Mengapa Selalu Sakit Tumit Ketika Hamil? Ini Cara Mudah untuk Merawat di Rumah!

Wanita didapati lebih senang untuk mengalami sakit tumit berbanding lelaki, lebih-lebih lagi kalau wanita itu sedang hamil. Apa petua jika sakit tumit?

Seorang wanita akan mengalami banyak perubahan semasa hamil; ada yang baik dan ada yang akan rasa sakit atau kurang selesa. Salah satu perubahan yang kurang disegani adalah sakit tumit kaki semasa hamil atau dikenali sebagai: Plantar Fasciitis

Wanita lebih senang mengalami sakit tumit berbanding lelaki, lebih-lebih lagi kalau wanita itu sedang hamil. Rasa sakit tumit ini disebabkan gelung tisu penghubung dari tumit ke jari kaki bengkak ataupun radang.

Jika tumit anda rasa sakit yang menusuk apabila naik tangga atau selepas berdiri untuk tempoh masa yang lama, anda mungkin mengalami Plantar Fasciitis.

Punca sakit tumit (Plantar Fasciitis) semasa hamil

a) Ligamen yang lebih kendur dan lembut akibat hormon relaxin

Sumber gambar: footcarefacts.com

Apabila anda hamil, plasenta, lapisan uterus dan membran yang mengelilingi janin akan mengeluarkan hormon relaxin. Tahap hormon relaxin paling tinggi semasa 3 bulan pertama untuk membantu menanam telur ke dalam dinding rahim dan meningkatkan pertumbuhan plasenta.

Sepanjang kehamilan, relaxin juga akan membantu mengawal perubahan sistem kardiovaskular, sistem ginjal dan fungsi arteri dalam tubuh anda.

Walau bagaimanapun, apabila sampai trimester ke-3, hormon relaxin juga akan mengendur dan melembutkan ligamen bahagian punggung dalam persediaan untuk bersalin.

Tapi masalahnya, ligamen lain dalam badan juga akan terpengaruh, contohnya ligamen di lutut dan kaki sehingga boleh menjejaskan kestabilan anda.

Ini juga bermakna anda berisiko untuk terjatuh, otot lengkung kaki akan menjadi lebih lemah dan menjadikan Plantar Fascia lebih mudah terdedah kepada kecederaan.

b) Berat badan yang bertambah

Setelah hamil, berat badan anda akan bertambah berat setiap bulan dan anda mungkin akan rasa kekok dengan badan sendiri. Penambahan berat badan penting untuk ibu dan perkembangan bayi, tapi ini juga sebab utama mengapa ibu hamil selalu sakit tumit kaki.

Kajian mendapati lebih ramai ibu hamil akan menyandar ke depan semasa berjalan dan berdiri, berbanding wanita dengan berat yang berlebihan.

Gabungan tekanan tambahan pada tapak kaki  bersama dengan ligamen yang kendur, ini akan menyebabkan Fascia Plantar untuk bengkak dan koyak.

c) Kaki datar

Lengkuk kaki akan menjadi semakin rata apabila berat badan ibu hamil bertambah, dan kadang-kala ini boleh mengubah cara ibu itu berjalan.

Masalah kaki datar adalah perkara yang biasa, tetapi apabila Fascia Plantar menjadi bengkak dan radang, ibu hamil mungkin akan rasa sakit tumit semasa berjalan.

Tanda-tanda sakit tumit (Plantar Fasciitis)

  • Rasa sakit yang menusuk atau rasa kaku pada bahagian di bawah tumit. Kadang-kadang rasa sakit di bahagian tengah kaki.
  • Rasa sakit apabila ambil langkah pertama selepas tidur, duduk atau memandu untuk masa yang lama. Rasa sakit ini biasanya akan reda selepas berjalan selama beberapa minit.
  • Rasa sakit apabila mengenakan tekanan ke bahagian tertentu pada kaki dan tidak rasa sakit apabila ditekan di bahagian lain.
  • Rasa sakit yang teruk selepas melakukan senaman yang berat, berdiri, berjalan atau aktiviti lain.

Cara untuk merawat rasa sakit tumit

a) Rawatan di rumah

Hampir 90% orang yang mengalami sakit tumit akan pulih dalam masa 10 bulan dengan hanya melakukan rawatan di rumah. Antara petua yang patut dicuba adalah: 

  • Banyak berehat dan elakkan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kesakitan itu bertambah teruk contohnya senaman berlari. Ketika berbaring, naikkan kaki anda sekurang-kurangnya 6 inci lebih tinggi dari paras jantung selama 15 minit untuk memperbaiki aliran darah.
  • Aiskan kaki anda setiap hari selama 20 minit, 3 hingga 4 kali dengan menggunakan pek ais, blok ais atau botol air sejuk. Dapatkan nasihat pakar wanita anda dahulu sebelum mencuba rawatan ini.
  • Lakukan senaman stretching yang senang untuk bahagian betis dan Plantar Fascia selama 3 – 5 kali sehari untuk memanjangkan tali tumit.
  • Beli kasut yang menawarkan sokongan lengkungan dan kusyen yang baik. 
  • Gunakan splin malam untuk menghalang Plantar Fascia dari memendek semasa anda tidur.

b) Rawatan tanpa pembedahan

  • Ubat penahan sakit dan ubat anti-inflamasi bukan-steroid seperti ibuprofen, paracetamol akan melegakan kesakitan dan mengurangkan bengkak. Jika anda mengalami sakit perut selepas makan ubat, jumpa doktor anda untuk mendapatkan preskripsi alternatif.
  • Suntikan steroid terutamanya kortison yang merupakan ubat anti-radang akan mengurangkan rasa sakit dan bengkak.
  • Rawatan gelombang extracorporeal juga boleh dilakukan untuk merangsang proses penyembuhan tisu-tisu yang rosak. ECWT tidak melibatkan insisi pembedahan dan sering dilakukan sebelum mempertimbangkan pembedahan.

c) Pembedahan

Hanya pilih pembedahan sebagai langkah terakhir jika anda telah mengalami sakit tumit berpanjangan (6 bulan atau lebih)

  • Pembedahan gastroknemius – untuk memanjangkan otot betis dan meningkatkan gerakan pergelangan kaki
  • Pembedahan Plantar Fascia – ligamen di potong untuk melegakan ketegangan.

Jangan lupa sakit tumit atau keadaan Plantar Fasciitis tidak akan hilang sendiri selepas ibu hamil bersalin. Jadi jaga kaki anda sekarang supaya boleh mengelak keadaan ini apabila bayi anda sampai.

Semoga bermanfaat.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 10 Kesakitan Ketika Hamil Yang Ramai Tak Tahu

Penulis

Rosanna Chio