat.
Hikmah tiada zuriat, mungkin anda belum mampu berdepan cabaran menjadi ibu ayah
Untuk anda yang masih belum ada anak, mungkin inilah yang terbaik pada waktu ini.
Mungkin sahaja anda belum mampu diuji dengan cabaran ada anak. Membesarkan anak-anak memerlukan kesabaran yang tinggi, perhatian dan kasih sayang sebaiknya.
Ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk dan berbeza-beza setiap orang. Ia adalah berdasarkan tahap iman dan amalnya kerana Allah ingin melihat sejauh mana hati dapat menahan sabar dalam mengharungi sesuatu ujian yang datang.
Justeru untuk ibu ayah sudah memiliki zuriat, usahlah memandang rendah terhadap pasangan yang masih belum lagi dikurniakan zuriat. Usah mencederakan perasaan mereka dengan mempersoalkan rezeki Allah, sindiran atau gurauan yang tidak sepatutnya.
Sebaliknya berdoalah agar mereka segera dipermudahkan urusan untuk merasai rezeki Allah dan menimang cahaya mata. Cepat atau lambat dengan izinNya, tiada yang mustahil.
Sentiasa bersangka baik, allah uji sebab allah sayang
Ramai yang tidak menyedari bahawa setiap fasa mendidik dan membesarkan anak-anak perlu melalui pelbagai rintangan.
Ibu ayah hendaklah sentiasa positif dan sentiasa ingatkan diri bahawa Allah uji sebab Allah sayang.
Hanya Dia sahaja yang mengetahui perkara terbaik buat hambaNya.
”Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (QS. Al Baqarah: 216)
Jadi, tetaplah untuk tenangkan hati. Ingat nilai akhirat adalah jauh lebih besar dari nilai dunia.
Ada anak atau tiada anak adalah ketentuan Allah. Mengapa mahu mempertikaikan ketentuan jika kita beriman pada Qada dan Qadar.
Sabar ujian Allah, ada pasangan diuji dengan anak yang tidak sempurna
Kelahiran seseorang zuriat dianggap sebagai satu anugerah yang tidak terhingga daripada Yang Maha Esa. Ini kerana setiap kehadirannya sudah dijanjikan rezeki Allah dalam pelbagai bentuk seperti firmanNya:
”Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut akan kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah dosa besar.” (Surah al-Isra’ ayat 31)
Bukan itu sahaja, kehadiran anak juga boleh menjadi ujian buat seluruh ibu bapa termasuklah memiliki anak istimewa.
Mereka perlu dibesarkan dengan didikan agama yang sempurna. Ini kerana persekitaran luar mampu mempengaruhi pemikiran anak-anak sama ada baik atau buruk. Firman Allah S.W.T:
”Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal ayat 28).
Kesimpulannya, setiap hamba di dunia ini tidak akan terlepas dari sebarang ujian. Apalah sangat ujian tidak dikurniakan zuriat berbanding mereka yang diuji dalam membesarkan anak.
Justeru tidak payah susah hati fikir pasal anak sebab rezeki Allah dalam pelbagai bentuk.
Ada anak belum tentu mereka besar nanti boleh menjaga kita. Kalau Allah sudah bagi suami yang baik dan sempurna, itu pun sudah patut bersyukur sangat!
Hikmah perkahwinan suami isteri bahagia bila mereka percaya pada rezeki Allah
Ramai yang menganggap kehadiran anak adalah penentu sebuah kebahagiaan. Kehidupan suami isteri di akhir zaman ini segalanya boleh berubah dengan mudah.
Ada orang yang bertahun-tahun menanti cahaya mata, apabila diberikan rezeki anak, namun kemudiannya bercerai jua meskipun sudah begitu lama mempertahankan hubungan.
Justeru percaya pada rezeki Allah. Mungkin pada waktu ini bukan untuk memiliki anak, namun hikmah perkahwinan tanpa zuriat ini diganti dengan kesihatan yang baik, pekerjaan yang bagus atau mentua yang penyayang.
Apakah maksud mandul?
Mandul adalah ketidakmampuan untuk hamil walaupun aktif melakukan hubungan seksual selama 12 bulan. Masalah mandul ini tidak hanya terjadi pada wanita, tetapi juga kaum lelaki.
Terdapat dua jenis masalah mandul yang berlaku iaitu:
- Gangguan kesuburan primer, iaitu wanita yang tidak pernah mengandung walaupun berhubungan seksual tanpa alat kontrasepsi selama 12 bulan
- Gangguan kesuburan sekunder, iaitu wanita yang sebelum ini pernah mengandung setidaknya satu kali, kemudian sudah tidak hamil untuk seterusnya
Namun tidak semua orang yang mengalami mandul akan tidak dapat memiliki anak buat selamanya. Hal ini kerana ada sesetengah kes dapat diatasi dengan bantuan teknologi perubatan. Ini sekaligus meningkatkan peluang kehamilan.
Doa untuk mendapatkan zuriat
Selain ikhtiar perubatan, dalam Islam memberikan panduan dan doa untuk mendapatkan zuriat yang boleh anda amalkan bersama pasangan.
#1. Doa Nabi Zakaria AS
هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهٗ ۚ قَالَ رَبِّ هَبْ لِيْ مِنْ لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۚ اِنَّكَ سَمِيْعُ الدُّعَاۤءِ
“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepada Ku dari sisi Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya, Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan.” – (Surah Ali-Imran, ayat 38)
#2. Doa Nabi Ibrahim AS
رَبِّ اجْعَلْنِيْ مُقِيْمَ الصَّلٰوةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِيْۖ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاۤءِ
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenanlah doa permohonanku.” – (Surah Ibrahim, ayat 40)
#3. Doa Nabi Ibrahim AS
رَبِّ هَبْ لِيْ مِنَ الصّٰلِحِيْنَ
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!” – (Surah Saaffat, ayat 100)
#4. Surah Al-Furqan, ayat 74
وَالَّذِيْنَ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا
“Wahai Tuhan kami, berilah Kami dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyenangkan hati melihatnya, dan jadikanlah Kami pemimpin ikutan bagi orang-orang yang bertakwa.” – (Surah Al-Furqan, ayat 74)
#5. Surah Maryam
Surah Maryam yang mengandungi 98 ayat dan merupakan surah ke sembilan belas dalam turutan surah Al-Quran.
Sebagai amalan harian dalam ikhtiar zuriat, anda boleh membaca Surah Maryam ayat 1 hingga 12. Ia diyakini mampu untuk membantu pasangan memperoleh zuriat dengan segera.
Petua mendapatkan zuriat mengikut perkongsian Ustaz Hanafiah
Pendakwah bebas, Ustaz Hanafiah telah berkongsikan beberapa petua mendapatkan zuriat dengan amalan susu kambing dan kurma.
Petua ini dikongsikan oleh salah seorang sahabatnya iaitu seorang ulama di Yaman.
Menurutnya hikmah perkahwinan dan berkat kesabaran, seorang wanita berusia 52 tahun telah melahirkan anak walaupun mereka suami isteri ini kedua-duanya mandul. Berikut adalah bahan yang diperlukan untuk menjadi amalan pasangan suami isteri:
- 1 liter susu kambing
- 1 kg kurma jenis liat dan kering
Caranya:
- Suami mengambil segenggam kurma
- Isteri juga mengambil segenggam kurma
- Buang bijinya dan kisar di dalam pengisar bersama 1 liter susu kambing
- Bahagi dua bahagian susu kurma kepada suami dan isteri
- Minum dan habiskan dalam masa sehari
- Selesai hari pertama, pasangan suami isteri boleh mengamalkan 7 biji kurma dan segelas susu kambing pada hari-hari berikutnya selama setahun.
## Selain itu, boleh juga membaca Surah Maryam ayat 1-12 dan jadikan sebagai amalan harian.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bila Isteri Kuat Membebel Di Rumah, Suami Kena Tenang Bukannya Sama Naik Beremosi!
Baca juga: Nak Anak Bukan Kena Tahu ‘Buat’ Sahaja, Tapi Kena Amalkan Juga Zikir Ikhtiar Hamil