Ada ibu-ibu yang meriah susu badannya. Ada yang hingga berlebih-lebih malah bila difrozenkan pun masih tidak dapat dihabiskan hinggalah melepasi tarikh luput. Jadi ada yang cadangkan buat mandi anak atau sabun.
Memang biasa kita dengar, susu dijadikan salah satu kandungan dalam sabun. Tetapi bila berkait susu ibu, ia agak sensitif. Adakah boleh permata berharga ini dibuat sabun atau mandian?
Mahu buang sayang, mahu buat siram pokok rasa pelik pula, akhirnya dibuat sabun dan dibuat mandi. Bila difikir balik setelah dibuat mandi akan terbuang juga. Betulkan?
Sabun daripada susu ibu, ini pendapat mufti
Ada banyak pendapat mengenai perkara ini. Sudah pastilah mereka yang beragama Islam inginkan kepastian mengenai perkara ini. Jadi topik kali ini kami kongsikan mengenainya.
Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah, perbincangan dan perbahasan mengenai susu ibu atau susu badan banyak berkisar mengenai hukum penyusuan iaitu apabila ia diminum ataupun sekiranya ia dijual beli.
Hukum asal menggunakan susu (yang suci) sebagai salah satu bahan dalam sabun adalah harus seperti susu kambing atau lembu. Perkara ini adalah bertepatan dengan kaedah :
الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم
Maksudnya : “Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya”
Akan tetapi menjadikan susu badan sebagai salah satu bahan di dalam pembuatan sabun, kami (Pejabat Mufti Wilayah) cenderung untuk mengatakan bahawa perkara tersebut adalah dilarang dan tidak dibenarkan.
Hal ini kerana kedudukan manusia itu tinggi di sisi Allah SWT berbanding makhluk yang lain, jadi semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci (sabun).
Ibarat merendah-rendahkan kemuliaan manusia
Perkara ini bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu serta merendah-rendahkan kemuliaan seorang manusia.
Lebih-lebih lagi, sabun adalah termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak).
Sudah memadai apa yang telah Allah SWT sediakan buat manusia mengambil manfaat daripadanya seperti haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
Begitu juga, larangan ini adalah selaras dengan peraturan ditetapkan di dalam Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia yang menyatakan bahawa semua bahan-bahan yang tersenarai di dalam Annex II tidak boleh digunakan bagi menghasilkan produk kosmetik. (Lihat Guidelines for Control of Cosmetic Product in Malaysia, Bhg. Cosmetic Ingredients, halaman 10).
Antara bahan-bahan terlarang yang telah disenaraikan di dalam Jadual Annexe II Part I ialah sel, tisu atau sebarang bahan yang berasal daripada manusia. Oleh itu, susu ibu adalah termasuk di dalam larangan tersebut dan sabun adalah merupakan salah satu daripada produk kosmetik.
Dilarang dijadikan sabun atau kandungan dalam kosmetik
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan kepada beberapa perkara iaitu:
- Cenderung kepada pendapat yang melarang susu badan atau susu ibu dijadikan sebagai sabun. Ini kerana kedudukan manusia itu sendiri yang mulia dan tinggi di sisi Allah SWT.Justeru, semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci (sabun).
- Larangan ini juga adalah selaras sebagaimana keputusan mesyuarat panel pakar syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke-86 yang tidak membenarkan penggunaan susu ibu sebagai bahan kosmetik termasuk dalam penyediaan sabun.
- Ini juga adalah sebagai langkah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada merendah-rendahkan kedudukan manusia itu sendiri serta penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia
Kredit photo: halodoc, cariinfonet
Baca juga: Cara Penyimpanan Susu Ibu Dengan Betul Agar Kekal Lama & Bersih Untuk Bayi
Baca juga: 12 Susu Untuk Ibu Hamil Yang Terbaik, Bagus Untuk Minum Setiap Hari
Baca juga: Salah Menyimpan Susu Badan Boleh Jadi Berbahaya Untuk Bayi, Jauhi 9 Kesalahan Ini!