Ibadah korban bermaksud penyembelihan binatang ternakan tertentu pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Justeru ketahui siapa yang layak terima daging korban bagi menjadikan ibadah ini lengkap.
Bagi anda yang berkemampuan melaksanakan ibadah ini, digalakkan memilih haiwan sendiri haiwan korban yang sempurna. Maksud sempurna disini adalah haiwan korban yang memiliki paling banyak dagingnya. Antara keutamaan haiwan korban adalah unta, kerbau, lembu, biri-biri dan kambing.
Isi Kandungan
Siapa Yang Layak Terima Daging Korban?
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, jika anda melakukan korban sunat, maka cara yang afdhal bagi pembahagian daging korban tersebut adalah dengan sedekah daging korban kesemuanya bagi mencapai tujuan korban tersebut, serta memakan sedikit daripadanya untuk beramal dengan zahir nas al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Berikut siapa yang layak terima daging korban:
1/3 Bahagian Untuk Mereka Yang Laksanakan Korban
Disunatkan untuk orang yang melakukan korban untuk mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin.
Atau, orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban, dan mengagihkan 1/3 baki daripadanya kepada golongan miskin, serta 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (seperti saudara-mara atau jiran-tetangga).
Dalam hal ini, memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdhal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya.
1/3 Bahagian Untuk Fakir Miskin
1/3 daripada baki daging korban yang diambil oleh tuan korban diberikan kepada golongan fakir miskin.
1/3 Untuk Orang Kaya
Baki 1/3 lagi diberikan sebagai hadiah kepada saudara-mara, sahabat dan jiran tetangga. Namun, jika masih ada golongan fakir yang belum menerima daging, adalah lebih baik baki ini diberikan kepada mereka.
Cara Afdal Pembahagian Daging Korban
Namun cara yang afdhal ialah, seseorang yang melakukan korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat.
Hal ini kerana menyedekahkan keseluruhan daging tersebut merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap pentingkan diri sendiri.
Manakala, memakan sedikit daripada daging tersebut sebagai beramal dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW.
Pembahagian Daging Korban Nazar
Sebaliknya, jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan sebagai korban nazar atau korban wajib yang telah ditentukan, maka dia wajib menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin dan tidak harus untuk dia memakan sebahagian daripadanya. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485)
Hukum Agihan Daging Korban
Para ulama’ telah menetapkan bahawa daging korban wajib disedekahkan kepada golongan fakir miskin dalam keadaan mentah dan bukannya yang telah dimasak atau dikeringkan.
Hukum Makan Daging Korban Sendiri
Jika korbannya itu korban sunat, maka tidak wajib atas dirinya memakan bahkan harus sedekah kesemuanya.
Firman Allah Taala :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِير
Maksudnya: “Maka kamu sekelian makanlah daripada haiwan korban itu dan berilah makan kepada orang-orang susah yang faqir.” (Al-Haj: 28)
Korban sunat bermaksud ibadah korban yang dilakukan dengan niat untuk mendekatkan dirinya dengan Allah dan bersedekah.
Berkata Imam Nawawi:
وَلَهُ الْأَكْلُ مِنْ أُضْحِيَّةِ تَطَوُّعٍ، وَإِطْعَامُ الْأَغْنِيَاءِ
Ertinya: “Dan harus bagi tuan korban makan dari haiwan korbannya yang sunat dan harus dia memberi makan kepada orang-orang yang kaya.” (Kitab Mibhaj At-Talibin)
Lebih afdhal jika tuan korban makan daging korban sendiri bagi mengambil keberkatan daripadanya.
Jika korban wajib seperti korban nazar atau dam haji yang wajib maka tuan korban haram memakan akan daging korban tersebut walaupun sedikit. Kesemua daging korbannya wajib dia sedekah semua daging korban tersebut itu kepada faqir miskin.
Daging Korban Untuk Non Muslim
Menurut laman JAKIM, pandangan mazhab Syafie yang masyhur mengatakan tidak boleh diberikan daging korban sama ada korban sunat atau korban wajib kepada orang bukan Islam kerana ibadah korban adalah ketaatan kepada Allah Ta’ala.
Namun jika daging korban sunat tersebut dimasak kemudian dijamu sebagai salah satu hidangan dalam majlis jamuan rakan sekerja dipejabat, yang mana mereka terdiri daripada orang bukan Islam yang dikenali dengan sifat baik dan ramahnya dengan masyarakat Islam, maka dibolehkan daging korban sunat diberi makan kepada kafir dzimmi yang miskin.
Pandangan ini juga adalah pandangan sebahagian ulama’ mazhab Hanafi, bahkan dalam mazhab Hanbali harus dihadiahkan kepada orang kafir.
Dalam pembahagian daging korban, hendaklah didahulukan kepada masyarakat Islam setempat yang memerlukan.
Sekiranya terdapat lebihan daging yang tidak dikehendaki oleh masyarakat Islam dan dalam masa yang sama terdapat kafir dzimmi yang miskin yang dikenali dengan sifat baik dan ramahnya dengan masyarakat Islam, maka bolehlah daging korban sunat tersebut diberikan kepada mereka.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Lafaz Niat Korban Raya Haji & 5 Perkara Sunat Ketika Proses Penyembelihan Haiwan
Baca juga: Doa Hari Arafah Adalah Waktu Paling MUSTAJAB, Ambil 1 Jam Sahaja Lepas Asar Nanti
Baca juga: Cara Simpan Daging Korban Yang Betul, Jangan Cuci Dulu Sebelum Simpan Agar Tahan Lama & Kekal Segar