Sebaik saja anda melahirkan anak ke-2, pastinya anda mula sedar yang anda tak dapat lagi memberikan perhatian lebih kepada anak sulung. Malah, anda mungkin lebih kerap rindu anak sulung kerana kini, anda perlukan berikan perhatian yang lebih kepada bayi yang baru lahir.
Saya juga mempunyai perasaan yang sama, dan akan sedaya upaya memeluk anak pertama apabila adiknya tidak dalam pelukan saya. Hihi.
Rindu Anak Sulung, Walaupun Masih Tinggal Serumah!
Walaupun anak sulung sudah semakin membesar, pastinya dia merupakan yang pertama yang menghuni rahim si ibu, dan yang pertama membuatkan kita belajar tentang keibubapaan.
Apabila dia mendapat adik, perasaan rindu ingin bermain dan melayan kerenahnya hadir terutamanya apabila ibu sibuk menguruskan hal lain, setiap masa terluang pasti akan diselitkan juga untuknya.
Apakah antara perkara yang membuatkan ibu rindu pada anak pertama?
5 Perkara Yang Membuatkan Ibu Rindu Anak Sulung
1. Ibu Termarah Anak Sulung
Emosi ibu pastinya sudah tidak stabil semasa mengandungkan si adik, jadi ada masa tertentu anak sulung terkena tempias emosi ibu.
Selepas anak lahir pula, adakalanya si sulung berbuat bising sehingga mengejutkan adik yang sedang tidur dan ini membuatkan ibu yang kepenatan marah pada anak sulung.
Pasti ibu menyesal dengan tindakan tersebut, walaupun sudah beberapa kali mengingatkan diri jangan marah si sulung kerana dia tidak bersalah. Tambahan lagi apabila dia juga hanya seorang kanak-kanak yang masih belum mengerti yang ibu kepenatan atau pening kepala menguruskan rumah.
Dalam hal ini, apa kata ibu cuba tenangkan diri dan sentiasa beringat yang si sulung juga masih kecil dan memerlukan perhatian si ibu.
2. Kurang Masa Bersama
Dulu anak sulung peneman ibu ke mana-mana, malah bila tengok gambar dalam telefon mesti banyak gambar anda berdua. Aduh, rasa rindu pula tengok senyuman dia bila dipeluk ibu!
Tapi sekarang ibu agak sibuk perlu menguruskan lebih banyak perkara, dan perlu meminta pertolongan si ayah pula untuk memandikan anak, padahal dulu ibu yang selalu memandikan dia.
Hendak layankan anak bermain Lego pun terpaksa ditangguhkan, atau main ala kadar sahaja sebab adik menangis minta dibelai.
Bila adik tidur, ibu cuba luangkan masa untuk bermain bersama-sama si sulung dan terangkan kepadanya yang adiknya memerlukan perhatian yang lebih buat masa sekarang.
3. Bila Anak Perlukan Ibu, Ibu Asyik Kata ‘Sekejap’
Bila si ibu sibuk dengan menguruskan adik, pasti akan sering meminta anak sulung tunggu sebentar jika dia memerlukan ibu. Malah, kadang kala belum sempat anak meminta apa-apa ibu sudah minta dia tunggu sebentar. Aduh ibu…
Rasa bersalah sangat bila terpaksa buat macam tu, tapi selepas selesai urusan pastikan ibu datang kepada anak sulung dan tunaikan permintaan anak sulung pula.
Memang sukar untuk membahagikan masa pada mulanya, tetapi lama kelamaan pasti ibu dapat membiasakan diri dan akan dapat melayan anak-anak dengan sama rata!
4. Anak Sulung Kerap Bersama Ayah
Anak tidak sabar tunggu ayah balik kerja kerana ayah pasti dapat melayan dia main bersama. Ini satu perkara yang saya sedang alami sekarang, dan ia memang membuatkan saya rindu anak sulung saya!
Ada sesetengah perkara yang dulunya si ibu uruskan, kini menjadi tanggungjawab ayah pula. Memanglah menguruskan anak itu tanggungjawab bersama, tetapi pasti si ibu rindu masa dahulu bila anak meminta ibu yang buatkan.
Bila tengok si ayah dan anak bergelak ketawa, dan luangkan masa tanpa ibu, rasa cemburu pula. Mujurlah bila tiba waktu tidur, si sulung selalunya masih perlukan pelukan si ibu kan?
5. Bila Kita Sedar Dia Semakin Besar
Bila tengok gambar anak tahun lepas, baru kita sedar yang anak sudah besar, tiada lagi muka chubby baby tu. Mana pergi anak ibu yang selalu menari depan TV, yang suka duduk di riba ibu…?
Dalam tidak sedar, anak sulung ibu dah boleh buat macam-macam perkara dengan sendiri, makan pun sudah tidak perlu disuap, pandai pakai baju sendiri dan rancangan kegemaran pun bukan lagi rancangan ABC.
Memang bagus si anak boleh berdikari, si ibu hanya merasakan yang dia terlepas banyak perkara pula bila melihatkan si sulung membesar dengan cepat.
Ini antara saat-saat dan kenangan si ibu dan anak sulung semasa dia belum ada adik. Sebab inilah orang kata, anak sulung selalunya lebih istimewa di mata ibu ayah, yang membuatkan ibu ayah belajar banyak tentang erti kasih sayang.
Apa kata anda dakap anak sulung anda dengan lebih kerap, biarkan dia tahu yang walaupun ibu ayah anda 5 anak sekalipun, dia tetap akan menjadi yang pertama!
Tak sabar dengan kelahiran anak ke-5 saya!
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus ke Facebook page kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Siraplimau
Baca juga:
https://my.theasianparent.comadakah-anak-sulung-anda-menjaga-adiknya-hentikan-sekarang-kata-kajian-ini/
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!