Kanak-kanak sering mengadu sakit perut. Ia adalah salah satu sebab paling biasa di mana ibu bapa membawa anak mereka berjumpa doktor. Di dalam artikel ini kami akan rungkaikan punca dan cara hilangkan sakit perut di kalangan kanak-kanak.
Isi Kandungan
Sakit Perut Di Kalangan Kanak-kanak
Sakit perut boleh jadi sukar untuk didiagnos. Doktor biasanya akan bertanyakan beberapa soalan dan kemudian melakukan pemeriksaan ke atas anak anda. Sesetengah masalah boleh jadi agak ketara, jadi tiada sebarang ujian yang perlu dilakukan.
Kebanyakkan kanak-kanak dengan sakit perut kian sembuh dalam masa beberapa jam atau hari tanpa sebarang rawatan khas dan selalunya tidak diketahui puncanya. Kadang kala puncanya menjadi lebih jelas bergantung pada masa dan rawatan boleh dimulakan. Jika rasa sakit atau masalah itu berlanjutan, ibu ayah perlu segera bawa anak berjumpa dengan doktor.
Hampir, 30% kanak-kanak di bawah umur 15 pernah berjumpa dengan doktor akibat sakit perut. Masalahnya, untuk kes kanak-kanak, sebarang jangkitan seperti jangkitan telinga ke apendisitis boleh menyebabkan sakit perut.
Malangnya, ia juga digunakan sebagai alasan yang paling senang untuk escape ke bilik sakit di sekolah! Jadi, bagaimana ingin membezakan sakit perut mana yang biasa dan mana yang serius? Mari kita baca lebih lanjut.
Punca Sakit Perut
1. Gas/ Perut kembung
Gas atau senak perut adalah masalah perut paling biasa di dalam kalangan kanak-kanak tidak kira peringkat usia. Diet biasanya memainkan peranan penting.
Minuman berkarbonat boleh menjadi punca perut kembung, terutama sekali jika kanak-kanak tersebut meminum menerusi straw. Makanan pedas, kekacang, sitrus, dan kafein (termasuk coklat) boleh menyebabkan gas.
Tanda-tanda: Jika anda ketuk bahagian kiri pusat perut dan bunyinya lompong, ini menunjukkan ada angin/gas dalam perut.
2. Sembelit
Kanak-kanak kecil mungkin tidak tahu apa itu sembelit atau ia boleh membawa kepada sakit perut. Jika anak anda mengadu akan sakit perut di sekitar pusatnya atau pada bahagian sisi kiri abdomen, tanya kepada mereka bila kali terakhir mereka membuang air besar, atau jika mereka mempunyai masalah untuk melakukannya.
3. Terlebih makan
Makan terlalu banyak boleh jadi punca perut kembung. Kanaka-kanak biasanya makan laju dan tidak perasan yang mereka sudah penuh sehingga mereka terlebih makan. Tambahan lagi makan dengan laju boleh membawa kepada ketidakselesaan perut.
4. Ketidaktoleransi laktosa
Laktosa merupakan sejenis gula yang boleh dijumpa di dalam susu dan produk tenusu. Dalam proses untuk laktosa dihadam dengan betul, tubuh kita menghasilkan sejenis enzim dipanggil laktase.
Individu yang tidak mempunyai enzim ini mempunyai satu kondisi yang dipanggil ketidaktoleransi laktosa. Apabila mereka mengambil produk tenusu, mereka mungkin boleh mendapat simptom seperti sakit perut, gas, cirit birit atau sembelit.
5. Alahan susu
Alahan pada susu adalah satu tindak balas terhadap protein di dalam susu yang boleh menjadi punca kepada cramp perut. Ia tidak sama seperti ketidaktoleransi laktosa.
6. Stress
Apabila kanak-kanak merasa stress atau bimbang, mereka boleh mengalami sakit perut. Sakit perut yang hadir tanpa sebarang sebab boleh jadi disebabkan stress, terutama sekali jika sakit itu kembali berulang.
Jika perkara ini berlaku, tanya kepada anak dengan baik jika mereka berasa bimbang tentang sesuatu dan jika mereka mahu bercakap tentangnya. Ia boleh jadi masalah di sekolah atau dengan rakan.
7. Virus perut
Jangkitan viral atau bakteria boleh memberi kesan kepada perut dan mungkin boleh tersebar di kalangan murid di sekolah atau di kawasan awam.
Sakit perut biasanya adalah simptom pertama, selalunya diikuti dengan muntah dan cirit birit dalam masa 24 jam. Mana-mana jenis jangkitan bakteria, parasit, protozoal, atau virus boleh menyebabkan sakit perut.
Tanda-tanda: Perubahan pergerakan usus, terutamanya cirit-birit.
8. Apendiks
Jika anak anda mengadu sakit perut yang teruk, sakit perut tanpa henti pada bahagian sisi kiri perut dan malah dengan pergerakan yang ringan juga terasa sakit, ia mungkin disebabkan apendiks.
Apendiks adalah paling biasa berlaku di dalam kalangan kanak-kanak yang lebih tua dan remaja, ia jarang berlaku kepada kanak-kanak di bawah usia 5 tahun.
Tanda-tanda: Rasa sengal pada sebelah kanan di bahagian abdomen, tapi rasa sakit itu mungkin pada kawasan yang lebih luas juga. Kanak-kanak akan hilang selera dan nampak lesu. Dia juga mungkin demam dan muntah muntah.
Cara Hilangkan Sakit Perut Dengan Bawa Anak Jumpa Doktor
Jika anda ingin membawa anak yang sakit perut ke hospital, sila semak tanda-tanda ini dulu:
Di bawah umur 6 bulan
- Demam
- Cirit-birit yang kerap, najis berair yang mungkin mengandungi lendir atau darah
- Bayi yang buat perangai kerana tidak selesa
Untuk semua peringkat usia
- Pengurangan berat badan
- Najis hitam atau berdarah
- Sakitan abdomen hingga tidak dapat tidur pada waktu malam
- Rasa sakit lebih dari 24 jam
- Muntah berterusan selama 4 – 6 jam atau lebih lama
- Muntah bendalir hijau dan berwarna gelap
- Dehidrasi
Cara Hilangkan Sakit Perut Dengan Cara Buang Angin Dalam Perut Kanak-kanak
Gas dan angin perut biasanya disebabkan oleh sesuatu yang anak anda makan atau minum, termasuklah beberapa produk semula jadi lain dan ubat-ubatan. Gas dan angin perut selalunya tidak merbahaya dan beransur pulih tanpa sebarang rawatan. Tetapi menukar diet makan anak anda boleh membantu menyelesaikan masalah ini.
Sesetengah ubat sakit perut di kaunter farmasi boleh membantu mencegah gas perut dan melegakan senak perut:
1. Simpan diari makanan jika anda rasa sejenis makanan memberikan anak anda masalah perut kembung. Tulis apa yang anak anda makan atau minum. Juga rekod bila anak anda mengalaminya. Jika anda perasan yang sejenis makanan itu seakan menyebabkan masalah gas perut setiap kali, elakkannya dan pantau jika masalah gas itu beransur pulih. Contoh makanan yang bergas termasuklah:
- Makanan berlemak dan bergoreng
- Kekacang
- Sayuran seperti asparagus, brokoli, pucuk brussel, kobis atau kobis bunga, timun, cili belanda hijau, bawang, kacang, lobak putih, dan kentang.
- Buah seperti aprikot, pisang, melon, pic, pear, prun, dan epal.
- Gandum dan bran gandum,
2. Rendam kacang kering di dalam air semalaman, dan kemudian buang air tersebut dan masak kacang yang telah direndam itu di dalam air baharu. Ini boleh membantu mencegah gas perut dan senak perut.
3. Jika anak anda mempunyai masalah dengan laktosa, elak produk tenusu seperti susu dan keju.
4. Bantu anak anda untuk tidak menelan udara. Pastikan anak anda tidak minum menerusi straw, menelan makanan tanpa kunyah, atau mengunyah gula getah.
5. Berikan anak anda ubat sakit perut dari kaunter farmasi. Tetapi pastikan anda bawa anak berjumpa doktor terlebih dahulu jika anak anda di bawah usia 12 tahun. Baca dan patuhi setiap panduan pada label.
- Enzim makanan seperti Beano boleh ditambah ke dalam makanan yang mengandungi gas untuk mencegah gas perut.
- Simethiocone boleh melegakan perut kembung dengan membuatkan anak anda sendawa. Hati-hati apabila anda memberikan anak anda ubatan antacid yang boleh didapati di kaunter farmasi. Banyak ubatan ini mempunyai aspirin di dalamnya. Jangan berikan aspirin kepada sesiapa sahaja yang berusia di bawah 20 tahun. Ia dikatakan telah dikaitkan dengan sindrom Reye, sejenis penyakit serius.
- Tablet aktif arang boleh membantu mengurangkan bau daripada gas yang anak anda lepaskan.
- Jika anak anda mempunyai masalah dengan laktosa, anda boleh berikannya ubatan seperti Lactaid dengan produk tenusu untuk mencegah gas perut dan kembung perut.
- Pastikan anak anda aktif bersukan.
Perkara Yang Harus Dielak Jika Anak Sakit Perut
Ada beberapa perkara yang harus anda elak apabila anak sakit perut.
- Jangan beri makanan goreng/berminyak walaupun ia adalah makanan kegemaran anak
- Jangan beri ubat sakit tanpa kebenaran doktor
- Jangan guna sebarang ubat herba pada perut. Ini boleh menyebabkan reaksi yang tidak diingini
- Jangan beri sebarang ubat ramuan buatan sendiri untuk melegakan kesakitan
- Jangan abaikan tanda-tanda sakit perut serta gejala-gejala yang dinyatakan di atas
Anak akan kerap kali jumpa doktor untuk sakit perut. Oleh itu, ibu bapa perlu tahu beberapa punca biasa kanak-kanak sakit perut.
Pantau keadaan anak anda dan jika anda tidak pasti, bawa anak jumpa doktor dengan segera.
Sumber: WebMD, NHS , Today’s Parent dan Scripps
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: 7 Jenis Sakit Perut Yang Sering Dialami Oleh Orang Dewasa, #5 Paling Kena Waspada!
Baca juga: Sakit Bawah Perut Ketika Hamil Normal Atau Tidak? Ini Cara Para Wanita Boleh Atasinya
Baca juga: Nyaring Tangisan Bayi Bila Sakit Perut, Ibu Ayah Harus Peka Dengan Simptom & Cara Merawatnya