Adakah bayi anda lebih rewel semasa penyusuan? Apabila mulut merah jambu kecil itu terbuka luas untuk memberi satu lagi jeritan, adakah anda perasan tompokan putih iaitu sariawan yang tidak ada semalam?
Tarik nafas dalam-dalam. Itulah tujuan bayi menangis untuk mengatakan keadaannya. Jangkitan ini disebabkan oleh sejenis yis yang dipanggil Candida albicans, dan lebih dikenali sebagai sariawan di lidah atau dalam mulut.
Isi Kandungan
Apakah itu sariawan?
Seriawan adalah jangkitan kulat mulut yang paling biasa pada bayi. Dan walaupun ia tidak serius, boleh membuatkan si manja rasa sangat tidak selesa.
Candida albicanis ialah kulat seperti ragi putih. Ragi Candida boleh hidup di mana-mana bahagian badan anda tanpa menyebabkan masalah, tetapi kadangkala ia tumbuh di luar kawalan.
Pertumbuhan berlebihan Candida inilah yang dikenali sebagai sariawan. Apabila terdapat pertumbuhan yang berlebihan, anda akan melihat tompokan putih di dalam mulut bayi, atau di sekitar kawasan lampin si manja.
Penyebab seriawan pada bayi
#1. Sistem ketahanan bayi lemah
Seriawan sering muncul dalam mulut bayi semasa beberapa minggu atau bulan pertama kehidupan. Penyelidik tidak pasti mengapa, tetapi ia boleh berlaku kerana bayi yang baru lahir mempunyai sistem imun yang lemah dan belum dapat melawan jangkitan dengan baik.
#2. Antibiotik dan steroid
Pengambilan antibiotik dapat mengurangkan tahap bakteria sihat pada badan, dan ini bermakna kulat mempunyai masa yang lebih mudah untuk berkembang. Sariawan mulut juga boleh berlaku selepas penggunaan ubat steroid.
#3. Jangkitan vagina ketika hamil
Selain itu, seriawan pada bayi berlaku disebabkan oleh ibu ada jangkitan pada vagina semasa mengandung.
Sesetengah bayi mendapat sariawan mulut apabila mereka melalui faraj ibu semasa kelahiran. Ini kerana bahagian vagina selalunya mempunyai sejumlah kecil candida secara semula jadi.
#4. Bayi menghisap objek
Bayi juga mungkin mengalami sariawan mulut jika mereka menghisap objek yang telah dijangkiti seriawan, seperti puting penyusuan, puting tiruan ataupun mainan.
Sariawan mulut adalah sangat biasa terjadi dalam dua tahun pertama kehidupan si manja. Namun ia tidak merebak antara kanak-kanak.
Walau bagaimanapun jika bayi sedang menyusu, mereka boleh menyebarkan seriawan dan menyebabkan jangkitan puting.
Jangkitan jenis ini menyebabkan puting meradang, sensitif dan melecet. Payudara anda mungkin sakit semasa sesi penyusuan.
Gejala seriawan pada bayi
Bagi mengetahui sama ada bayi naik seriawan ataupun tidak, ibu perlulah membuka dan melihat ke dalam mulut bayi terlebih dahulu.
Perhatikan sebarang tompokan atau luka putih pada lidah, gusi dan/atau bahagian dalam mulutnya.
Sebelum terus ke klinik, perlu diingat bahawa lidah bayi anda mungkin putih akibat sisa susu. Tetapi warna susu ini akan hilang dalam masa sejam selepas penyusuan.
Namun jika anda tidak pasti, cuba ujian cepat dan mudah ini: Balut sekeping kain kasa di sekeliling jari anda dan cuba hapuskan kesan tersebut dengan perlahan. Hilang? Bertenang.
Jika masih tidak hilang, lidah bayi merah dan sakit, inilah masanya untuk merawat seriawan!
Selain itu, sariawan juga boleh terjadi di tempat lain. Kawasan lampin bayi yang hangat dan lembap adalah tempat pembiakan yang sempurna untuk jangkitan yis.
Jika anda melihat ruam degil dengan titik merah, ia adalah seriawan.
Rawatan untuk seriawan mulut
Untuk seriawan mulut, doktor anda mungkin mempertimbangkan ubat antikulat (titisan atau gel) yang mengandungi nystatin, yang perlu diletakkan pada lidah dan di dalam mulut beberapa kali sehari selama 10 hari.
Bagi bayi yang lebih besar, doktor anda mungkin mencadangkan menambah lactobacilli (bakteria probiotik) ke dalam dietnya.
Lactobacilli bertindak seperti bakteria “baik” untuk membantu menyingkirkan kulat. Anda boleh membeli probiotik sebagai makanan tambahan, tetapi pastikan memilih jenama terkenal yang sesuai untuk bayi.
Rawatan tanpa ubat di rumah
Pemulihan rumah untuk sariawan ini sering disebut-sebut sebagai penawar ajaib, walaupun kebanyakannya perlu dicuba dengan berhati-hati.
Malah, anda mungkin ingin menganggapnya sebagai rawatan pelengkap, bukannya rawatan utama.
- Serbuk penaik. Tambah kira-kira setengah sudu teh baking soda ke dalam secawan air rebus dan sejukkan. Gunakan putik kapas bersih untuk mengelap larutan di dalam mulut bayi anda.
- Minyak pokok teh. Gunakan 1 atau 2 titis minyak pokok teh kepada setengah cawan air masak dan sejuk. Sapukan dengan putik kapas yang bersih.
- Minyak kelapa dara. Satu kajian mencadangkan bahawa minyak kelapa harus digunakan untuk merawat jangkitan kulat, terutamanya kini spesies Candida yang tahan terhadap sebarang ubat.
Namun pastikan anda merujuk pakar pediatrik terlebih dahulu sebelum menggunakan sebarang rawatan alternatif untuk sariawan bayi, terutamanya tompokan putih di dalam mulut.
Cara mengelakkan ia berulang
Berikut ialah senarai petua pencegahan umum untuk membantu bayi anda:
- Jika menyusu botol, sterilkan puting dan botol selepas setiap penggunaan.
- Jika anda menyusu badan, bersihkan puting dengan lembut di antara sesi penyusuan.
- Cuci tangan, mainan dan puting bayi anda dengan bersih
- Basuh tuala, pakaian dan baju dalam yang mungkin bersentuhan dengan Candida
- Jika anda mengepam susu, simpan dalam peti sejuk hingga sebelum digunakan untuk mengelakkan pertumbuhan yis
- Pastikan payudara anda kering selepas sesi penyusuan
- Tukar pad menyusu dengan kerap terutamanya apabila ia basah
Walaupun seriawan tidak bahaya, ia pastinya membuatkan bayi rasa tidak selesa. Kesakitan yang dialami boleh menghilangkan kegembiraannya daripada penyusuan. Oleh itu, jika simptom seriawan berterusan, dapatkan di klinik yang berdekatan.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Doktor Pesan Jangan Letak Ubat Gigi Pada Kulit Anak Yang Melecur!
Baca juga: Selain Beri Aiskrim, Ini Tips Merawat Ulser Mulut Bayi Yang Berkesan Ikut Saranan Pakar
Baca juga: Risaunya Bayi Sudah Pandai Merangkak, Habis Semua Benda Dikutip & Masuk Dalam Mulut!