Sekolah agama kafa adalah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain bermaksud kelas pengajian Al-Quran dan Fardu Ain yang dilaksanakan di premis yang berdaftar dengan Agensi Agama Islam Negeri. Murid KAFA adalah berumur antara 7 hingga 12 tahun sahaja, kiranya kanak-kanak sekolah rendah.
Apa yang anda boleh baca di dalam artikel ini?
- Ibu ayah risau anak penat kalau dihantar sekolah agama Kafa
- Jangan kedekut duit untuk hantar anak ke sekolah kafa
Isi Kandungan
Pentingnya menghantar anak ke sekolah agama
Pendidikan ini adalah penting, tak kisahlah subjek apa sekalipun. Bermula dari Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup, termasuklah subjek agama.
Ibu ayah perlu bermula untuk memberikan pendidikan yang terbaik buat anak-anak sejak mereka kecil lagi.
Ya, benar. Mereka akan kelihatan sedikit penat dan lesu kerana perlu menghadiri sekolah kafa pula pada jam 2:30 petang sehingga 5:45 petang. Anak-anak akan mempunyai masa yang terhad untuk menghabiskan kerja sekolah yang diberikan oleh guru-guru sekolah kebangsaan dan juga sekolah kafa.
Tak mengapa ya, ibu ayah.
Tak perlulah kita terlalu manjakan anak apabila ianya melibatkan hal pendidikan. Sebaliknya, dari mereka kecil anda perlu mengajar cara untuk menguruskan masa dengan baik. Jika mereka perlu menghadiri dua sesi persekolahan, maka waktu bermain perlu dikurangkan dan boleh digunakan untuk melakukan kerja-kerja sekolah, kan?
Kebaikan pendidikan agama lengkap di sekolah agama
Ilmu yang dicurahkan menerusi sekolah kafa adalah jauh lebih penting daripada subjek-subjek lain. Walaupun tempoh pembelajaran hanyalah 4 jam dalam satu sesi, tetapi para pelajar memperoleh banyak ilmu tentang ajaran Islam secara menyeluruh.
Ilmu yang diperoleh akan dimanfaatkan sepenuhnya yang menjadikan mereka seorang yang berakhlak mulia pada suatu hari nanti. Bila ibu ayah sudah tiada di muka dunia ini, mereka tidak akan menjadi seorang yang ‘jahil ilmu agama’.
Malah, mereka akan menjadi seorang yang bersifat mulia dengan mengenali kesemua 20 sifat wajib Allah SWT, tahu cara untuk beriman kepada Hari Kiamat, Qada’ dan Qadar, tahu 7 jenis air Multak, dan sebagainya.
Antara kebaikan yang diperolehi apabila anak-anak dihantar ke sekolah agama ialah:
1. Dapat memanfaatkan masa sebaik mungkin.
Pelajar tersebut bukan sahaja mendapat pendidikan di sekolah kerajaan, pada yang sama mereka turut mendapat pendidikan agama formal di sekolah agama. Secara tidak langsung, waktu yang terlapng telah diisi dengan mempelajari ilmu yang seimbang dunia dan akhirat.
2. Mendapat pengetahuan fardu ain
Ilmu fardu ain sangat penting dan wajib dipelajari serta diamalkan dalam kehidupan seorang muslim sejati. Mengerjakan solat lima waktu dalam sehari semalam, berpuasa di bulan ramadan, taat kepada ibu bapa merupakan contoh fardu ain yang mendidik anak menjadi orang yang beriman dan berpegang teguh dengan iman.
Oleh itu, penekanan tentang ilmu fardu ain yang diterapkan sejak kecil dapat dipraktikkan dalam urusan harian yang berlandaskan ajaran islam.
3. Membentuk jati diri
Menghantar anak ke sekolah agama merupakan pelaburan yang terbaik untuk kebaikan masa depan mereka. Anak-anak yang membesar dalam persekitaran yang baik dan positif tidak mudah terjerumus dengan gejala yang tidak sihat.
4. Sukatan pelajaran dan kurikulum setara dengan sukatan Sekolah Kebangsaan
Sukatan pelajaran sekolah agama adalah lengkap dengan silibus yang setara dengan sekolah biasa. Di sekolah kebangsaan, pelajar hanya mendalami mata pelajaran Pendidikan Islam secara menyeluruh, tetapi ketika di sekolah agama mereka diajar satu persatu ilmu-ilmu yang lebih spesifik dan mudah difahami.
Apa beza sekolah rendah agama dengan KAFA
Perbezaan Sekolah Rendah Agama (SRA) dan KAFA adalah sekolah rendah agama menggunapakai sukatan pelajaran dan kurikulum mengikut JAIS sepenuhnya.
Manakala, KAFA pula menggunapakai sukatan pelajaran dan kurikulum mengikut silibus JAIS dan JAKIM.
Yuran kafa hanyalah RM100 hingga RM200 sahaja untuk seorang anak, termasuklah buku-buku dan yuran. Bayaran bulanan pula hanyalah RM20. Murah sangat, ilmu dapat digunakan seumur hidup.
Bak kata seorang ustaz, “Jangan berkira untuk hantar anak belajar ilmu agama. Orang kita, sanggup hantar anak tuisyen berpuluh/beratus ringgit, tapi hantar sekolah kafa RM20 sebulan atau upah guru mengaji dua angka sebulan pun terasa berat.”
Ibu ayah, niatkan lah duit kita hantar anak-anak belajar agama itu sebagai JIHAD. Mudah-mudahan Allah SWT akan permudahkan dan murahkan lagi rezeki kita semua. Amin.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Kongsi 12 Idea Bekal Anak Sekolah Darjah Satu Yang Menarik & Sedap, Jimat Duit Belanja Harian
Baca juga: Gara-Gara Tidur Siang, Ibu Layankan Saja Anak Bersiap Pergi Sekolah Tengah Malam
Baca juga: Anak Enggan Ke Sekolah Kerana Gangguan Rakan Sekelas, Tindakan Ibu Ini Wajar Dipuji