Jenayah epidemik pedofilia semakin berleluasa di negara kita. Ia telah memberi kesan kepada kanak-kanak di sekolah, tempat awam atau di dunia digital. Individu yang sanggup melakukan perkara yang terkutuk ini patut digelar “hati kering” kerana mereka tiada rasa belas dan kasihan kepada anak-anak kecil. Oleh kerana itu, adalah amat wajar sekiranya diajarkan anak-anak tentang sentuhan selamat seawal usia 7 tahun lagi.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Apa itu sentuhan selamat?
- Kepentingan mendedahkan kanak-kanak kepada keselamatan diri
- Peranan ibu bapa dalam memudahkan anak faham tentang isu-isu sensitif
Apa itu sentuhan selamat?
Sentuhan bermaksud perbuatan menyentuh seseorang atau sesuatu. Dua jenis sentuhan yang diketengahkan adalah sentuhan tidak selamat dan sentuhan selamat. Sentuhan selamat boleh didefinisikan sebagai sentuhan yang membuat kita berasa gembira, selesa, dan selamat seperti mana apabila ibu bapa memeluk kita.
Dari perkongsiaan Facebook, Ferdy Cikgu Celebrity, beliau yang juga dikenali sebagai Cikgu Ferdy sempat merakamkan sesi mengajarnya bersama murid-murid di kelas tentang sentuhan selamat.
Kreativiti dan gaya sempoi beliau dalam mengajar ilmu sensitif itu menarik ramai anak-anak untuk fokus dan lebih faham tentang apa yang diajarkan. Beliau juga menggunakan antonasi yang menarik serta mengetengahkan karakter-karater kartun untuk melakonkan gaya bahasanya.
Kepentingan mendedahkan kanak-kanak kepada keselamatan diri
Kanak-kanak seumpama sehelai kertas, siapa sahaja yang melintasinya akan meninggalkan bekas. Oleh yang demikian, sangat penting untuk anak-anak diberikan pendedahan awal tentang ilmu ini demi keselamatan diri mereka. Antara kepentingan yang diketengahkan adalah:
- Mengelakkan jenayah pedofilia dari berleluasa
- Membina kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak yang baik
- Mengurangkan risiko bahaya ketika anak berada di luar rumah
- Membentuk anak menjadi semakin berdisiplin dan bertanggungjawab
Peranan ibu bapa dalam memudahkan anak faham tentang isu-isu sensitif
Ibu bapa adalah individu penting yang memainkan peranan paling efektif untuk pengenalan awal kepada anak-anak. Dalam hal ini, isu sentuhan boleh dikategorikan sebagai ilmu yang patut diajarkan oleh ibu bapa sejak dari kecil. Antara peranan mereka adalah:
- Beri kepercayaan kepada anak-anak
- Ajar mereka tentang anggota badan mereka dan gunakan bahasa serta istillah yang sesuai apabila mengajar tentang bahagian-bahagian yang sulit
- Jangan memaksa atau menekan anak-anak untuk bermesra sewenang-wenangnya walaupun dengan sanak-saudara
- Ajar dan beritahu anak-anak untuk meluahkan perasaan tidak selesa dengan mengunakan kata-kata
- Berlatih apa yang harus mereka katakan dan beritahu
- Sentiasa memberitahu kepada anak-anak yang anda sayang mereka dan jika sesuatu berlaku jangan salahkan anak
Kanak-kanak adalah golongan yang perlu dijaga dan dibela. Hal ini kerana mereka tidak mempunyai daya dan kekuatan untuk melawan orang-orang yang lebih tua dan dewasa darinya. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa, guru, dan masyarakat untuk berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sentuhan selamat dan tidak selamat yang WAJIB diajar pada anak seawal 3 tahun
Baca juga: Mak Ayah Patut Risau Bila Anak Penggeli, Doktor Kongsi Cara Merangsang Deria Sentuhan
Baca juga: Ini Manfaat Sentuhan Kulit Ke Kulit Selepas Bayi Lahir, No.3 Paling Penting