5 Idea Masakan SELERA KAMPUNG Untuk Buka Puasa, Ubat Rindu Pada Kampung Halaman!

Masakan selera kampung memang jadi kegemaran ramai. Rasanya yang unik menggamit memori di kampung halaman. Jom cuba resepi kami kongsikan!

Bila sudah merantau pelbagai jenis makan dan variasi masakan bakal kita temui. Bagaimanapun, masakan selera kampung tetap juga menjadi pilihan bila ia dihidangkan di kedai makan.

Tipulah kalau bulan puasa ini anda tidak rindu masakan ibu di kampung, ditambah pula tidak dapat pulang ke kampung halaman, lagilah rindu dibuatnya.

Hati rindu perut pun rindu. Jadi kali ini kami kongsikan kepada anda, resepi masakan selera kampung yang boleh anda cuba untuk menu berbuka puasa seisi keluarga. Tidak dapat tidak, ia mungkin sedikit sebanyak boleh mengubat rindu pada kampung halaman.

Selera kampung masakan untuk buka puasa yang boleh anda cuba

selera kampung

Kredit: jelajahmaya

Masakan selera kampung biasanya tidak banyak pun rencahnya, malah ia biasanya ringkas sahaja. Tetapi ada juga yang memang menggunakan banyak ramuan. 

Jadi anda boleh pilih sana mana-mana menu yang kami kongsikan ini untuk anda cuba di rumah. Manalah tahu boleh tambat selera anak dan suami pula untuk mencuba kan.

#1. Tumis kacang panjang dan kupang

selera kampung

Kredit: Rasa.my

Bahan-bahan:

  • 10 tangkai kacang panjang | dipotong 3cm
  • 100gm isi kupang | dibersihkan
  • 1 biji bawang besar| dihiris
  • 2 biji cili merah | dihiris
  • 4 ulas bawang putih | dicencang
  • 1 sudu makan sos tiram
  • Air secukupnya
  • Garam secukup rasa

Cara menyediakannya: 

  1. Panaskan sedikit minyak masak di dalam kuali. Tumis bawang putih, bawang hiris dan cili sehingga layu dan berbau wangi.
  2. Selepas itu masukkan sos tiram, sedikit air dan isi kupang. Kacau rata sehingga sebati.
  3. Masukkan kacang panjang dan garam secukup rasa. Kacau lagi sehingga rata.
  4. Biarkan kupang masak dan kacang panjang layu sedikit.
  5. Angkat dan sedia dihidangkan.

#2. Ikan pari air asam

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan pari | direbus dengan asam keping dan sedikit garam

Air asam: 

  • 1 biji bawang besar | dipotong dadu
  • 1 biji tomato segar | dipotong dadu
  • 10 biji cili api | dihiris halus
  • 2 tangkai cili merah
  • 2.5cm belacan
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • 1 sudu makan sos cili
  • 500ml bancuhan air asam jawa

Cara menyediakannya:

  1. Tumbuk cili merah bersama belacan, gula dan garam secukup rasa.
  2. Masukkan bancuhan air asam jawa ke dalam bekas bersama bahan-bahan yang ditumbuk tadi. Gaul rata.
  3. Masukkan bawang besar, tomato dan cili api yang dipotong tadi. Gaul sebati.
  4. Letakkan ikan pari ke dalam pinggan dan curahkan air asam jawa ke atasnya.
  5. Sedia dihidangkan.

#3. Udang sambal tumis petai

selera kampung

Kredit: resepi mudah

Bahan-bahan:

  • Udang – 10-15 ekor
  • 5 keping petai |dihiris nipis termasuk kulitnya
  • 1 biji kelapa |diambil santannya
  • 5 tangkai cili kering |dikisar
  • 5 biji cili padi |dikisar
  • 2 biji bawang besar |dikisar
  • 3 ulas bawang putih |dikisar
  • 10gm belacan |dikisar
  • Air secukupnya
  • Sedikit asam keping
  • Garam secukup rasa

Cara menyediakannya:

  1. Hiris petai bersama kulitnya sekali dan rendamkan seketika di dalam air. Toskan.
  2. Satukan bahan kisar bersama petai dan biarkan petai empuk seketika.
  3. Masukkan santan bersama asam keping. Kacau rata.
  4. Perasakan dengan garam secukup rasa dan biarkan kuahnya pekat seketika.
  5. Angkat dan hidangkan.

#4. Bendi goreng berlada

Bahan-bahan:

  • 10 biji sayur bendi
  • 5 biji cili merah | ditumbuk
  • 3 biji bawang merah | ditumbuk
  • 1 ulas bawang putih | ditumbuk
  • 2 sudu besar udang kering
  • Sedikit air
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Garam secukup rasa

Cara menyediakannya: 

  1. Bersihkan bendi dan potong serong.
  2. Panaskan minyak masak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk tadi bersama udang kering sehingga naik bau.
  3. Seterusnya masukkan sayur bendi bersama sedikit air. Kacau hingga rata dan tutup kuali seketika.
  4. Apabila bendi telah lembut, matikan api dan perasakan dengan sedikit garam.
  5. Sedia untuk dihidangkan.

#5. Asam pedas ikan kembung

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan salmon bersaiz kecil | dipotong
  • 4 ulas bawang merah | ditumbuk
  • 3 ulas bawang putih | ditumbuk
  • 1 batang serai |dititik
  • 4 batang daun kesum
  • 1 bunga kantan | dipotong dua
  • 4 biji bendi
  • 4 sudu besar cili kering kisar
  • 1 ½ mangkuk air
  • Garam
  • Gula
  • Sedikit belacan
  • Minyak masak | untuk menumis

Cara menyediakannya: 

  1. Panaskan sedikit minyak dan masukkan cili kering kisar, bawang merah, bawang putih dan belacan. Tumis sehingga naik bau.
  2. Kemudian masukkan serai dan air asam jawa. Kacau seketika dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan ikan, bendi, daun kesum dan juga bunga kantan. Tambahkan air sedikit demi sedikit mengikut kepekatan yang anda suka. Biarkan mendidih sekali lagi.
  4. Akhir sekali, masukkan garam dan gula mengikut cita rasa anda. Sedia untuk dihidangkan.

Untuk ubat rindu pada kampung halaman, bolehlah anda mencuba menu selera kampung yang kami kongsikan ini, pasti tak menyesal!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: rasa.my

Baca juga: 4 Idea Masakan SOTONG Boleh Anda Cuba Untuk Menu Berbuka Hari Ini, Kaya Protein & Sedap!

 

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!