Sekali lagi kita tidak umat Islam tidak dapat meraikan Hari Raya Haji, memang sedih dan kecewa, tak dapat nak pulang ke kampung menyambutnya bersama keluarga. Tapi jangan risau kita boleh lakukan doa hari arafah.
Tapi apa yang penting sekarang ialah kita berdoa semoga keadaan kembali normal semula, dan berita baiknya hari ini adalah hari yang tepat untuk kita berdoa kerana Asar nanti akan tiba waktu paling mustajab untuk kita berdoa.
Doalah apa saja, ia tak makan masa yang lama pun.
Doa hari Arafah

Tentu semua umat Islam tahu bahawa amalan terbaik pada hari wukuf di Arafah adalah berdoa kepada Allah SWT.
Ia merupakan waktu berdoa yang paling mustajab dan yang paling dekat untuk dimakbulkan.
Kelebihan doa Hari Arafah
Banyak kelebihannya berdoa pada hari Arafahm. Ini diriwayatkan dalam beberapa hadis sahih, antaranya ialah:
“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah,
“لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”.
(Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).”
(Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)
“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Hadis diriwayatkan oleh Malik)
Wukuf pada hari Arafah dan doa mustajab ini adalah khusus kepada jemaah haji yang berada di sana di mana amalan ini bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga tenggelam matahari waktu maghrib.
Walaupun wukuf dan doa mustajab adalah khususiyyat (perkara yang dikhususkan) untuk jemaah haji yang berada di Arafah, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, mereka boleh mengambil peluang dan kelebihan hari wukuf di Arafah ini untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut, berdasarkan zon waktu di tempat masing-masing, tanpa menghadkan tempoh berdoa kepada jam atau masa yang tertentu, bahkan digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu. Ini kerana tiada dalil khusus yang menghadkannya.
Selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadith:
“Sesungguhnya Nabi SAW bersabda, berpuasa pada hari Arafah dihitung oleh Allah dengan meluputkan dosa setahun yang telah lalu dan dosa pada tahun akan datang.”
(Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)
Waktu Wukuf di Padang Arafah bagi tahun 2021

12.27 pm – 7.04 pm (Mekah)
5.27pm – 12.04 am (Malaysia)
Perlukah untuk kita samakan waktu kita berdoa dengan waktu wukuf di padang Arafah itu?
Menurut hadis Nabi s.a.w, Nabi s.a.w tidak menyatakan sebaik-baik doa itu ketika waktu wukuf, tetapi dinyatakan sebaik-baik doa pada HARI Arafah.
Jadi, bagaimanakah mentafsirkan hari Arafah?
Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili rahimahullah dan kebanyakan ulama yang lain menyatakan hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah. Bermaksud, sepanjang hari 9 Zulhijjah ini keseluruhannya adalah doa mustajab.
Adapun bagi orang-orang yang mengerjakan haji di Mekah, mereka perlu melaksanakan satu rukun haji yang dipanggil wukuf di Padang Arafah.
Sabda Nabi s.a.w:
الحج عرفة
Maksudnya: “Haji itu (berwukuf) di padang Arafah.”
Waktu wukuf bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah.
Berdoa sepanjang waktu wukuf
Maka oleh itu, bagi orang yang mengerjakan haji mereka digalakkan berdoa ketika sepanjang waktu wukuf oleh kerana ketika itu merupakan gabungan yang sangat cantik iaitu berada pada 9 Zulhijjah dan dalam keadaan berwukuf di padang Arafah. Maka insyaAllah mustajab doa berganda-ganda.
Oleh kerana itu, jelas di sini sepanjang hari Arafah merupakan hari doa mustajab. Cuma bagi orang yang mengerjakan haji ada keistimewaan tersendiri dalam mencari doa mustajab yang lebih mustajab.
Manakala bagi mereka yang tidak mengerjakan haji juga ada cara tersendiri untuk mencari doa mustajab yang lebih mustajab pada hari Arafah iaitu dengan berpuasa pada hari berkenaan.

Nabi S.A.W bersabda:
ثَلاثَةٌ لا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ..
Maksudnya: ” Tiga doa yang tidak akan ditolak Allah (bermaksud sangat mustajab) iaitu doa seorang pemimpin yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi..”
Islam tidak akan sesekali menyempitkan ruang ibadah kepada umatNya. Berdoalah pada mana-mana waktu sepanjang kita berpuasa di hari Arafah kerana ianya mustajab dan mujarab insyaAllah.
Zikir Terbaik & Contoh Senarai Doa Pada Hari Arafah
Sebaik-baik doa dan zikir yang boleh diamalkan adalah seperti yang disebutkan dalam hadis sahih ini:
“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah,
“لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”.
La Ilaaha IllAllah wahdahu laa syariika lahu, lahul mulku walahul hamdu wahuwa ‘ala kulli syai-in qadir
*Maksudnya: Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
(Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)
Untuk semua rakyat Malaysia, ambillah peluang ini untuk kita sama-sama berdoa supaya keadaan kita sekarang pulih, baik dari pandemik COVID-19, dari kesusahan rakyat akibat PKP dan segalanya yang memberi efek kepada rutin kita sekarang.
Sumber: Harian Post
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 5 Cabaran Berpantang Pada Hari Raya, Bertabahlah Wahai Ibu, Jaga Makan Okey!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!